“P
|
UKUL berapa awak cakap
dengan Izzul nak datang ke rumah orang tuanya nanti?” Tengku Haiyan menyoal
isterinya yang sedang menuang minuman panas ketika mereka sedang menikmati
sarapan pagi. Hanya mereka berdua dan Helena di meja makan ketika itu.
Anak-anaknya yang lain masih belum turun dari bilik masing-masing.
“Saya bagitahu Izzul petang. Lepas solat Zohor kita
geraklah, bang.”
“Dah
bagitahu anak-anak semua?”
“Sudah,”
balas Tengku Dafina. Memang dia sudah memaklumkan perkara itu pada kesemua
anak-anaknya. Hanya Tengku Hazleen sekeluarga yang tidak dapat turut serta
kerana mengikut suaminya pulang ke kampung.
“Harrys?”
soal Tengku Haiyan lagi.
“Dah,
bang. Awal-awal saya dah bagitahu dia.”
“Okay ke budak tu? Apa kata dia?”
“Nak
kata setuju, tidak. Nak kata membantah pun tidak. Insyaallah, dia okaylah tu.”
Jawapan Tengku Dafina membuatkan satu keluhan terbit dari
mulut lelaki separuh umur itu. Berfikir sejenak tentang penerimaan anak
lelakinya berkenaan hasrat mereka ini. Kalau boleh dia tidak mahu memaksa
anak-anaknya dalam soal memilih teman hidup. Biarlah mereka sendiri yang
tentukan pilihan masing-masing. Zaman sekarang bukan seperti dulu yang mana
calon pasangan ditentukan oleh orang tua.
“Morning, ma, pa!” sapa Tengku Hazreen
tiba-tiba dengan nada penuh ceria. Dia baru sahaja turun dari biliknya diikuti
Tengku Hafiy di belakang.
“Hmm,
turun dah? Mari sarapan sini. Sejuk nanti tak sedap pulak,” arah Tengku Dafina
pada anak-anak dan menantunya. “Abang kamu mana, Reen?”
“Abang?
Ni kan abang, ma. Mama tak nampak?” Tengku Hazreen menjawab sambil
melayang-layangkan tangan di hadapan mamanya. Spontan bahunya ditepuk.
“Ishh,
dia ni! Mama nampaklah. Maksud mama abang Harrys kamu. Mana dia? Tak turun
sekali ke?”
“Oooo...
Abang Harrys. Reen dah ketuk pintu bilik dia tadi. Senyap je,” terang gadis itu
seraya menyuap mee goreng ke dalam mulutnya.
“Fina.
Awak pergilah jenguk Harrys kat bilik tu,” pinta Tengku Haiyan.
“Tak
apa. I’m here.”
Suara itu membuatkan semuanya menoleh. Entah sejak bila
Tengku Harrys sudah berada
di ruangan makan
itu. Kelihatan dia begitu santai dengan jeans
dan t-shirt berserta jaket kulit yang
sudah tersarung kemas di badan. Di tangannya pula sudah siap memegang topi
keledar beserta sepasang glove.
Lelaki itu menghampiri meja makan. Disalami satu-persatu ahli keluarganya
sebelum berlalu dari situ.
“Nak ke mana, Harrys?” tanya Tengku Haiyan, membuatkan
langkah lelaki itu terhenti.
“Keluar.”
“Keluar? Pukul berapa nak balik? Harrys tak ingat hari ni
kita nak pergi mana?” sedikit terkejut Tengku Dafina dengan jawapan anak
bujangnya.
Lama Tengku Harrys terdiam di situ. Seketika suasana
menjadi sedikit sepi. Masing-masing bagaikan menunggu jawapan darinya. “Papa
dengan mama buatlah apa yang baik untuk Harrys. Harrys terima. I’ve got to go. Assalamualaikum.”
Sebaik
menghabiskan ayatnya, Tengku Harrys terus berlalu meninggalkan mereka di meja
makan. Semua yang ada di situ kelihatan terpinga-pinga. Sudah lama Tengku
Harrys tidak menunggang motosikalnya. Mereka sudah sedia maklum yang lelaki itu
lebih gemar memandu kereta untuk ke mana-mana, termasuklah ke pejabat.
Motosikal itu hanya akan dinaiki jika dia berada dalam keadaan emosi yang tidak
baik. Dari riak lelaki itu tadi, memang agak tegang kelihatan wajahnya.
“Apa
yang tak kena dengan anak bujang awak tu, Fina?” lembut sahaja suara Tengku
Haiyan bertanyakan isterinya.
“Entahlah,
bang. Saya pun tengah fikir jugak ni apa yang tak kena.”
“Ma...
Abang Harrys kalau dah bawa sports bike
dia, means jiwa kacaulah tu!” Tengku
Hazreen mencelah tiba-tiba.
“Jiwa
kacau? Kenapa pulak?”
“Dia
tengah marahlah tu,” jelas Tengku Hazreen lagi.
“Iyalah.
Marah kenapa? Kalau tak cakap, mana nak tahu apa yang dia marahkan tu.”
Kata-kata
Tengku Dafina itu membuatkan tawa Tengku Hafiy pecah tiba-tiba. Spontan semua
mata tertumpu ke arahnya.
“Yang
kamu ni tiba-tiba ketawa kenapa, Fiy? Orang tengah susah hati fikir pasal adik
dia yang sorang tu, dia boleh senang hati ketawa pulak!” tingkah Tengku Dafina
sedikit geram melihat gelagat anak lelaki sulungnya itu.
“Harrys
tu jiwa kacau pasal mama carikan calon isteri untuk dialah tu. Macamlah mama
tak tahu anak bujang mama tu kan allergic
perempuan!”
“Tapi
mama bukannya cari calon yang bukan-bukan untuk dia pun!”
“Ha!
Yang tu satu lagi. Awak dah bagitahu Harrys ke belum?”
“Bagitahu apa, bang?”
“Siapa calon pilihan awak tu. Harrys dah tahu belum siapa
kita nak pergi pinang nanti?”
Terdiam Tengku Dafina seketika, seperti baru teringatkan
sesuatu. Lambat-lambat dia menjawab. “Belum. Saya ingat nak bagitahu
nanti-nantilah.”
Sekali lagi Tengku
Hafiy tergelak. Kali ini lebih galak dari tadi hingga membuatkan Helena di
sebelah menepuk lengannya agar dia memperlahankan tawa.
“Patutlah pun dia marah sangat. Mama tak bagitahu lagi
rupanya siapa calon menantu pilihan mama tu. Hai! Harrys, Harrys!” Tengku Hafiy
menyambung kembali sisa-sisa tawanya itu. Sedikit tercuit dengan apa yang
sedang berlaku. Dia yakin kalau mamanya berterus terang tentang siapa calon pilihannya,
keadaan mungkin akan menjadi sebaliknya.
‘Kau ingat abang tak tahu apa yang ada dalam hati kau,
Rys. Ini abang kaulah!’ senyuman Tengku Hafiy semakin melebar.
KEDATANGAN Tengku Haiyan
sekeluarga disambut penuh mesra oleh seluruh keluarga Encik Izzuddin. Seawal
kehadiran mereka tadi hingga ke meja hidangan, dan kini sudah kembali duduk di
ruang tamu rumah itu, ada sahaja perkara yang disembangkan oleh dua buah
keluarga tersebut. Bagaikan sudah lama mengenali walaupun ini adalah pertemuan
kali kedua mereka selepas majlis perkahwinan Tengku Hafiy kira-kira sebulan
yang lalu.
Semua yang ada di situ kelihatan
rancak berbual, kecuali Tengku Dafina yang sedikit gelisah. Kepalanya asyik
memikirkan tentang hajat yang membawa dia sekeluarga datang ke mari hari ini.
Dilihat anak menantunya rancak berborak dengan Puan Qarina bersama anak menantu
wanita itu. Manakala Tengku Hafiy, Izzul, dua adik lelakinya serta ipar-iparnya
masing-masing tidak berenggang sedari tadi. Apa sahajalah yang dibualkan oleh
anak-anak muda itu. Irish pula tiada di sini. Menghadiri majlis perkahwinan
kawan sekolah katanya. Itu satu hal. Yang suaminya ini pula pun asyik benar
bersembang dengan ayah Izzul. Terlupakah suaminya itu niat utama mereka datang
ke sini?
Dalam kerancakan mereka bersembang, telefon bimbit Encik
Izzuddin tiba-tiba berbunyi. Lelaki itu meminta diri untuk menjawab panggilan
sebentar. Kesempatan ini tidak dilepaskan oleh Tengku Dafina untuk bercakap
dengan suaminya.
“Amboi! Seronok betul abang berbual, ya.”
“Kenapa, yang? Salah ke? Lagipun memang betul abang
seronok bersembang dengan ayah Izzul tu. Banyak cerita dia.”
“Memanglah tak salah, bang. Tapi abang lupa ya tujuan
sebenar kita datang ke mari untuk apa? Bersembang tu lepas-lepas ni pun boleh,”
bisik Tengku Dafina seraya menjeling suaminya di sebelah.
“Hai, nak jeling-jeling manja pulak isteri abang ni kat
sini. Abang tak lupalah, Fina. Cuma tengah cari waktu yang sesuai. Tak bolehlah
nak terus terkam. Kita kan nak menyunting anak dara orang ni. Kenalah sabar.”
Sebentar kemudian kelihatan Encik Izzuddin kembali ke
ruang tamu dan duduk semula di tempatnya. “Maaf ya, Tengku. Client call tadi.”
“Tak mengapa, Encik Izzuddin. Biasalah kerja ni kadang
tak kira waktunya bila.”
“Ha... lupa pulak. Dah lama bersembang ni baru perasan.
Tengku tak usahlah berencik-encik dengan saya. Panggil Izzuddin je dah cukup.”
Tengku Haiyan tertawa kecil. “Yelah, Izzuddin. Tujuan
kami ke sini pun untuk mengeratkan lagi silaturahim antara keluarga kita. Izzul
tu dah macam anak kami sendiri sejak dia berkawan dengan Hafiy. Tapi saya
dengan isteri ni tak pernah lagi jumpa orang tua dia. Alhamdulillah, orang kata
rezeki kamilah hari ni dapat kenal dengan lebih rapat macam ni. Terima kasihlah
sebab Izzuddin dan keluarga sudi terima kedatangan kami.”
“Eh! Tak
ada apalah, Tengku. Sepatutnya kami yang ucap terima kasih sebab Tengku
sekeluarga sudi datang ke teratak kami ni. Sudi terima layanan kami sekeluarga.
Kalau ada yang terkurang tu, maaflahlah ya. Maaf jugak pada yang lain-lain.”
“Tak ada
apa yang kurang pun, Izzuddin. Semuanya cukup.”
“Alhamdulillah.”
Encik Izzuddin menarik lafaz lega tatkala mendengar jawapan Tengku Haiyan.
Risau juga sekiranya layanan yang diberikan tidak dapat memuaskan hati tetamu
mereka yang bukan sebarangan orang itu.
“Izzuddin...,”
kata-kata Tengku Haiyan terhenti di situ. Mulutnya terasa berat tiba-tiba untuk
meneruskan ayatnya. Dia mencuri nafas seketika sebelum menyambung bicara.
“Memang tujuan kami datang ni untuk berkenal-kenal dan mengeratkan lagi hubungan
keluarga kita. Tapi ada satu lagi hajat lain yang kami bawa bersama untuk
dibincangkan.”
“Hajat
apa tu, Tengku?” soal Encik Izzuddin sedikit hairan.
“Begini,
Izzuddin.Saya bagi pihak keluarga datang ke mari membawa hajat sebenarnya.
Hajat untuk merisik dan menyunting bunga yang sedang mekar dalam rumah Izzuddin
ni.”
Berderau
darah Encik Izzuddin tatkala mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Tengku
Haiyan itu. Menyunting bunga di dalam rumahnya? Adakah lelaki itu tersalah
cakap? Atau telinga dia yang tersilap dengar? Menyunting bunga di dalam
rumahnya beerti ingin menyunting anak gadisnya.
“Betul
ke apa Tengku cakapkan ni? Atau mungkin saya yang tersilap dengar.”
“Tak,
Izzuddin. Memang betul apa yang saya cakapkan ni. Dan tak mungkin Izzuddin dan
yang lain-lain salah dengar.”
Sekelip
mata wajah Encik Izzuddin berubah. Dahinya juga berkerut memikirkan sesuatu.
“Tengku... bunga yang ada dalam rumah saya ni cuma tinggal sekuntum je. Dan
bunga tu cuma tinggal Irish seorang.”
“Iya.
Memang Irishlah yang kami maksudkan, Encik Izzuddin.” Laju sahaja Tengku Dafina
mengiyakan kata-kata itu. Berharap benar agar hajatnya itu diterima.
“Kalau
tak keberatan boleh saya tahu. Untuk siapa risikan ni, Tengku?”
“Untuk
anak lelaki kami. Tengku Harrys.”
Berderau
sekali lagi darah Encik Izzuddin saat mendengar penjelasan Tengku Dafina. Tidak
tahu apa yang harus diperkatakan. Sekilas ingatannya melayang pada anak
gadisnya yang entah berada di mana ketika ini.
Suasana
di ruang tamu itu berubah menjadi hening. Masing-masing tidak bersuara. Baik
keluarga Tengku Haiyan apatah lagi keluarga Encik Izzuddin. Puan Qarina juga
hanya mengambil sikap berdiam diri apabila perkara ini disuarakan secara
tiba-tiba. Dia dapat melihat ketegangan di wajah suaminya. Bagaimana berat perasaannya
saat ini, dia yakin suaminya itu juga sedang merasakan hal yang sama.
“Macam
mana, Izzuddin? Dapat terima hajat kami ni?” Tengku Haiyan memberanikan diri
bersuara setelah melihat lelaki itu hanya terdiam sedari tadi.
“Irish
tahu ke tentang hal ni?”
“Tak,
Encik Izzuddin. Irish tak tahu. Cuma Izzul je yang tahu tentang perkara ni.”
Serentak
itu pandangan mata Encik Izzuddin menyorot ke arah anak sulungnya. Izzul pula
cuma mampu membalas pandangan itu dengan perasaan bersalah. Pada keluarganya
sekadar diberitahu tentang kedatangan keluarga Tengku Haiyan hari ini hanya
untuk berkenalan dengan lebih rapat lagi tanpa memberitahu hal yang satu itu.
“Err...
Encik Izzuddin jangan marah Izzul, ya. Memang saya yang pesan pada Izzul supaya
rahsiakan perkara ini dulu. Biar kami yang sampaikan hajat kami ni sendiri,”
beritahu Tengku Dafina
lagi.
Encik Izzuddin menundukkan wajah. Satu keluhan berat
dilepaskan. Tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan kepada keluarga itu.
Memang kalau diikutkan, dia tidak layak lansung untuk bergaul dengan keluarga
Tengku Haiyan. Inikan pula berbesan. Tetapi dari pengamatannya, jelas yang
mereka benar-benar megharapkan hajat ini dapat diteruskan. Dalam keadaan kusut
begini, dia hanya teringatkan nasib Irish.
“Macam
nilah, Tengku. Saya nak bagi apa-apa keputusan pun tak berani. Sebab bukan saya
yang dirisik. Apa-apa sekalipun, kami sekeluarga kena berbincang dan bertanya
pada tuan empunya badan sendiri sama ada dia setuju ataupun tidak. Faham jelah
kan budak-budak zaman sekarang ni. Semuanya nak ikut kehendak sendiri. Yang
saya boleh cakap sekarang, saya mohon budi bicara Tengku dan keluarga untuk
beri kami sedikit masa berbincang dan buat keputusan.”
Penjelasan
Encik Izzuddin itu membuatkan Tengku Haiyan tersenyum. Mengerti dengan maksud
kata-kata lelaki di hadapannya ini. Kemudian dia menoleh Tengku Dafina di
sebelah. Dia tahu isterinya itu sedikit kecewa dengan jawapan Encik Izzuddin.
Pantas jemari wanita itu digenggam, memujuknya agar bersabar.
“Assalamualaikum.”
Kedengaran
satu suara lembut memberi salam, sekaligus mengalihkan perhatian mereka semua
yang berada di situ.
“Baru
balik, Irish.” Puan Qarina menyapa Irish yang sedang menuju ke arah mereka.
“Iya,
umi.”
Irish sedikit terkejut kala melihat ruang tamu rumah
dipenuhi dengan tetamu-tetamu yang sama sekali di luar jangkaannya. Dalam
termangu kakinya tetap juga melangkah untuk bersalaman dengan mereka. Sebelum
keluar tadi memang dia telah dimaklumkan bahawa ada tetamu yang akan datang ke
rumah hari ini. Namun tidak sangka pula tetamu yang dimaksudkan itu adalah
keluarga Tengku Haiyan.
“Dah lama sampai, Mak Engku?” tanya Irish
sewaktu bersalaman dengan wanita itu.
“Dah lama jugak, Irish. Dah siap makan pun kami semua.”
Irish
tersenyum mendengarkan jawapan tersebut sebelum dia berlalu ke arah Puan Qarina
dan duduk di sebelah uminya itu.
“Berbalik pada perbincangan kita tadi, kalau Izzuddin
sekeluarga perlukan masa untuk berbincang dan buat keputusan, tak mengapa. Kami
faham. Yelah. Nak mendirikan masjid ni bukan satu perkara yang mudah, kan.
Tambah-tambah lagi kalau bukan dengan pilihan sendiri.” Tengku Haiyan
menyambung bicaranya. Kemudian dia menoleh pada Tengku Dafina.
Bagaikan mengerti maksud pandangan itu lantas wanita itu
membuka beg tangannya untuk mengambil sesuatu. Setelah itu dia meletakkannya di
atas meja. “Kak Ina, ini sebagai tanda hajat kami. Tak kisahlah berapa lama
masa yang Kak Ina dan keluarga perlukan untuk berbincang dan buat keputusan.
Tapi saya harap Kak Ina dapat terima dan simpan cincin ni dulu. Bila dah ada
keputusannya nanti, bagitahulah kami. Kalau hajat kami ni diterima,
Alhamdulillah. Tapi kalau jawapannya nanti sebaliknya, saya tak kisah kalau
akak nak pulangkan semula. Kalau tidak pun, tak apa. Anggap saja ini sebagai
hadiah dari kami.”
Puan Qarina mengambil barang yang berupa sebuah kotak
baldu kecil berwarna merah itu lalu dibukanya. Sebentuk cincin belah rotan yang
ringkas tetapi menarik reka bentuknya terletak rapi di dalam kotak tersebut.
Memang cantik. Dan yang pasti harga cincin itu juga bukan setakat ratusan
ringgit. Puan Qarina memandang Irish di sisi. Begitu juga dengan Irish. Dia
tahu anaknya itu pasti tertanya-tanya keadaan yang sedang berlaku ketika ini.
Kotak yang berada di tangan itu ditutup semula sebelum diletakkan kembali di
atas meja.
“Terima kasih, Tengku. Tapi akak rasa belum masanya untuk
kami terima cincin ini. Lebih-lebih lagi, kami belum beri apa-apa kata putus.”
“Tak apa, Kak Ina. Macam yang saya cakapkan tadi. Saya
memang nak akak simpan cincin tu dulu. Bila dah ada kata putus nanti akak
bagitahulah kami, ya.”
Irish yang sedari tadi menjadi pemerhati, semakin bingung
mendengarkan perbualan yang sememangnya tidak diketahui hujung pangkalnya itu.
Tiba-tiba dia teringatkan Izzul. Mungkin alongnya tahu tujuan kedatangan Tengku
Haiyan sekeluarga ke rumah mereka hari ini. Pantas matanya mencari wajah lelaki
itu menagih jawapan. Namun cepat-cepat Izzul melarikan pandangan darinya.
Begitu juga dengan adik beradiknya yang lain. Seakan mereka tidak mahu bercakap
dengannya, apatah lagi memberitahu apa yang sedang terjadi.
‘Kenapa dengan semua orang ni. Buat tak tahu je aku
pandang. Cincin? Bincang? Kata putus? Hmm... dengan siapa aku nak tanya ni,
ya.’
Minda Irish terus ligat memikirkan tentang isi perbualan
antara keluarganya dengan keluarga Tengku Haiyan itu. Hinggalah ke petang
selepas tetamu sudah berangkat pulang, masih tiada seorang pun yang berani
membuka mulut untuk menerangkan tentang keadaan sebenar yang telah berlaku
sepanjang hari ini.
No comments:
Post a Comment