M
|
Tengku Hafiy kelihatan begitu segak dengan busana
pengantin berwarna putih mutiara bersama-sama isterinya, Helena yang turut
memakai busana warna sedondon. Bagai pinang dibelah dua, itulah perumpaan yang
lengkap untuk kedua mempelai tatkala dipersandingkan di atas pelamin sambil
ditepung tawar oleh keluarga kedua-dua belah pihak pengantin serta
tetamu-tetamu kehormat yang turut hadir.
Izzul juga tidak ketinggalan untuk bersama-sama meraikan
hari bahagia rakan baiknya malam ini. Dia yang hadir bersama isteri dan
anak-anaknya serta Irish, turut membawa kedua ibu bapanya atas permintaan
Tengku Haiyan dan Tengku Dafina sendiri. Pada mulanya memang Encik Izzuddin
serta Puan Qarina enggan turut serta. Alasannya, majlis ini hanya untuk orang
kenamaan dan berstatus tinggi. Namun setelah berkali-kali Izzul memujuk,
dibantu pula Irish, kedua orang tua itu mengalah juga akhirnya. Dan kini mereka
tampak mesra sahaja bersembang semeja bersama Tengku Haiyan serta
isterinya.
“Along.”
Irish mencuit bahu Izzul, membuatkan lelaki itu
serta-merta menoleh.
“Kenapa?”
“Along
tak bawa sekali ya hadiah untuk Abang Hafiy tadi?” tanya Irish, membuatkan
Izzul menepuk dahinya.
“Alamak!
Along terlupalah, Rish. Ada kat bonnet
kereta tu. Keluar kereta tadi terlupa terus nak ambil sekali. Tak apalah. Biar
along pergi ambil sekejap.”
“Eh, tak
apa.” Irish menarik lengan Izzul untuk kembali duduk. Terbit rasa kasihan
apabila melihat alongnya yang sedang memangku Qisrina yang sudah pun terlena di
dalam pangkuan. “Biar Irish yang pergi ambil. Along duduk sini je. Kunci?”
ujarnya sambil menghulurkan tangan meminta kunci kereta dari Izzul.
“Betul
ke Irish nak pergi ambil ni? Sorang-sorang?”
“Ya,
betul! Along tak payah risaulah. Sekejap je. Lagipun orang ramai kat sini,
kan.”
Irish mengukir senyuman, cuba meyakinkan Izzul sebelum
alongnya menyerahkan kunci kereta padanya. Malah sebelum beredar pergi, lelaki
itu sempat lagi berpesan agar dia berhati-hati. Irish melangkah keluar dari
dewan lalu menuju ke tempat di mana alongnya meletakkan kereta sewaktu mereka
sampai tadi. Hadiah itu dibeli olehnya bersama Izzul semalam untuk diberikan
kepada Tengku Hafiy sempena perkahwinannya. Setelah mendapatkan hadiah tersebut
di dalam bonnet kereta, gadis itu
kembali melangkah menuju ke arah dewan majlis.
“Laju
jalan.”
Langkah
Irish terhenti di situ. Hatinya berbelah bahagi sama ada mahu berpaling ataupun
meneruskan sahaja langkahnya. Lantaran teringatkan pesanan Izzul, terus sahaja
kakinya ingin dihayun untuk segera masuk ke dalam dewan. Namun baru dia hendak
menapak semula, suara itu kedengaran lagi.
“Tak nak
tengok I dulu?”
Serentak
itu terdengar bunyi derapan tapak kaki melangkah menghampirinya. Irish
berpaling ke belakang. Dilihatnya seorang lelaki yang segak bergaya dengan suite hitam sedang berdiri tegak
memandang tepat ke arahnya. Irish mengamati lelaki itu. Serasa dia pernah
melihat wajah itu sebelum ini. Tetapi dia tidak ingat di mana.
“Still can’t remember me, Miss Irish?”
Kaget Irish jadinya. Terkejut bagaimana lelaki itu boleh
mengetahui namanya. “Maaf. Kita pernah berjumpa?”
“Of course! Haiyan Holdings’s annual dinner. We met that night,” terang lelaki
itu bersama satu renungan tajam.
Melihatkan
renungan itu, spontan ingatan Irish melayang pada majlis makan malam Haiyan
Holdings tempoh hari. Renungan yang tidak diendahkan dek insiden yang berlaku
antara dia dan Tengku Harrys malam itu.
“So, dah ingat sekarang? Tengku Zafran. Tengku Melissa’s brother.”
Irish
membalasnya dengan anggukkan. “Ya. Maaf... saya betul-betul tak ingat.”
“It’s okay. Gadis secantik you mana sudi nak ingat I.” Tengku Zafran melangkah untuk
mendekati Irish dengan lebih dekat. “Well...
nice to meet you, Miss Irish!” ucapnya seraya menghulurkan tangan untuk
bersalaman.
Irish
memandang Tengku Zafran. Serba salah dirinya untuk menyambut huluran salam itu.
Dia tidak begitu mengenali lelaki ini. Walaupun dia tahu Tengku Zafran adalah
abang kepada Tengku Melissa, yang juga merupakan sepupu kepada Tengku Hafiy
serta Tengku Harrys. Hendak atau tidak, terpaksa jugalah dia menyambutnya
walaupun dalam hati teragak-agak untuk menerima.
Baru sahaja tangan Irish ingin membalas huluran salam
tersebut, bunyi deheman seseorang mengejutkan mereka. Pantas Irish
menyembunyikan semula tangannya. Mengucap syukur gadis itu dalam hati kerana
terselamat kali ini. Namun, leganya hanya seketika apabila matanya menangkap pula
sesusuk tubuh Tengku Harrys yang sedang berjalan ke arah mereka.
‘Oh,
belum cukup selamat. Masak ni!’ ngomel Irish dalam hati. Cepat-cepat dia
menjarakkan dirinya dari Tengku Zafran.
“Hey, bro!” Tengku Zafran menepuk-nepuk
bahu sepupunya itu sambil tertawa.
“Your mom cari kat dalam,” ujar Tengku
Harrys bersahaja. Tiada sekelumit senyuman pun terbit di wajahnya tika ini.
“Oh, really? Okay! I chow dulu. Bye, gorgeous!
Seronok dapat kenal dengan you. Hope to see you again!” sempat Tengku
Zafran mengenyitkan matanya pada Irish sebelum berlalu pergi.
Irish terkedu. Tingkah Tengku Zafran itu
membuatkan dia semakin resah dengan pandangan Tengku Harrys. Sebentar kemudian
lelaki itu datang menghampirinya, membuatkan Irish tertunduk. Bersiap sedia
untuk berhadapan dengan sikap Tengku Harrys yang entah apa pula kali ini. Sikap
yang sentiasa di luar jangkaannya.
“Lain
kali jangan berani sangat jalan sorang-sorang kat sini.”
Sebaik
menghabiskan ayatnya, Tengku Harrys lansung beredar dari situ. Entah mengapa
perasaannya tidak senang melihat Tengku Zafran mendekati Irish, walaupun lelaki
itu adalah sepupunya sendiri.
Sekali lagi Irish
terkedu. Sudahlah tadi Tengku Zafran buatkan hatinya resah gelisah. Sekarang
Tengku Harrys pula?
“Ya Allah! Apa kena dengan semua orang ni? Boleh jadi
gila aku dibuatnya!” gumam Irish sambil menepuk-nepuk dahi, bagai membuang
segala kekusutan yang bertandang di fikiran. Malas mahu memikirkan, terus
sahaja dia meluru ke dalam dewan dan mendapatkan semula ahli keluarganya.
MATANYA
yang semakin layu terus
merenung anak-anak Izzul yang sudah terlena ketiga-tiganya. Izmie berada di
pangkuan Safiya, Qisrina masih lagi di pegangan Izzul, manakala Qusyairi sudah
terlentok di atas ribaannya. Habis itu dia melihat pula jam di tangan. Memang
waktu sudah agak lewat. Tidak hairanlah anak-anak kecil itu semuanya sudah melayari
lena. Irish mengelus-elus lembut rambut Qusyairi yang sedang nyenyak tidur itu
sementara menanti umi dan ayahnya
selesai berbual dengan Tengku Haiyan sekeluarga.
Hampir
setengah jam menanti, akhirnya Encik Izzuddin dan Puan Qarina datang
menghampiri meja yang masih diduduki oleh Irish, Izzul dan Safiya bersama-sama
Tengku Haiyan serta ahli keluarganya yang lain. Termasuk pasangan mempelai.
“Zul! Sorrylah, bro. Aku tak dapat nak layan kau malam ni!” Tengku Hafiy menepuk
bahu Izzul sesampai dia di meja itu.
“Eh, apa
pulak? Hari ni kan majlis kau. Takkan kau nak duduk kat bawah layan aku, then Helena bersanding sorang-sorang kat
atas tu?” seloroh Izzul membuatkan yang lain ketawa.
“Eh, tak
adalah sampai macam tu. Maksud aku, hari ni aku tak dapat nak borak dengan kau
macam selalu.”
“No problemlah. Majlis kau, kan.”
“Hmm,
dah tidur dah semua cucu Nek Engku ni?”
“Penatlah
tu agaknya. Dari siang tadi tak tidur. Sibuk nak jumpa Tok Engku dengan Nek
Engku katanya,” ujar Puan Qarina.
“Laaa... ya ke? Kesiannya. Tak sempat dia orang nak main
dengan Nek Engku, ya.”
“Tak apalah, Fina. Malam ni tak dapat, nanti-nanti Izzul
boleh bawa budak-budak ni datang ke rumah.” Tengku Haiyan membalas kata-kata
isterinya.
“Tengku, malam pun dah lewat. Jadi kami minta diri dululah,”
pinta Encik Izzuddin lalu berjabat tangan dengan Tengku Haiyan. Begitu juga
yang lain. Masing-masing bersalaman sebelum berpisah di situ. Cuma Irish sahaja
tidak dapat berbuat demikian memandangkan Qusyairi tidur dipangkuannya. Tidak
terlarat dia ingin mengangkat anak buahnya ini.
“Eh, Rish. Astaghfirullahalazim! Along terlupa lansung
Airi!” tutur Izzul bagaikan baru tersedar. Terus kakinya melangkah ke arah
Irish walaupun ketika itu dia masih mendukung Qisrina yang nyenyak tidur di
bahunya.
“Along nak angkat Airi macam mana? Dengan Qis lagi.”
“Ya tak iya jugak! Err….”
“Tak apa. Saya tolong angkat.”
Satu suara mencelah tiba-tiba. Dan ketika itu juga Tengku
Harrys yang segak berbaju melayu putih lengkap bersampin datang menghampiri
tempat duduk Irish. Dengan penuh berhati-hati dia mengambil Qusyairi dari
pangkuan gadis itu. Irish pula hanya memandang perlakuan Tengku Harrys tanpa
sepatah kata. Dan renungan lelaki itu yang sempat menyinggah ke wajahnya
membuatkan lidahnya terus kelu seribu bahasa. Segera dia bangkit dari kerusi
sebaik tubuh Qusyairi sudah berpindah tangan pada Tengku Harrys. Dia pasti
wajahnya saat ini sudah merona merah. Lebih-lebih lagi bila menyedari semua
mata yang ada menyaksikan apa yang berlaku antara dia dan Tengku Harrys sebentar
tadi.
Minit berselang, kelihatan kelibat mereka keluar
beriringan dari bangunan Pusat Perdagangan Dunia Putra itu sebelum bergerak ke
kereta milik Encik Izzuddin. Tengku Harrys yang mendukung Qusyairi sejak dari
dalam dewan tadi, membaringkan semula si cilik itu di atas ribaan Irish setelah
gadis itu masuk ke dalam kereta.
“Terima kasih,” ucap Irish. Namun hanya satu anggukkan
yang diterima dari Tengku Harrys, tanpa lelaki itu melihat ke arahnya.
“Kami minta diri dulu, Tengku.” Pamit Encik Izzuddin pada
Tengku Haiyan.
“Ya, Encik Izzuddin. Terima kasih sudi datang ke majlis
kami ni.”
“Patutnya saya yang ucap terima kasih sebab Tengku sudi
jemput kami sekeluarga. Ni dah terbalik pulak!”
“Tak ada apalah, Encik Izzuddin. Majlis kahwin je pun.
Senang-senang nanti jemputlah datang ke rumah kami. Ya, Kak Ina. Boleh kita
sembang-sembang panjang,” bicara Tengku Dafina pula.
“Insyaallah, Tengku. Sudikan jugak nanti ke rumah kami.”
“Pasti. Kami pasti akan sampai!” balas Tengku Dafina
penuh harapan bersama makna yang tersirat.
Kereta Toyota Wish milik Encik Izzuddin yang dipandu
Izzul mula bergerak meninggalkan perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra tersebut.
Dan sepanjang perjalanan pulang, Encik Izzuddin serta Puan Qarina tidak
henti-henti bersembang berkenaan Tengku Haiyan sekeluarga yang begitu baik dan
peramah terhadap mereka walaupun ini pertemuan kali pertama.
Cuma Irish seorang sahaja yang tidak menumpukan sepenuh
perhatian terhadap perbualan tersebut. Fikirannya melayang jauh memikirkan
kelakuan Tengku Harrys malam ini. Entah mengapa hatinya resah dengan sikap lelaki
itu. Dalam kedinginan Tengku Harrys, naluri wanitanya sedikit tersentuh dengan
perlakuan spontan lelaki tersebut sewaktu membantunya mendukung Qusyairi tadi.
Malah sewaktu kereta mereka mula bergerak, matanya sempat melihat ke arah
lelaki itu. Dan ternyata Tengku Harrys juga melakukan hal yang sama. Cuma
pandangannya kali ini kelihatan lebih lembut. Sedikit redup. Tidak seperti
ketika dia terserempak dengan Tengku Zafran di luar dewan sebelum itu. Sungguh!
Dia tidak faham sebenarnya. Sikap lelaki itu benar-benar membingungkannya.
Mujurlah Tengku Melissa tiada di majlis malam ini. Kalau tidak, tak tahulah apa
akan jadi.
‘Hmm... Tengku Melissa. Kenapa aku tak nampak lansung
muka dia kat majlis tadi, ya?’ Irish bermonolog sendiri. Ralat memikirkan
ketiadaan Tengku Melissa di majlis perkahwinan Tengku Hafiy, sepupunya itu
walaupun abangnya Tengku Zafran kelihatan hadir.
Tengku Zafran. Ah! Menyebut sahaja nama lelaki itu, hati
Irish sekali lagi dipagut resah. Entah mengapa dia seakan tidak selesa apabila
berdepan dengan lelaki tersebut. Seperti ada sesuatu yang tidak kena. Namun dia
tidak tahu berkenaan apa. Asyik benar melayani fikiran, akhirnya gadis itu
terlena di dalam kereta sebelum sempat sampai ke rumah.
No comments:
Post a Comment