L
|
ANGKAHNYA diatur penuh
kemas memasuki bangunan besar itu. Ini kali kedua dia menjejakkan kaki ke Haiyan
Holdings. Kali pertama lebih kurang tiga minggu yang lalu sewaktu dia
menghadiri temuduga. Namun hari ini kakinya melangkah dengan penuh semangat
untuk memulakan satu fasa baru dalam hidupnya dan akan terus melangkah pada
hari-hari yang berikutnya demi membina kerjaya serta cita-cita di syarikat itu.
Sama seperti sebelum ini, hatinya tetap berdebar-debar
ketika memasuki ruang legar bangunan tersebut. Cuma kali ini debarannya agak
berlainan memandangkan hari ini adalah hari pertama dia berkhidmat di sini.
‘Mampukah kau melaksanakan segala tugas yang akan dipertanggungjawabkan pada
diri kau, Irish? Bukan calang-calang syarikat tempat kau akan bekerja ini.’
Hatinya berbisik risau.
“Tak apa, Irish. Belum cuba belum tahu. Insyaallah, kau
boleh!” Irish menasihati diri-sendiri. Segera kakinya dihala ke meja penyambut
tetamu. Ruang legar ketika itu dipenuhi pekerja-pekerja Haiyan Holdings yang
mula memasuki pejabat masing-masing.
“Assalamualaikum. Selamat pagi,” sapa Irish pada gadis
yang berada di meja penyambut tetamu itu dengan lembut.
“Waalaikumussalam.
Selamat pagi. Ya cik, boleh saya bantu?” gadis itu menjawab sopan lalu
tersenyum.
“Saya datang untuk lapor diri hari ni.”
“Oh, cik
nak lapor diri? Tunggu sebentar, ya.” Bicara gadis itu sambil tunduk memeriksa
fail yang berada di hadapannya. Sesaat kemudian, dia mendongak semula memandang
Irish. “Cik Irish Qiara binti Izzuddin?”
“Ya,
saya.”
“Cik Irish boleh ikut saya. Silakan.”
Gadis itu bangun dan meminta Irish mengikutinya sambil di
tangan memegang erat sebuah fail. Hanya beberapa langkah mereka berjalan, Irish
memanggil gadis tersebut.
“Err, maaf cik....”
“Panggil
je saya Zaryn, Cik Irish.” Gadis itu memperkenalkan diri. Tampak mesra dengan
senyuman di bibir, membuatkan Irish berani untuk memulakan perbualan.
“Zaryn, tak ramai ke yang lapor diri hari ni?”
“Ada tiga orang je yang perlu lapor diri hari ni.
Termasuk Cik Irish.”
“Patutlah senang je Zaryn dapat detect saya.”
“Sudah semestinya! Lagipun, Cik Irish sorang je
perempuan. Yang lagi dua orang tu lelaki. So
bila Cik Irish cakap nak lapor diri tadi, saya cuma check nama je.”
Irish menganggukkan kepalanya. Terasa ada keserasian bila
dia bersembang dengan gadis kecil molek ini, walhal ini baru pertama kali
mereka berbual. Satu perkara yang amat jarang bagi dirinya apabila bertemu
dengan orang yang baru dikenali. Tempoh hari sewaktu hadir ke temuduga, dia
tidak terfikir untuk berbuat demikian dek kerana perasaan takut dan gemuruhnya.
Tetapi hari ini, ditambah lagi dengan sikap Zaryn yang peramah dan ceria
membuatkan Irish mula berasa senang dengan gadis tersebut.
“Macam mana interview
Cik Irish hari tu? Mesti seronok, kan?”
“Biasa je, Zaryn. Okaylah.
Alhamdulillah.”
“Mestilah okay,
kan? Kalau tak, tak adalah saya dapat jumpa Cik Irish lagi hari ni!”
“Oh ya, lupa! Saya tak sempat nak ucap terima kasih kat
awak lepas temuduga hari tu. Abang saya dah tunggu kat luar.”
“Tak apa, Cik Irish. Saya tak kisah pun. Ni dah jumpa,
kan? Lepas ni lagi hari-hari Cik Irish jumpa muka saya. Sampai dah tak larat
nanti nak tengok agaknya!”
Serentak itu ketawa mereka bergema di dalam lif. Mujur
hanya mereka berdua di dalam itu. Dan ketawa mereka terhenti sebaik sahaja
pintu lif terbuka di tingkat dua belas.
“Silakan, Cik Irish.” Zaryn melangkah keluar diikuti
Irish. “Bangunan syarikat ni ada lima belas tingkat semuanya. Satu level mewakili satu department. Pejabat Cik Irish kat tingkat dua belas ni which this level is for finance department.
Tapi level ni dia special sikit, tak sama dengan level yang lain. Sebabnya level ni sekali satu level dengan bilik CEO, CFO, COO dan
beberapa pegawai atasan Haiyan Holdings yang lain. Kalau Cik Irish perasan,
tingkat dua belas ni agak besar sikit berbanding tingkat-tingkat yang lain.
Memang bahagian kewangan syarikat ni dipantau rapi oleh Tengku sekeluarga. Jadi
senang sikit kalau letak satu level
ni. Cuma bilik Chairman je, iaitu
bilik Tengku Haiyan kat tingkat atas, tingkat tiga belas. So, Cik Irish ni kira bertuah tau. Dapat kerja satu level dengan our big bosses Haiyan Holdings!” seloroh Zaryn sambil mengangkat
sebelah keningnya.
“Bertuah apanya, Zaryn. Kecut perut adalah kena menghadap
mereka hari-hari!” Irish berbisik di telinga Zaryn, agak perlahan hingga
membuatkan gadis itu tergelak kecil.
“Relaxlah, Cik
Irish. Big bosses kat sini semuanya
baik-baik. Tak pernah beza-bezakan pangkat walaupun mereka bukan berketurunan
biasa. Saya dah empat tahun kerja kat sini, dah rasa macam kerja dengan keluarga
sendiri. Cik Irish dah lama kat sini nanti tahulah rasanya
macam mana.” Zaryn kembali berbisik pada Irish.
Sampai sahaja di hadapan sebuah bilik, Zaryn menghentikan
langkahnya. Kemudian dia berpaling menghadap Irish. “Sampai sini je saya boleh
hantarkan Cik Irish. Lepas ni Kak Maisarah, setiausaha Tengku Hafiy pulak yang
akan uruskan,” ujar gadis itu sambil memandang ke arah wanita yang dimaksudkan.
“Tadi bukan Zaryn cakap ada dua orang yang lain ke yang
kena lapor diri hari ni. Mana diorang, ya?”
“Oh, yang tu! Memanglah ada lagi dua orang. Tapi diorang under department lain. Cik Irish sorang
je yang saya kena hantar kat bahagian finance
ni. Lepas ni Cik Irish bolehlah masuk.”
“Hmm? Masuk? Masuk mana?”
“Masuk bilik Tengku Hafiy, our CEO. Memang dia dah pesan nak berjumpa dengan semua staff baru on first day mereka mulakan tugas di sini.”
Zaryn lantas menyerahkan fail yang dipegangnya kepada
wanita yang dipanggil Kak Maisarah tadi sambil berkata sesuatu.
“Okay, Cik
Irish. Saya turun dulu. Kalau ada apa-apa, saya ada kat bawah. Tapi kalau macam
jauh sangat nak turun, Kak Maisarah yang dekat ni pun ada. Jangan risau. Staff kat sini semuanya sporting-sporting. Tak gitu, Kak Mai?”
soal Zaryn pada Kak Maisarah. Wanita itu
hanya mengangkat kedua ibu jarinya sambil tersenyum.
“Okay, Cik
Irish. Saya gerak dulu. Enjoy your first
day!” Zaryn mengenyitkan matanya sambil berlalu meninggalkan Irish.
IRISH duduk di dalam ruangan pejabat
itu sendirian. Baru sebentar tadi Kak Maisarah memaklumkan bahawa Tengku Hafiy
menyuruh agar dia masuk ke sini terlebih dahulu kerana lelaki itu ada beberapa
hal yang perlu diuruskan. Sementara menunggu tuan empunya bilik tiba, mata Irish
melilau memandang setiap sudut ruang pejabat yang tersusun kemas dan rapi itu.
Ringkas tetapi menarik. Mungkin sama seperti tuannya yang sederhana, tetapi
berkarisma. Itu yang didengar daripada mulut Izzul tentang rakan baik alongnya
itu.
Irish memandang jam di tangan. Jarum sudah menunjukkan
angka 9.30 pagi. Perasaannya mulai gelisah. ‘Ada ke tak, ya?’ desisnya. Hati
Irish mula berbolak-balik. Namun hanya seketika bila tiba-tiba kedengaran pintu
bilik pejabat itu terkuak dari luar.
“Assalamualaikum.”
Suara
seorang lelaki di belakang menyapa telinganya. Irish bingkas bangun dari kerusi
yang diduduki. “Waalaikumussalam.”
“Tak
apa. It’s okay. Duduk je, Cik Irish.
Maaf saya lambat sikit. Ada hal yang kena settled
dulu. Maklumlah, hari Isnin.” Tengku Hafiy memberitahu dengan ramah sambil
senyuman terukir di bibirnya.
“Tak apa, saya faham.”
“Dah
lama tunggu?”
“Tak
adalah, Tengku.” Tenang Irish menjawab. Namun yang sebenarnya dia cuba menutup
rasa gugup dalam diri kerana pertama kali berhadapan dengan majikannya ini.
Tengku
Hafiy memandang Irish sekilas, sebelum matanya dialih pada fail yang diberikan
oleh setiausahanya sebelum dia masuk ke sini tadi. Fail tersebut mengandungi
semua maklumat dan dokumen berkenaan gadis yang sedang berada di hadapannya ini.
Hanya sepintas lalu, dia menutup kembali fail tersebut.
“Hmm...
rasanya tak ada apa yang perlu ditanya lagi. Dengan adanya awak kat sini hari
ini maka terjawab sudah yang awak merupakan salah seorang daripada tiga calon
yang telah dipilih untuk berkhidmat dengan Haiyan Holdings. Dan mengikut
penilaian kami, awak adalah calon yang layak untuk memegang jawatan sebagai Financial Executive di sini. So Cik Irish, awak dah bersedia untuk
menjadi sebahagian daripada kami?”
“Insyaallah,
saya akan berikan yang terbaik dan termampu untuk syarikat.” “Baiklah. Saya ucapkan selamat datang dan
selamat menyertai keluarga Haiyan Holdings. Semoga tujuan kita untuk memajukan
lagi syarikat ini akan diberkati dan diredhai olehNya. Insyaallah. Jadi
sekarang mari, saya perkenalkan awak pada staff-staff
di sini dan apa yang ada kat tingkat ni. Kemudian saya akan tunjukkan bilik
awak. Silakan,” ujar Tengku Hafiy seraya bangun dari kerusi sebelum Irish
menuruti langkahnya di belakang.
Semua pekerja yang berada di tingkat dua belas
diperkenalkan kepada Irish. Bukan itu sahaja, malah Tengku Hafiy juga turut
menunjukkan setiap ruangan yang terdapat di tingkat itu bagi memudahkan pekerja
barunya untuk memulakan tugas di syarikat berkenaan. Irish yang pada mulanya
agak gementar, mula terasa yakin dan seronok sedikit demi sedikit tatkala
diperkenalkan kepada semua pekerja di tingkat itu yang pada pengamatannya amat
mesra dan peramah. Majoriti mereka adalah Melayu. Hanya beberapa orang sahaja
yang berketurunan Cina dan India serta bumiputera Sarawak. Selesai sahaja
urusan tersebut, Tengku Hafiy kemudiannya membawa Irish masuk ke sebuah bilik.
“Alright, Cik Irish. This is your room. How is
it? Kalau rasa tak selesa, terlalu kecil ke atau apa saja, let me know.”
“Eh, tak
ada Tengku. Ini dah lebih dari selesa. Terima kasih.”
“Kalau
macam tu, tak apa. Tapi kalau ada apa-apa, just
inform me. Alright?”
“Baik,
Tengku.”
“Good. Saya keluar dulu. Sekejap lagi
pembantu awak, Insyirah akan datang dan awak bolehlah belajar sikit-sikit dulu
dengan dia berkenaan syarikat ni. Apa-apa masalah, awak rujuk dengan dia. This is you first day. So just relax and
stay calm. Semuanya akan baik-baik saja.” Tengku Hafiy memberikan kata-kata
akhirnya dengan sebuah senyuman.
Sebaik
Tengku Hafiy keluar dari bilik itu, Irish menarik nafas sedalam-dalamnya.
Setiap ruangan bilik itu diperhatikan. Bilik itu tidaklah kecil. Tidak juga
terlalu besar seperti bilik Tengku Hafiy. Sederhana sahaja, namun cukup untuk
membuat dia berasa sangat selesa. Perabot, hiasan dalaman, lukisan. Semuanya
serba ringkas, tetapi menarik dan elegan.
‘Hmm...
macam mimpi je aku ada kat sini. Inilah rezeki yang umi dan ayah cakapkan.
Rezeki yang Allah dah tentukan untuk hambaNya. Lagi banyak kita bersabar, lagi
besar rezeki yang Allah akan berikan. Dan sekarang semuanya sudah jelas depan
mata. Cuma tinggal usaha sahaja yang perlu ditingkatkan lagi untuk mencapai
cita-cita dan impian hidup yang selama ini aku doa dan impikan. Tanpa menoleh
ke belakang lagi.’
Nafas lega dihela untuk kesekian kalinya.
2 comments:
ok....smkn mnarik....pmulaan nvl yg agk cool...mcm bru nk msuk sesi pmnasan enjin...jgn lm2 sgt coolnye ye...tkut bosan plak nnt...pepun xsbr nk tggu kmunculn sang hero...pandai btul cik pnulis smpn...TAHNIAH.
celoratecute : trm ksh.. Insyaallah.. harap2 jgnlah bosan ya.. :)
Post a Comment