Friday, July 22, 2016

BAB 3 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)






T

UK! Tuk! Tuk!

“Ya Irhan, ada apa?”

“Along panggil akak.”

            “Hmm? Along? Eh, ada apa along datang pagi-pagi ni?”

            “Tak tahulah. Adalah tu hal penting dia datang nak jumpa akak.”

Irish kerut dahi. Hal penting apa yang membawa alongnya datang ke mari pagi-pagi Sabtu begini?

            “Hei! Termenung pula dia. Cepatlah! Along dah tunggu tu!”

Masuk saja ke dapur, Izzul sedang bersembang dengan orang tua mereka. Irfan sudah  pulang ke kampusnya di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.  

“Along, dari mana? Dah lama sampai?” tanya Irish menyalami lelaki itu.

            “Baru aje tadi. Dari rumah terus ke sini.”

“Irhan cakap along nak jumpa Irish. Kenapa, long?”

            “Kata dah start cari kerja. Dah ada yang bagi jawapan?”

            “Adalah juga. Tapi kebanyakan offer bahagian sales and marketing. Tak minatlah.”

            “Hermm... kasihanlah syarikat-syarikat tu long kalau Kak Irish yang jadi pegawai pemasarannya. Nak buka mulut dengan orang baru kenal pun susah, inikan nak berurusan dengan orang yang dia tak kenal? Memang tak jalanlah jawabnya!” seloroh Irhan, buat ketawa yang lain berderaian.

            “Tak apalah. Mungkin belum rezeki Irish.” Encik Izzuddin bersuara memujuk.

            “Yang itu bukan rezeki Irish. Tapi yang ini insya-ALLAH rezeki Irish mungkin,” seraya Izzul menghulur satu sampul surat berwarna putih.

“Surat apa ni, long?”

            “Kan along ada tolong surveykan kerja untuk Irish. Lepas Irish bagi resume hari tu, terus along tanyakan kawan-kawan kalau ada kekosongan kat syarikat dia orang. Lupalah tu!”

“Oh, ya. Lupa!”

            “Memang pun!” Izzul menumbuk lembut pipi Irish. “Ini syarikat terawal yang bagi jawapan. Yang terawal juga suruh datang temuduga. Tengah hari ni along nak balik Kuantan, sepupu kak long kahwin. Minggu depan along outstation, hari Khamis sampai Ahad. Ni yang along datang pagi-pagi nak bagi surat ni sebab temuduga tu hari Isnin minggu berikutnya.”

            “Syarikat mana ni, long?” tanya Irish yang masih meneliti surat tersebut.

            “Syarikat keluarga kawan along masa kat U dulu. Kebetulan memang syarikat along klien tetap dia. So, sambil menyelam minum airlah!”

            “Kat mana tu, long? Jauh ke?”

            “Kat PJ juga, umi. Umi tak payah risaulah. Along ada dekat-dekat situ juga.”

            “Habis Irish nak pergi temuduga tu nanti dengan siapa? Tahu ke tempatnya?”

            “Tak apa. Nanti hari Isnin tu along minta cuti, umi. Bolehlah tolong hantarkan. Okeylah, along gerak dulu. Takut lambat nanti sampai kampung Fiya,” pamit Izzul menyalami semua ahli keluarganya sebelum bergerak pulang. “Nanti Irish preparelah mana yang patut. Ini aje yang along dapat tolong. Selebihnya... Irish kena usaha sendiri. Buat solat hajat sekali.”

            “Insya-ALLAH. Terima kasih banyak-banyak, long.”

            “Tak ada apalah. Bukan untuk orang lain pun. Untuk adik along juga!” Kepala Irish lantas diusap Izzul sebelum memaut erat bahu adik perempuan bongsunya itu. 


**********

IRISH meletakkan kembali al-Quran ke tempat asal usai mengaji. Sudah menjadi kelaziman untuk dia membaca kitab suci itu selepas solat subuh dan maghrib setiap hari. Amalan yang dipraktikkan semenjak dari zaman belajar.

Selesai melipat telekung dan sejadah, gadis itu menuju ke meja tulis di sudut kiri bilik. Komputer riba dihidupkan. Niat ingin melihat e-mel sebentar sebelum masuk tidur. Mana tahu ada syarikat lain yang telah memberi jawapan.

Namun... hampa.

Tiada langsung balasan e-mel yang menawarkan pekerjaan untuknya.

 Tetingkap windows kembali ditutup sebelum mencari butang ‘shut down’. Baru jari ingin menekan...

Blink!

Yahoo Messengernya berbunyi tanda disapa.

Nazmi Jauhari : Assalamualaikum.. Hai sweet girl! Apa khabar?

 

Nazmi Jauhari, rakan mayanya dari Brunei. Tetapi sedang melanjutkan pengajian di Kanada dalam bidang kejuruteraan perkapalan.

Sudah agak lama Irish tidak berbual dengan kenalannya itu. Meskipun hanya berkenalan melalui Facebook, namun dia selesa bersahabat dengan Nazmi kerana keramahannya. Tambahan, usia mereka sebaya.

Irish Izz : Walaikumussalam.. Alhamdulillah, sihat.. Awak? Lama menghilang?

Nazmi Jauhari : Sihat jua.. Saya ada saja kat sini.. Awak tu yang menghilang.. Mana  pergi?

 

Walau berasal dari Brunei, namun lelaki itu tak janggal untuk berbahasa Melayu lantaran ramai rakan sepengajiannya berasal dari Malaysia.

Irish Izz : Maaf la, sibuk sikit dengan final exam.. Itu yang jarang online.. But now I’m free..  Study awak macam mana sekarang?

Nazmi Jauhari :  Study saya okey saja.. Means, awak dah habis belajar la ni?

Irish Izz :  Ya.. Tengah mencari kerja sekarang..

Nazmi Jauhari : Wah! Seronok la macam tu! Saya ada setahun lagi untuk habis.. 

Irish Izz : Belum kerja lagi pun.. So, habis study nanti terus balik Brunei?

Nazmi Jauhari : Yes! Inda sabar-sabar mahu balik Brunei.. Mahu jumpa family!

Irish Iz : Tak sabar nak jumpa family ke, tak sabar nak jumpa buah hati?

 

Irish menyakat rakannya. Sejak awal mereka sedia maklum status masing-masing.  Malah, banyak perkara dikongsi bersama biarpun hanya alam maya sebagai penghubung.

Nazmi Jauhari : Yang tu termasuk sekali la.. Sudah semestinya.. Lama inda jumpa.. Rindu sudah! Hahaha..

Irish Izz : Kan? Tahu dah..

Nazmi Jauhari : Terima kasih la Cik Irish kerana selalu memahami.. Buah hati awak macam mana? Bila nak kahwin ni?

 

Irish terdiam. Lambat-lambat jarinya menaip di atas papan kekunci.

Irish Izz : Dah kahwin dah..

Nazmi Jauhari : Hah??! Dah kahwin? Bila awak kahwin?Tak beritahu saya pun?!

Irish Izz : Bukan saya yang kahwin.. Dia... Tapi dengan orang lain..

Nazmi Jauhari: Whaattttt?! Eh, awak biar betul ni?!

Irish Izz :  Betul la.. Buat apa saya nak main-main..

Nazmi Jauhari : Since when?

Irish Izz : Lama dah..

Nazmi Jauhari : Irish! I’m so so sorry! Saya tak tahu. Kenapa tak beritahu saya?

Irish Izz : Tak ada apa la.. Benda dah lama.. Dah malas nak ingat.. Kalau saya cerita dengan awak sekalipun, bukannya awak boleh terus sampai ke sini..

Nazmi Jauhari : Kalau betul saya buat macam mana? Masalahnya, saya tak tahu! Tapi saya tak puas hati.. Lima tahun kut.. Takkan habis macam tu aje??!

Irish Izz : Dah itu yang dia nak, Nazmi.. Biar la..

Nazmi Jauhari :  Hmmhh! How dare him!!!

 

Senyuman Irish memotret di bibir. Jelas sahabatnya di sana sedang marah.

Nazmi Jauhari : Banyakkan bersabar, Rish.. He’s not the right man to you.. He’s not deserves to get you actually.. Insya-ALLAH, ada yang lebih baik untuk awak nanti..

Irish Izz : Kalau la masih wujud lelaki macam tu kat dunia ni, Nazmi..

Nazmi Jauhari: Eh, wujud! Mana pula tak wujud! Ada, ada..

Irish Iz : Mana?

Nazmi Jauhari : Contoh terdekat, orang yang tengah ber’chatting’ dengan awak ni..

Irish Izz : Kan? Awak memang suka masuk bakul angkat sendiri.. Malas la  layan..

Nazmi Jauhari : Hahaha.. Jangan la merajuk, sweet girl! 




BAB 2 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)






S

UASANA kediaman Encik Izzuddin riuh-rendah. Mana tidaknya, seluruh ahli keluarga berkumpul pagi Ahad itu. Puan Qarina figura yang paling sibuk di dapur sediakan sarapan dibantu anak menantu perempuannya.

“Angah, dah jenguk Irish dalam bilik tu? Dah siap ke belum? Karang lambat pula sampai U.” Tangan Puan Qarina terus mengacau sambal sotong dalam kuali untuk dihidang bersama nasi lemak pagi ini.

“Dah, umi. Tengah bersiap tu. Kejap lagi keluarlah dia.”

“Hmm... minta-minta eloklah dia ambil exam nanti. Pulanya majlis budak tu dibuat hari ni. Betul-betul ALLAH nak uji kita. Nasib baiklah Irish tak tahu fasal hal ni!”

“Irish dah tahu pun!”

Semua mata deras tertumpu pada Irma. Terhenti terus tugasnya mengelap pinggan. Sedar diri sudah terlajak kata.

“Semalam. Dia terdengar umi sembang dengan ayah fasal hal tu masa dia nak ke dapur. Irish yang beritahu kat alang malam tadi.”

“Habis Irish macam mana, lang?” tanya Safiya bimbang.

“Entah. Elok tenang aje alang tengok. Siap boleh gelak-gelak lagi. Alang pula yang terlajak risaukan dia. Tapi itulah... luaran aje nampak okey. Dalam hati, kita tak tahu. Yang alang boleh cakap, dia dah lupakan semuanya dan dah move on.”

Puan Qarina mengeluh perlahan. Itulah... cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Nak buat macam mana? Terlajak perahu bolehlah juga undur. Terlajak kata, badan sendirilah yang tanggung.            

“Umi, sudahlah tu...” Iman memaut lembut bahu Puan Qarina. “Angah tahu Irish tu kuat. Kita sendiri tengok macam mana kentalnya dia untuk bangkit kuat macam sekarang. Apa yang boleh kita buat cuma terus berdoa dan bagi semangat supaya dia tak down lagi, ya!”  

“Inaaa! Dah siap ke semua sarapannya? Anak cucu dah lapar dah ni. Abang jangan cakaplah... dah berkeroncong habis perut ni!” laung Encik Izzuddin tiba-tiba dari ruang makan.

Apalagi... menggelabah tak tentu arah masing-masing sudahkan kerja di dapur!



**********

"IRISH mana? Tak nampak-nampak dari tadi?”

Seisi penghuni di meja makan saling berpandangan.

“Ada ni, ayah.”

Kelibat yang dicari muncul jua di ruang berkenaan. Kelihatan sudah bersiap untuk ke universiti. Nasiblah... dapat jadual periksa jatuh pada hari Ahad. Hari pertama pula. Orang lain duduk bersantai rehat di rumah, dia pula terpaksa memerah otak di hujung minggu.

“Duduk sarapan dulu, Irish.”

            “Irish dah lambat, umi. Nanti terlewat sampai pula.”

“Duduk dulu, Irish. Jamah sikit sarapan ni. Awak nak ambil exam. Karang tak berjalan otak dengan perut kosong tu.” Izzul sudah menarik kerusi di sebelahnya. Sempat mata menangkap susuk tubuh adiknya yang ketara kelihatan susut.

Kali ini Irish  menurut. Kalau sudah along yang berkata-kata... siapa berani bantah? Dijamah sedikit kuih-muih bersama secawan teh ‘O’ panas buat mengalas perutnya. Selesai, satu-persatu ahli keluarga disalami.

Sampai pada giliran uminya... zap! Tubuhnya dipeluk erat tiba-tiba wanita itu.

“Maafkan umi ya sebab rahsiakan hal Reza. Umi cuma tak mahu Irish terganggu. Jangan difikirkan sangat apa yang berlaku hari ni. Exam Irish lebih penting.” 

“Tak ada apalah, umi. Irish okey. Jangan risau.” Irish melerai pelukan. Kedua belah pipi Puan Qarina dicium penuh kasih.

“Okey, semua! Irish pergi dulu. Doakan, ya!”

Hilang saja bayang Satria Neo dipandu gadis itu...

“Irish dah tahu ke?” Encik Izzuddin menghampiri isterinya.

Semua mata kini tertumpu pada Puan Qarina. Sedetik, wanita itu mengangguk lemah. Keluhan-keluhan kecil seraya terbit dari yang lain.

Puan Qarina kesat air mata yang mula tumpah. Pilu hati mengenangkan nasib Irish.

Bagaimana nanti anak itu dapat menghadapi kemelut hidup dalam usia mudanya? Masih kuatkah untuk menempuh berbagai lagi dugaan penuh berliku-liku di depan sana?

Wanita itu pejam mata. Tak sanggup untuk membayangkan.     



**********

FIGURA lampai itu bersandar di luar dewan. Memeluk buku-bukunya dalam menungan panjang. Masih tergambar riak wajah keluarganya sewaktu dia keluar rumah tadi.

Tampak risau. Risaukan dirinya yang mengambil peperiksaan dalam keadaan dia telah mengetahui tentang perkahwinan Reza hari ini.

Bohonglah kalau dirinya tak terkesan. Tetapi fokusnya pada peperiksaan melebihi fikirannya tentang lelaki yang tidak punya pendirian itu.

‘Biarlah... kalau itu yang kau mahukan. Cuma aku harap kau takkan menyesal dengan jalan hidup yang telah kau pilih ni, Reza.’

Suasana di luar Dewan Seri Budiman UiTM semakin lengang. Semua pelajar rata-rata sudah beransur meninggalkan dewan. Cuma kelibat orang yang dinanti masih tak kelihatan.

“Mana pergi budak seorang ni, ya? Dari tadi tak nampak batang hidung dia.”

            Lewat minit tercari-cari, akhirnya Irish putuskan untuk pulang sahaja. Kaki segera diayun meninggalkan kawasan dewan ke tempat letak kereta.

Pap!

Separa kuat bahunya ditepuk dari belakang. Buku dalam pegangan habis terlepas jatuh ke bawah berselerakan.

“Kau... kalau tak kejutkan aku macam tu... tak boleh, ya?!” soal Irish geram. Perlahan dia melutut, buku-bukunya diambil semula.

“Boleh! Tapi sebab aku suka tengok muka kau bila kalut macam tu, itu yang syok sikit kalau aku sergah!”

“Kan? Suka?”

“Sukalah! Dapat tengok muka kalut kau yang comel!”

Irish gumam bibir. Sebal melihat gadis di depan tertawa suka.

Athirah, sahabat baiknya sepanjang menuntut di UiTM. Memang itulah satu-satu rakannya semenjak dari zaman diploma. Hinggalah sambung ke ijazah, mereka masih bersama.

Pendek kata... di mana ada Athirah, di situlah ada dia.

“Kau pergi mana tadi? Puas aku cari sebelum masuk dewan.”

            “Sorry, Rish. Aku dah gerak awal tadi. Tapi terlupa bawa kad matrik, patah baliklah!”

“Asyik lupa aje, kan? Esok ada boyfriend, boyfriend pun asyik kena lupa agaknya.”

“Isk! Yang tu mana boleh lupa. Nanti boyfriend lari, susah!” seloroh gadis itu selamba.

            “Kau datang naik apa tadi?”

            “Aku tumpang housemate aku. Tapi, dia ambil exam kat tempat lain.”

            “So, balik ni?”

“Naik dengan kaulah! Macam tak faham!”

            “Manalah tahu kau nak keluar jalan-jalan cuci mata cari boyfriend dengan dia lepas ni.”

           “Amboi, amboi! Sedapnya mulut tu berkata!” Athirah bercekak pinggang. Dengan perlahan gadis itu menghampiri Irish. “Tapi kan... kalau kau yang nak bawa jalan-jalan, aku on aje. Kut betul terjumpa seorang dua mamat yang boleh buat calon!” 

Membulat mata Irish. “Kan? Kau memang pantang kalau disebut. Dan-dan itu kau terus ajak, kan?”

“Nasib kaulah Irish dapat kawan macam aku!” Athirah terus berlalu ke pintu kereta sebelah pemandu. “Yang kau tercegat lagi apahal? Nak pergi ke tak nak?”

“Yalah, yalah!”

Proton Satria Neo merun itu bergerak laju meninggalkan pekarangan universiti.


**********

"SO... apa rancangan kau lepas ni, Rish?” soal Athirah dalam langkahan mereka di dalam pusat membeli-belah SACC di Bandaraya Shah Alam itu.

“Aku ingat nak kerja dulu. Ada rezeki nanti, insya-ALLAH nak sambung Master.”

“Samalah. Aku pun terfikir macam tu. Tapi, sebelum kerja aku nak balik kampung sekejap. Jenguk keluarga. Sebulan lebih tak balik sebab exam. Rindu dah kat dia orang tau!” luah Athirah tersenyum sambil terbayangkan ahli keluarganya di Melaka.

“Baguslah. Apa-apa pun, keluarga yang paling penting. Jangan pernah lupakan mereka. Dia orang yang selalu ada dengan kita walau apa pun terjadi,” bicara Irish penuh makna.

“Jomlah kita pergi makan, Rish. Penat pula berjalan kalau tak shopping apa-apa ni.”

“Tahu pun penat. Tapi bila shopping, makan pun langsung dah tak ingat!”

“Macamlah kau tak kenal kawan kau yang hantu shopping ni! Hurmm... nampak gayanya macam tak ada rezekilah kita nak jumpa calon suami kat sini hari ni, Rish!”

            “Hai... ada hati juga nak mencari ke? Ingatkan lupa dah.”

            “Mestilah! Mana tahu antara lelaki dalam shopping mall ni, dia orang tu jodoh kita!”

“Dahlah, Cik Athirah. Jangan nak berangan.”

“Kau jangan, Rish. Masin mulut aku ni karang.”

“Untunglah kalau ada. Eh, Ira... aku nak pergi ladies sekejap. Kau tunggu, ya!”

Haluan Irish pantas dihala menuju ke tandas berhampiran. Pandangan hanya tertunduk ke lantai jubin yang berkilauan dek pantulan cahaya lampu dari siling atas.

“Ouch!”

Irish memegang bahunya. Tanpa sengaja, dia telah melanggar seseorang. Agak kuat hinggakan beg-beg kertas di tangan lelaki di depan terlepas jatuh ke lantai.

Dalam kalut, gadis itu mengutip semula beg-beg tersebut. Diserahkan kembali kepada pemiliknya tanpa mengangkat wajah. Punyalah takut dia hinggakan tak berani memandang wajah lelaki itu. Dia tahu, salahnya.

“Maaf!”

Empat puluh lima darjah Irish menunduk tubuhnya sebelum buru-buru beredar.

Lelaki tadi masih terkaku di tempatnya sehinggalah susuk dalam renungan menghilang dari radar penglihatan. Termangu dia seketika.

‘Tak sempat nak jawab dah lari? Takut benar!’

Dalam ukiran senyuman, figura tinggi itu menggeleng kepala sambil mengorak kembali langkahnya.  




BAB 1 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)


** Entry ini dan seterusnya adalah versi Bayangan Gurauan (BG) yang telah dibuat penambahbaikan untuk pihak Editor. Ada sedikit rombakan di dalam cerita telah saya lakukan atas nasihat mereka. Moga anda pembaca-pembaca yang saya kasihi semua terhibur.





PA?! riak Irish benar-benar terkejut.

Reza terus kaku berpeluk tubuh merenung ke tasik terbentang di hadapan. Tidak berani bertentang mata dengan gadis di sebelahnya setelah khabar duka yang dibawa petang itu.

“Jangan nak berguraulah, Reza. Awak sedar tak apa yang awak cakapkan ni?”

“Saya tak bergurau, Irish. Ini bukan masanya untuk bergurau.”

“Tapi kenapa? Berbulan lamanya awak hilang tanpa khabar berita. Saya macam dah separuh gila mencari. Tiba-tiba sekarang muncul, minta putus? Hmm? Apa benda semua ni?!” sedayanya gadis itu minimumkan suaranya dari pengunjung sekeliling.

“Maafkan saya, Irish. Semua ni berlaku di luar kawalan. Saya tak boleh nak buat apa-apa lagi. Keluarga saya tak restui hubungan ni.”

“Kenapa? Sebab kita tak setaraf? Sebab saya anak orang biasa dan awak anak orang berada? Sebab tu keluarga awak tak boleh nak terima saya? Macam tu?”

No, Irish. Bukan macam tu.”

“Habis tu, apa?!”

Reza bungkam. Tidak tahu apa harus dijawab. Perlahan tubuhnya beralih menghadap Irish. Mata gadis itu ditentang. Dari raut rupa, dia tahu gadis itu sedang menahan amarah.

“Cakaplah. Kenapa diam? Kenapa baru sekarang nak sebut tentang semua ni? Kenapa tak dari dulu lagi? Waktu mula-mula awak nakkan saya dulu? Mentah-mentah saya tolak awak waktu tu, tapi awak berkeras cakap takkan ada masalah timbul. Sebab yakin keluarga awak sangat sporting, open minded untuk terima semua ni. Awak janji perkara ni takkan berlaku. Jadi... mana janji-janji tu!?”

“Manusia boleh berubah bila-bila masa.”

Kornea Irish memasung tajam ke wajah Reza.

‘Tidak berperasaan lagikah lelaki ini? Apa yang sudah merasuk fikirannya?’

“Mudahnya awak bercakap. Setelah saya dapat yakinkan keluarga untuk terima, kali ni... awak pula yang mengalah? Atau... awak sebenarnya dah tak sayangkan hubungan ni lagi. Cinta awak yang dah mati...”

No! Irish... tolonglah faham keadaan saya.”

“Habis, siapa pula yang nak faham keadaan saya? Lima tahun, Reza. Lima tahun saya cuba pertahankan hubungan ni. Saya turutkan segala kemahuan awak untuk rahsiakan hal ni dari keluarga awak, dari semua orang. Selama tu juga saya bersusah payah pujuk keluarga saya untuk restui hubungan kita. Sekarang, senang-senang awak suruh saya faham keadaan awak? Manusia jenis apa awak ni?!”

Kemarahan Irish kian tak terbendung. Sabarnya kian menipis. Lagi-lagi melihat Reza bagaikan tiada rasa bersalah apa-apa Kalaulah hanya mereka berdua saja di sini, mahu tangannya melayang singgah di pipi lelaki itu. 

“Terpulanglah apa awak nak cakap, Irish. Saya tetap dengan keputusan saya. Hati keluarga saya lebih utama dan perlu dijaga saat ni. Anggap saja kita tak ada jodoh. Apa yang telah kita lalui selama ni, jadikan sebagai pengalaman hidup. Lagipun... keluarga saya dah aturkan kehidupan yang lebih baik untuk saya.”

“Apa maksud awak?”

 “Mereka dah temukan seorang gadis yang lebih sesuai sebagai calon isteri saya. Tapi maaf… bukan awak.”

Zap!

Jantung Irish umpama direntap. Tubuhnya menggigil. Jemarinya digenggam erat. Empangan air mata sudah tidak kuat.

‘Keluarlah kau air mata. Keluar saja. Tiada sebab untuk kau bertahan lagi!’

“Lepas ni tak usah kita berhubung lagi. Anggap saja kita pernah kenal sebagai kawan. Bukan kekasih,” ucap Reza mengenakan kaca mata hitamnya dan berlalu melewati Irish.

“Reza...”

Langkah Reza terhenti, menghadap figura itu kembali.

“Awak mungkir janji-janji awak. Dan, awak lupa beban yang awak tinggalkan untuk saya.” Hanya itu yang terluah di bibir Irish seiring renungan sayu ke raut lelaki itu.

Reza terpanar. Kata-kata itu mengundang debaran serentak. Renungan sayu Irish ditatap. Renungan yang sarat dengan seribu pengertian buatnya. Sesaat, jiwanya terusik. Namun ego yang tinggi mengatasi segala-gala.

Tidak mahu kalah dengan perasaan itu, dia berpaling semula. Ayunan langkah kembali  direntak meninggalkan kekasih hati yang telah berubah ‘takhta’nya.

Setitis air mata berguguran lagi di pipi Irish...

Sudah lebih setengah tahun ia berlalu. Selama itu jugalah dia berusaha melupakan segala kisah pahit yang telah berlaku.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kerana peristiwa itu, dia mengalami trauma yang teruk. Diri tak terurus. Semangat hilang. Otak bercelaru. Andai iman tak kuat, mungkin dia tidak mampu bertahan sehingga ke hari ini.

“ALLAH masih sayangkan Irish. Sebab itu ALLAH pendekkan jodoh Irish dengan Reza. Dia bukan yang terbaik untuk Irish. Mungkin ALLAH dah sediakan lelaki yang lebih baik buat Irish nanti. Insya-ALLAH... jodoh, pertemuan, hidup dan mati ni ALLAH SWT dah aturkan yang terbaik untuk kita. Banyakkanlah bersabar dan sentiasa ingat pada-NYA. Sentiasa solat dan mengaji kerana itu senjata sebenar kekuatan kita sebagai umat Islam.

ALLAH tidak akan menguji hamba-NYA lebih dari kemampuan sebenar kita. Umi percaya ada hikmah sebalik semua kejadian ini. Dan, umi tahu anak umi seorang yang tabah dan kuat. Jangan sedih-sedih lagi, ya? Tak ada guna bazirkan air mata untuk lelaki yang tak tahu nak menghargai wanita ciptaan Yang Esa seperti kita.”

Masih segar pesanan Puan Qarina saat dia kehilangan arah dulu. Umilah yang banyak menyalurkan semangat dan kekuatan buatnya. Segala nasihat tak putus-putus keluar dari bibir.

Bahkan... dia bersyukur dikurnia ahli keluarga yang sangat menyayangi dan mengambil berat. Bantu pulihkan diri dan semangat. Tak jemu beri sokongan untuk dia bangun dari mimpi-mimpi semalam dan bangkit dari kelukaan itu.

Jika tidak, dia tentu masih terperuk di bawah selimut menangisi segala yang terjadi.

Atau mungkin melakukan sesuatu yang di luar kewarasan akal fikiran. Bunuh diri!

‘Astarghfirullahalazim! Selisih empat puluh empat malaikat!’ Dahi ditepuk beberapa kali memarahi diri sendiri.

“Uittt! Apahal kau ni, Rish? Tepuk-tepuk dahi sendiri bagai. Okey ke tak ni?”

“Isk, kak lang! Masuk bagi salam dulu, tak boleh? Terkejut orang.”

“Dah bagi salam tadi. Siap ketuk pintu lagi. Kau yang tak dengar!”

“Bila kak lang sampai? Abang Afzal dengan budak-budak mana?” Irish bertanyakan abang ipar serta anak-anak buahnya, Aliefa Adelina dan Alief Amsyar.

“Ada tu kat luar dengan yang lain. Dah habis study belum? Esok mula final exam, kan?”

Menjadi rutin bila minggu peperiksaan bermula, Irish akan berkurung dalam bilik menelaah pelajaran. Cuma kali ini... Irma sedikit risau dengan keadaan adiknya.

Ibarat cubit paha kiri, paha kanan turut terasa.

Sungguh tak menyangka Reza yang selama ini nampak baik di mata, sanggup memperlakukan Irish sebegini sekali. Kalaulah dia punya kekuatan, mahu saja dia mengajar lelaki tak guna itu sepuas hati!

“Ada lagi sikit nak kena cover. Kak lang masuk bilik Irish ni kenapa?”

“Erm... err...”

“Sejak bila kak lang jadi gagap nak bercakap ni? Selalu berdesup aje ayat keluar.”

“Hisy, sabarlah! Kak lang nak cakaplah ni. Err... Irish tahu tak fasal tu?”

“Fasal apa?”

“Ma... ma... majlis pernikahan Re... Reza esok.”

“Oh... itu. Tahu dah.”

“Hah? Irish dah tahu? Bila? Tahu dari mana? Siapa yang beritahu?” Bertalu soalan keluar dari mulut Irma. Duduk juga beralih dari atas kerusi terus bersila di lantai depan adiknya.

“Yang kak lang menggelabah semacam ni kenapa? Dah tu, berderet soalan ditanya. Mana satu yang Irish nak jawab ni?”

“Eh, dia ni! Orang risaukan dia, dia boleh gelak-gelak pula! Cakaplah. Macam mana Irish boleh tahu ni?” Irma penasaran. Rasanya tak ramai tahu tentang majlis pernikahan Reza esok lantaran diadakan secara tertutup. Cuma saudara-mara serta kenalan rapat keluarga saja.

“Siang tadi. Irish terdengar umi bersembang dengan ayah masa nak ke dapur ambil air. Terdengar tau. Bukan curi dengar.”

“Habis...Irish okey tak ni?” 

“Alhamdulillah, okey. Kak lang jangan risaulah. Irish dah lupa semua tu.” 

“Betul ni?” tanya Irma lagi bila figura di depan cuma bersikap tenang.

“Ya. Betul. Dahlah, kak lang! Lagi baik kak lang pergi tengok Adelin dengan Amsyar kat luar tu. Entah apa dia orang tengah buat agaknya.”

“Halau nampak? Yalah, yalah! Baguslah kalau macam tu. Tak payah difikir sangat fasal jantan seorang tu. Buat sakit hati aje! Tutup buku lama, buka buku baru. Orang yang menganiaya ni tak selamanya akan aman. Dah sambung study tu. Jangan nak termenung aje!” 

Irma Qatrina, anak ketiga dalam keluarga. Memang kakaknya itu sering pulang menjenguk keluarga memandangkan dia tinggal berhampiran. Sementara abang sulungnya, Izzul Qalief dan kak ngahnya, Iman Qistina yang tinggal agak berjauhan hanya sesekali pulang.

Masing-masing telah berkahwin dan berkeluarga. Tinggal dia serta dua adik lelakinya, Irhan Qawiem dan Irfan Qayyum masih di rumah ini menemani kedua orang tua mereka.

Irish kembali menyambung ulang kaji yang tergendala. Entah kenapa berita yang disampaikan Irma tidak terkesan langsung di hatinya. Malah sebulan yang lalu ketika berita pertunangan Reza sampai ke telinga melalui seorang rakan, dia hanya tenang mendengar.

Hendak menangis tidak, ketawa jauh sekali. Dia lebih senang berdiam diri walaupun pada mulanya dia yang begitu berat untuk melepas Reza pergi.

Ironinya... mimpi ngeri itu sangat meninggalkan kesan pada dirinya. Hingga hati menjadi tawar untuk mana-mana insan bernama lelaki, apatah lagi untuk jatuh cinta semula.

Biarlah. Biarkan keadaan kekal begini. Dia tidak mahu terluka lagi. Andai suatu saat nanti ALLAH bukakan pintu hatinya kembali untuk menerima cinta dan lelaki, dia redha.

Bila? Biar masa yang menentukan...

‘Masih adakah sinar bahagia untuk kau kecapi bersama insan lain, Irish?’ 






Tuesday, June 28, 2016

STATUS TERKINI MANUSKRIP BAYANGAN GURAUAN






ASSALAMUALAIKUM WBT....


Salam Ramadhan buat anda semua yang disayangi..

Saban hari ada sahaja yang bertanyakan saya tentang cerita/novel Bayangan Gurauan (BG). Bila ia akan keluar? Bila ia akan diterbitkan? Saya kira ini sedikit sebanyak adalah berita gembira buat pembaca dan pengikut setia BG, sekaligus menjawab segala pertanyaan anda selama ini.

Setelah bermalam-malam saya bersengkang mata mengedit manuskrip ini beberapa kali, juga berkat doa dari anda yang tidak putus-putus, akhirnya semua itu berbalas sebaik email ini saya terima dari Editor. Alhamdulillah. BG dikhabarkan lulus proses penilaian penerbit dan akan diterbitkan pada bulan November nanti. InshaaAllah.

Mohon maaf sekiranya BG mengambil masa agak lama untuk direalisasikan demi menghasilkan karya yang baik oleh penerbit.

Terima kasih berbanyak pada anda yang tidak jemu-jemu bertanya dan menyokong BG dari awal hingga ke hari ini. Terima kasih juga kerana kesabaran anda menanti selama berbulan-bulan ini. Dan saya harap anda akan terus bersabar bersama saya beberapa bulan lagi menanti sehingga BG diterbitkan. Ini sahaja yg termampu saya usaha & lakukan untuk merealisasikan permintaan pembaca-pembaca. Selebihnya adalah bidang tugas penerbit. Dan semestinya keizinan dari Allah swt.

Sebarang makluman akan saya update nanti. Teruskan sokongan anda. Dan doakan segalanya dipermudahkan & berjalan lancar.    

SALAM SAYANG,
Sayhazs Zailie.
   


Thursday, November 19, 2015

BAYANGAN GURAUAN - Grup Buku Karangkraf





          ASSALAMUALAIKUM..... Buat semua followers  di Facebook dan juga blog Tinta Penulisanku, dua lagi teaser (Bab 46 & 47) saya paparkan untuk anda di Portal Karangkraf... Ia belum lagi dipaparkan di mana-mana... Ekslusif hanya di Ilham Karangkraf.....

So catch it at ilham.karangkraf.com (klik link di bawah)... Dan dialu-alukan untuk berikan comments anda di sana... Siapa tahu penerbit akan baca dan pertimbangkan comment-comment anda... Terima kasih dan Selamat Membaca! ^_^


BAYANGAN GURAUAN - Grup Buku Karangkraf