Monday, March 10, 2014

BAB 4 : BAYANGAN GURAUAN





 SAI solat Isya’ berjemaah, seluruh ahli keluarga itu duduk bersantai di ruang tamu sambil menonton televisyen. Masing-masing kelihatan penat setelah seharian berkelah di Pantai Port Dickson sempena meraikan ulangtahun perkahwinan Encik Izzuddin dan Puan Qarina siang tadi. Anak-anak kecil ada yang sudah tertidur akibat keletihan. Ada juga yang masih berjaga dan bermain di ruangan keluarga itu.


“Macam mana result final exam, Rish? Okay?” suara Izzul memecah kesunyian malam, membuatkan mata-mata yang sedari tadi terarah ke kaca televisyen, teralih kepadanya kini. Irish yang sedang melayan anak-anak Iman, Alief Rafiqin, Aliefa Rihana dan Aliefa Rizwana bermain, sedikit tersentak dengan pertanyaan tersebut.

“Alhamdulillah, long. Semua okay.

So, apa perancangan Irish lepas ni? Nak sambung lagi?” soal Izzul lagi. Yang lain hanya menjadi pendengar.

“Ingat nak kerja dululah. Bila semua dah okay dan stabil, baru Irish sambung master. Insyaallah. Tengoklah nanti macam mana, long.”

“Hmm, baguslah macam tu. Along setuju. Dah start cari kerja? Atau dah dapat?”

“Lepas result keluar bulan lepas dah start cari. Tapi belum ada panggilan dari mana-mana lagi nampaknya,” jawab Irish tenang.

“Belum ada rezeki lagilah tu. Tak apalah. Sementara tu Irish duduklah kat rumah dulu. Bolehlah restkan otak lepas-lepas belajar ni. Dah kerja nanti gerenti Irish takkan cukup rehat bila dah sibuk dengan kerja dua puluh empat jam!”

Irish tersenyum mendengar bicara Iman. Memang pada mula niatnya begitu. Ingin merehatkan otak setelah lima tahun ia bekerja mentelaah buku-buku pelajaran. Mula saja bekerja nanti, otaknya akan digunakan untuk mentelaah fail-fail kerja pula. Hmhh! Ngeri juga bila difikirkan semua itu.

“Irish refer kerja yang macam mana? Bolehlah ayah tengok-tengokkan nanti kat company kawan-kawan ayah.”

“Eh, tak apalah ayah. Irish boleh cari sendiri. Lagipun sekarang ni zaman dah moden. Kat internet tu pun dah boleh cari. Cuma tengok rezekilah macam mana.”

 “Jangan risaulah, yah. Pandailah si Irish ni cari nanti,” tokok Irma pula, membuatkan Irish melirik senyum padanya.

“Bagi resume kat along nanti.”

Serta-merta Irish menoleh pada Izzul. “Hmm?”

“Along cakap bagi resume kat along nanti. Faham? Dah tutup mulut tu, nanti masuk lalat!”

Jawapan dari Irfan itu membuatkan tangan Irish spontan menutup mulutnya sebelum sebelah lagi tangannya memukul bahu Irfan, agak kuat. Menjadikan ruang tamu itu bergema dengan gelak tawa yang lain.

“Aduh! Sakitlah kak!”

“Kan? Itu je ubat untuk orang yang suka menyakat.”

“Alaa... orang sakat sikit je!”

“Dahlah, Irfan. Menyakat orang je kerjanya dia. Ni... Irish bagi je resume kat along nanti. Bolehlah along tolong-tolong surveykan kerja yang sesuai.”

“Hmm. Nanti Irish bagi. Terima kasih, long.”

Di satu sudut yang lain, Encik Izzuddin dan Puan Qarina senang melihatkan kemesraan anak-anaknya. Dan satu hal lagi yang menggembirakan bila melihat keadaan Irish yang sudah mula ceria. Satu perkembangan yang positif.


IRISH meletakkan kembali Al-Quran ke tempat asalnya setelah selesai mengaji. Memang sudah menjadi kebiasaan membaca nashkah tersebut sekurang-kurangnya satu helai muka surat setiap hari. Amalan yang dipraktikkan semenjak dari zaman belajarnya dahulu. Tetapi ada juga ketika dia tidak dapat menghadap Kitab Suci Kalamullah itu bila perlu melakukan sesuatu hal yang penting atau pada hari-hari tertentu yang dia tidak dapat berbuat demikian.

Selesai melipat telekung dan sejadah, Irish menuju ke meja tulis di sudut bilik sebelum menghidupkan komputer ribanya. Niat di hati ingin memeriksa email sebentar sebelum masuk tidur. Mana tahu kalau-kalau ada syarikat yang membalas email memberikan jawapan untuk permohonan kerjanya. Sudah hampir sebulan dia mencari selepas keputusan peperiksaannya keluar tempoh hari. Namun, sehingga kini masih belum berhasil. Walaupun dia tidak begitu kisah tidak mendapat pekerjaan dalam masa terdekat ini, jauh di sudut hati terselit juga perasaan bimbang sekiranya hal ini berlarutan untuk tempoh yang lama. Sayang jika ijazah yang diperolehi itu tidak digunakan. Lainlah kalau dia ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Atau juga bidang yang lain. Jadi tidak perlulah dia bersusah payah mencari kerja.

Apabila tetingkap email muncul di skrin monitor, Irish membuka satu persatu email yang diterimanya. Namun hasilnya hampa. Tiada lansung balasan email daripada syarikat-syarikat yang menawarkan pekerjaan untuknya. Semuannya hanya sekadar email biasa.

‘Tak apa, Irish. Belum ada rezeki lagi. Sabar, sabar!’ Irish cuba menyedapkan hati sendiri.  

Tidak mahu terus melayani perasaan gundah, Irish beralih pula ke laman facebook. Sudah agak lama dia tidak melayari laman sosial itu. Hanya sekadar melihat-lihat sahaja akaunnya. Beberapa minit kemudian dia mulai bosan. Lantas matanya mencari butang ‘Shut down’ untuk menutup semula komputer riba. Baru sahaja jari ingin menekan, seseorang menyapanya melalui tetingkap yahoo messenger.

           
Nazmi Jauhari :  Assalamualakum.. Hai sweet girl! Apa khabar?    

           
Nazmi Jauhari. Rakan mayanya yang berasal dari Brunei. Tetapi sedang melanjutkan pengajiannya di Kanada dalam bidang kejuruteraan perkapalan. Sudah lama juga Irish tidak berbual dengan kenalan mayanya itu. Walaupun hanya berkenalan melalui laman sosial facebook, tetapi dia selesa berbual dengan Nazmi kerana sikap lelaki itu yang agak peramah. Umur yang sebaya juga menambahkan lagi keserasian dan keselesaan antara mereka berdua.  


Irish Izz :  Walaikumussalam.. Nazmi! Lama tak jumpa. Saya baik Alhamdulillah. Awak?
Nazmi Jauhari :  Saya pun sihat.. Saya ada je kat sini.. Awak tu yang lama menghilang.. Mana  pergi?
 

Walaupun Nazmi berasal dari Brunei tetapi dia tidak janggal untuk berbahasa Melayu disebabkan ramai rakan sepengajiannya berasal dari Malaysia.


Irish Izz :  Oh, maaf la.. Sibuk sikit dengan final exam.. Tu yang jarang online.. But now I’m free..  So, study awak macam mana sekarang?
Nazmi Jauhari :  I see.. Study saya okay.. Means, awak dah habis study la ni?
Irish Izz :  Ya.. Sekarang tengah cari kerja..
Nazmi Jauhari :  Wah! Dah nak kerja.. Seronok la macam tu! Saya kena tunggu tahun depan baru habis.. 
Irish Izz :  Belum kerja lagi.. Tak ada la seronok sangat.. So, tahun depan balik terus ke Brunei la ni?
Nazmi Jauhari :  Yes! Dah tak sabar-sabar nak balik Brunei.. Jumpa family..
Irish Izz :  Tak sabar-sabar nak jumpa family ke tak sabar-sabar nak jumpa buah hati?


Irish sengaja menyakat rakannya itu. Sejak dari awal lagi mereka sudah sedia maklum tentang status masing-masing. Pendek kata, banyak perkara yang mereka kongsikan. Adakalanya, bila ada masalah, mereka meluahkan antara satu sama lain walaupun hanya alam maya sebagai penghubung.


Nazmi Jauhari :  Yang tu termasuk sekali la.. Sudah semestinya.. Lama inda jumpa.. Rindu sudah! Hahaha..
Irish Izz :  Kan? Dah tahu!
Nazmi Jauhari :  Terima kasih la Cik Irish kerana selalu memahami.. Buah hati awak macam mana? Bila nak kahwin ni?
           

Soal Nazmi tanpa mengetahui keadaan sebenar yang telah berlaku. Dan pertanyaan itu membuatkan Irish sekaligus terdiam. Lambat-lambat jarinya menaip di atas papan kekunci.


Irish Izz :   Dah kahwin dah..
Nazmi Jauhari :  Hah?! Bila awak kahwin?? You didn’t tell me, Irish!
Irish Izz :  Bukan saya yang kahwin.. Dia.. Tapi dengan orang lain..
Nazmi Jauhari :  Whaaatttttt??! Awak biar betul ni?!
Irish Izz :  Betul la.. Buat apa saya nak main-main..
Nazmi Jauhari :   Since when??!
Irish Izz :  Lama dah...
Nazmi Jauhari :  Irish! I’m so so sorry! Saya tak tahu pun! Kenapa tak pernah beritahu saya?!
Irish Izz :  Tak ada apa la.. Benda dah lama dah.. Saya dah malas nak ingat.. Kalau saya cerita dengan awak, bukan awak boleh sampai ke sini pun..
Nazmi Jauhari :  Kalau betul saya buat macam mana? Cuma saya tak tahu.. Tapi, saya tak puas hati.. Lima tahun kut.. Takkan habis macam tu je?!
Irish Izz :  Dah itu yang dia nak, Nazmi.. Biar la..
Nazmi Jauhari :  Hmmh! How dare him!!!


Irish tersenyum membaca balasan dari Nazmi. Jelas lelaki itu sedang marah walaupun ia hanya diluahkan melalui aya-ayat yang ditaip di sini.


Nazmi Jauhari :  Sabar la, Irish.. Banyak-banyakkan bersabar.. All these happened because he’s not the right man to you.. He’s not deserves to get you actually.. Insyaallah, ada yang lebih baik untuk awak nanti..
Irish Izz :   Kalau la masih wujud lelaki macam tu kat dunia ni, Nazmi..
Nazmi Jauhari :   Eh! Ada! Mana pulak tak ada! Ada, ada..
Irish Izz :   Mana?
Nazmi Jauhari :   Contoh terdekat, orang yang tengah ber ’chatting’ dengan awak ni..
Irish Izz :   Kan? Awak memang suka masuk bakul angkat sendiri.. Malaslah nak layan..
Nazmi Jauhari :   Hahaha.. Jangan la merajuk, sweet girl!


Dan mereka meneruskan perbualan itu sehingga larut malam. Banyak topik yang disembangkan memandangkan sudah lama mereka tidak berhubung seperti kebiasaan dulu. Irish hanya meminta diri untuk masuk tidur setelah matanya sudah memberat untuk berjaga lagi walaupun Nazmi di sana masih segar untuk berbual. Maklumlah, waktu bumi Malaysia dengan bumi Kanada sudah tentulah berbeza!

Saturday, February 15, 2014

BAB 3 : BAYANGAN GURAUAN





D
EWAN peperiksaan sedikit hingar. Semua pelajar berpusu-pusu keluar meninggalkan tempat itu dengan hati yang lapang bersama senyuman kelegaan terukir di wajah masing-masing. Sebulan telah berlalu, bermakna tamat sudah peperiksaan tahun akhir mereka. Sekaligus menandakan berakhirnya sesi pembelajaran selama lima tahun semenjak dari diploma hinggalah ke peringkat ijazah. Mungkin selepas ini masih ada di antara mereka yang mahu menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Dan sebahagiannya pula lebih memilih untuk berehat dan bekerja dahulu.

Irish kelihatan turut berjalan keluar dari Dewan Seri Budiman, UiTM Shah Alam tersebut. Langkahnya kemudian diatur menuju ke tempat letak kereta. Langsung tidak dihiraukan keadaan pelajar lain yang seronok bersembang dengan rakan-rakan mereka di situ. Biasalah, peperiksaan sudah habis. Tentu ada saja agenda yang ingin diaturkan bersama selepas ini. Sambil itu mata Irish sempat melilau mencari-cari kelibat seseorang.

‘Mana pergi budak sorang ni, ya? Dari tadi tak nampak-nampak batang hidung dia.’

       Niat di hati memang dia ingin menemui rakan baiknya itu memandangkan hari ini adalah merupakan hari terakhir mereka di sini. Selepas ini tidak tahu bila lagi mereka akan berjumpa. Lebih-lebih lagi bila masing-masing sudah membawa haluan sendiri untuk membina kerjaya dan masa depan.

        ‘Agaknya dia dah balik dengan orang lain kut. Mungkin!’ duga Irish sambil kakinya terus dihayun meninggalkan kawasan dewan tersebut. Dalam melangkah, Irish membuka begnya untuk mengambil kunci kereta. Sedang dia mencari tiba-tiba terasa bahunya ditepuk seseorang dari belakang. Pantas dia berpaling.

            “Ira! Kau pergi mana, hah? Aku cari kau dari tadi lagi sebelum masuk dewan. Tunggu kau tak muncul-muncul, tu yang aku masuk dulu.”

           “Sorry!” balas Athirah sambil tersengih. “Aku dah gerak awal tadi. Tiba-tiba teringat yang aku terlupa bawa kad matrik. Tu yang aku patah balik tu!” cerita Athirah sambil mereka menuju ke tempat letak kereta.

      “Hmm... patulah! Asyik lupa je. Esok-esok ada boyfriend, boyfriend pun asyik kena lupa agaknya.”

           “Ishh! Yang tu mana boleh lupa. Nanti boyfriend lari, susah!” seloroh gadis itu disambut gelak ketawa Irish. Ada sahaja ideanya untuk membuat membuat orang ketawa.

            “Kau datang naik apa tadi?” Irish bertanya sebaik mereka menghampiri keretanya.

            “Aku tumpang housemate aku. Tapi dia ambil exam kat venue lain.”

            “So, balik ni?”

            “Naik dengan kaulah! Macam tak faham-faham pulak!”

       “Aku saja je. Manalah tahu kau nak keluar jalan-jalan cuci mata cari boyfriend dengan housemate kau ke lepas exam ni.”

         “Amboi-amboi! Sedapnya mulut dia berkata!” tingkah Athirah sambil bercekak pinggang. “Tapi kan...,” dengan perlahan gadis itu menghampiri Irish. “.... kalau kau nak bawa aku jalan-jalan keluar, aku okay je. Manalah tahu kut terjumpa sorang dua mamat yang boleh buat calon,” bisik Athirah sambil mengenyitkan matanya. Membulat mata Irish mendengarkan jawapan itu.

 “Kan? Aku dah tahu dah kau ni memang pantang kalau aku sebut sikit. Dan-dan tu kau terus ajak, kan?”

“Hai, nasib kaulah Irish dapat kawan macam aku!” selamba Athirah menjawab sambil berlalu menuju ke pintu kereta di sebelah pemandu. Namun pergerakannya terhenti bila melihatkan Irish masih lagi tercegat memandangnya tanpa berkelip.

“Yang kau tu tercegat lagi apahal? Nak pergi ke tak nak?”

“Yelah, yelah!”

Irish terus menekan alarm kunci sebelum kedua-dua sahabat itu masuk ke dalam kereta. Perlahan-lahan Proton Satria Neo milik Irish bergerak meninggalkan perkarangan universiti tersebut.



SO, amacam paper FSA tadi? Senang tak?” Athirah memulakan perbualan sebaik kereta yang dipandu Irish bergerak di atas jalanraya.

“Boleh tahan jugaklah. Agak susah, tapi masih boleh dijawab. Yang penting dah cuba yang terbaik,” terang Irish mengenai kertas soalan Financial Statement Analysis yang mereka hadapi sebentar tadi. “Kau macam mana?”

“Huh! Nak terkeluar jugak otak ni menjawab tadi. Patutlah ramai student takut nak ambil finance course ni!” akui Athirah mengenai sesetengah tanggapan pelajar yang mengatakan kursus kewangan yang diambil oleh mereka itu sebagai ‘killer course’. Irish sekadar tersenyum mendengar celoteh rakannya itu.

Dari jauh sudah kelihatan bangunan pusat membeli-belah SACC yang terletak di Bandaraya Shah Alam. Irish membelok keretanya memasuki kawasan shopping mall itu. Tempat letak kereta yang agak penuh menyebabkan mereka sukar untuk mencari memandangkan hari itu adalah hari Sabtu. Hanya beberapa minit kemudian, barulah mereka menemui satu petak yang masih kosong. Selesai memarkir kereta, mereka berdua terus memasuki ruang legar pusat membeli-belah tersebut. Hanya sekadar bersiar-siar sambil mencuci mata melihat barangan yang dijual di situ. Kebetulan ketika itu sedang diadakan promosi diskaun harga sempena jualan mega, menjadikan pusat membeli-belah itu dipenuhi dengan ramai pengunjung.

“Geram pulak aku tengok barang-barang kat sini, Rish. Murah-murah! Kalaulah beg ni penuh dengan duit, gerenti aku dah shopping sakan dah!”

“Hmm, yelah. Lepas tu nanti aku yang jadi mangsa kena tolong bawa barang-barang kau, kan? Macam aku tak kenal kau, Ira. Bila dah shopping, tak ingat dunia.”

Spontan Athirah tergelak. Pernah suatu hari dia mengajak gadis itu menemaninya untuk ke sebuah pusat membeli-belah. Mulanya dia ingat hanya sekadar ingin membeli beberapa senarai barangannya. Tetapi bila sudah kelabu mata, semua barang-barang yang dia berkenan habis dibeli. Irishlah yang menjadi mangsa menolong membawakan barang-barang tersebut. Sudahnya, rakannya itu keletihan hingga tertidur di dalam kereta manakala dia yang mengambil-alih tugas memandu kereta Irish sewaktu pulang. Nasiblah dia punya lesen memandu.

“Irish, jomlah kita pergi makan. Penat pulak berjalan kalau tak shopping apa-apa ni.”

“Penat? Tahu pun penat. Tapi bila shopping, hyper active pulak. Makan pun lansung tak ingat!” sengaja Irish memerli rakannya. Namun, hanya sengihan yang dipamerkan oleh gadis itu.

Mereka memilih untuk makan di salah sebuah restoran yang terdapat di dalam pusat membeli-belah tersebut. Sementara menanti makanan yang dipesan tiba, mereka hanya bersembang kosong sambil melihat gelagat orang ramai yang lalu lalang di situ.

So, apa plan kau lepas ni?” Athirah bertanya kepada Irish.

“Hmm, aku ingat nak kerja dulu. Bila dah okay nanti dan ada rezeki, Insyaallah aku sambung master. Kau?”

“Samalah. Aku ingat pun macam tu. Kerja dulu. Tapi sebelum kerja ingat nak balik kampung sekejap jenguk family aku. Sebulan lebih dah aku tak balik sebab exam ni. Rindu dah kat diorang tau!” luah Athirah sambil tersenyum. Fikirannya sudah terbayangkan keluarganya yang berada di Melaka.

“Baguslah. Apa-apa pun, utamakan family dulu. Keluargalah orang yang paling penting sebab diorang yang selalu ada dengan kita waktu susah senang. Takkan pernah tinggalkan kita walau apapun terjadi.”

Athirah hanya terangguk-angguk mengiakan butir bicara rakannya itu. Sebentar kemudian, seorang pelayan lelaki datang ke meja mereka menghantar hidangan yang dipesan. Aroma makanan yang menusuk ke hidung membuatkan perut mereka semakin berbunyi minta diisi. Sambil berbual, mereka terus menikmati hidangan yang agak menyelerakan itu walaupun ini kali pertama mengunjungi Restoran Noodle Station tersebut.


“NAMPAK gayanya macam tak ada rezekilah nak jumpa calon suami kat sini hari ni!” bicara Athirah tiba-tiba sewaktu mereka beriringan menuju ke tempat letak kereta untuk pulang.  

            “Hai! Ada hati jugak nak cari? Ingat lupa dah.”

            “Mestilah! Mana tahu antara lelaki-lelaki  kat shopping mall ni, diorang tu jodoh kita!”

“Dahlah, Cik Athirah. Jangan nak berangan.” Irish menggeleng-geleng kepala melihatkan gelagat rakannya itu yang tidak sudah-sudah dengan hajatnya sedari tadi. “Eh Ira, aku nak pegi toiletlah. Tunggu sekejap boleh?”

Athirah mengangguk sambil menyambut handbag yang dihulurkan Irish. Setelah itu dia duduk di kerusi berhampiran yang sedia ada di situ sementara menunggu rakannya kembali.

Irish mempercepatkan langkahnya menuju ke tandas berhampiran. Tidak mahu dia membiarkan Athirah berlama-lama menunggu. Kepalanya hanya tertunduk memandang lantai tanpa menoleh sesiapa di situ.

“Ouchh!”

Irish mengaduh sambil memegang bahunya. Tanpa sedar, dia telah melanggar seseorang. Agak kuat hinggakan beg-beg kertas berisi barang yang dibawa lelaki itu juga sudah jatuh terlepas ke lantai. Tanpa berlengah, Irish mengambil beg-beg tersebut lalu diberikan semula kepada lelaki itu tanpa melihatnya. Punyalah kalut dia sehinggakan tidak berani memandang wajah lelaki tersebut. Dia tahu salahnya tidak memandang depan semasa berjalan tadi.

“Maaf!” Irish menunduk seraya memohon maaf dan kemudian terus berlalu meninggalkan tempat itu.

Lelaki tadi masih terus memandang Irish hinggalah kelibat gadis tersebut menghilang di sebalik dinding. Termangu seketika dia dibuatnya. Namun hatinya sedikit tercuit melihatkan gelagat gadis itu.

‘Tak sempat aku nak jawab dah lari. Takut benar!’

Lelaki itu menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum sebelum mengatur semula langkahnya.  


BAB 2 : BAYANGAN GURAUAN





   S
UASANA di kediaman Encik Izzuddin kedengaran riuh rendah. Mana tidaknya, seluruh ahli keluarganya berkumpul pada hari itu. Izzul serta Iman sekeluarga juga turut pulang, menambahkan lagi kemeriahan di situ. Ditambah dengan suara riang cucu-cucunya bermain. Puan Qarina adalah orang yang paling sibuk di dapur menyediakan juadah sarapan sambil dibantu anak-anak dan menantu perempuannya. Manakala Encik Izzuddin pula sedang duduk berbual-bual bersama ketiga-tiga anak lelakinya di ruang makan yang turut disertai menantu-menantunya. Banyak perkara disembangkan oleh anak-beranak itu sementara menunggu hidangan sarapan pagi tersedia.

Hanya Irish yang tidak turut bersama-sama mereka. Sebentar lagi dia akan ke universiti memandangkan hari ini adalah hari pertama dia menghadapi peperiksaan akhir semester. Jarak rumah dari UiTM Shah Alam tidaklah jauh mana. Hanya memakan masa sekitar beberapa minit sahaja bergantung kepada keadaan jalanraya.

“Angah, dah jenguk Irish dalam bilik tu? Dah siap ke belum? Kang lambat pulak sampai ke U nanti.” Puan Qarina bertanya kepada Iman. Tangannya laju mengacau sambal sotong di dalam kuali untuk disediakan bersama dengan nasi lemak yang dimasaknya pagi ini. Agak banyak juadah yang disediakan termasuklah mihun goreng, maggie goreng, dan beberapa jenis kuih-muih. Maklumlah, bukan selalu keluarganya dapat berkumpul ramai-ramai begini. Mujurlah ada ‘pembantu-pembantu’ di dapur membantu menyediakan semua makanan tersebut.

“Dah, umi. Tengah bersiap tu. Kejap lagi keluarlah dia,” balas Iman yang sedang menyediakan minuman panas bersama kakak iparnya, Safiya.

“Hmm, minta-minta eloklah dia ambil exam nanti. Pulaknya majlis budak tu dibuat hari ni. Betul-betul Allah nak uji kita. Nasib baiklah Irish tak tahu pasal hal ni!”

“Memang Irish dah tahu pun, umi!”

Serta-merta semua mata tertumpu pada Irma. Tajam renungan mereka, seolah-olah meminta penjelasan daripadanya. Dia yang sedang mengelap pinggan ketika itu, terus terhenti tugasnya. Menyedari diri sudah terlajak kata.

 “Semalam dia terdengar umi borak-borak dengan ayah pasal hal tu masa dia nak ke dapur. Irish yang beritahu kat alang malam tadi.”

Puan Qarina terdiam. Itulah, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Nak buat macam mana. Terlajak perahu bolehlah diundur juga. Kalau sudah terlajak kata, badan sendirilah yang tanggung.

“Habis Irish macam mana, lang?” baru kini Safiya bersuara.

“Dia okay. Elok tenang je alang tengok. Siap boleh gelak-gelak masa alang tanya. Alang pulak yang risaukan dia. Tapi tulah. Luaran je nampak okay. Dalam hati dia kita tak tahu. Yang alang boleh cakap, dia dah lupakan semuanya dan boleh terima kenyataan.”

Puan Qarina mengeluh perlahan. Rasa bersalah mula menjalar dalam diri. Iman yang perasan akan kegelisahan uminya, datang menghampiri. Bahu Puan Qarina dipaut lembut.

“Umi, sudahlah tu. Angah tahu Irish tu kuat semangat. Kita sendiri tengok macam mana dia berusaha lawan semua tu sampai jadi macam sekarang. Apa yang boleh kita buat cuma terus berdoa dan bagi semangat supaya dia tak down lagi, ya.” Iman cuba mententeramkan perasaan wanita itu.

“Ina! Dah siap semua sarapannya? Anak cucu dah lapar dah ni. Abang jangan cakaplah, dah berkeroncong perut ni!” laung Encik Izzuddin dari ruang makan. Suaranya yang sedikit kuat itu menyentakkan mereka yang berada di dapur. Apalagi, kelam-kabut jadinya masing-masing menyudahkan tugas yang tergendala sebentar tadi.

“Si Irish mana? Tak nampak-nampak dari tadi.” Encik Izzuddin menyoal sebaik semua ahli keluarganya sudah berada di meja makan usai semua juadah siap terhidang.

“Ada ni.”

Satu suara mencelah tiba-tiba. Kelibat Irish kelihatan muncul dari arah bilik menuju ke ruang makan. Nampaknya dia sudah bersiap-siap untuk ke universiti bagi menghadiri peperiksaan. Nasiblah. Dapat jadual periksa yang jatuh pada hari Ahad. Hari pertama pula. Orang lain duduk bersantai di rumah, dia pula terpaksa memerah otak di hujung minggu begitu.

“Duduk sarapan dulu, Irish.”

“Irish dah lambat ni, umi. Nanti terlewat sampai pulak.”

“Duduk dulu, Irish. Jamah sikit sarapan ni. Awak tu nak ambil exam. Kang tak berjalan pulak otak dengan perut kosong tu.” Izzul sudah pun menarik kerusi di sebelahnya untuk Irish. Dalam pada itu matanya sempat menangkap susuk tubuh adiknya yang kelihatan agak susut semenjak akhir-akhir ini.

Kali ini Irish menurut kata alongnya. Dijamah sedikit kuih-muih yang terhidang di atas meja bersama secawan teh o’ panas sebagai mengalas perut.

Okay, Irish pergi dulu!” pamit gadis itu setelah menjamah sarapan. Dia kemudian menyalami setiap ahli keluarganya di situ sebelum berangkat pergi. Sampai pada giliran uminya, terus saja Puan Qarina memeluk anak perempuannya itu.

“Maafkan umi ya sebab rahsiakan hal tu. Umi cuma tak mahu Irish terganggu. Jangan difikirkan sangat apa yang berlaku hari ni. Exam Irish lebih penting.” 

“Tak ada apalah, umi. Irish okay. Janganlah risau.” Irish meleraikan pelukan. Sekuntum senyuman dihadiahkan pada uminya lalu kedua belah pipi wanita itu dicium lembut. “Okay, semua! Irish pergi dulu. Doakan, ya!”

Irish melambaikan tangannya sebelum berlalu pergi. Sebaik kereta Satria Neo yang dipandu gadis itu hilang dari pandangan, terus sahaja Encik Izzuddin menghampiri isterinya sebelum berkata sesuatu. “Irish dah tahu ke?”

Semua mata kini tertumpu pada Puan Qarina, menantikan jawapan. Lama wanita itu membisu. Tidak tahu apa yang harus dikatakan, akhirnya dia mengangguk lemah. Serentak itu terdengar beberapa keluhan terbit dari mereka yang lain.

Puan Qarina mengesat air mata yang sudah mula jatuh ke pipi. Pilu hatinya mengenangkan nasib Irish. Bagaimana agaknya anak itu dapat menghadapi kemelut hidup dalam usia muda sebegini? Masih kuat lagikah Irish untuk menghadapi pelbagai dugaan yang bakal mendatang dalam hidupnya di kemudian hari?

Dan keluhan turut lahir dari celahan bibir wanita itu.    



GADIS tinggi lampai itu bersandar di sisi kereta sambil memeluk buku-bukunya. Masih terngiang-ngiang riak muka setiap ahli keluarganya sewaktu dia meninggalkan rumah tadi. Masing-masing kelihatan risau. Mungkin risau dengan dirinya yang akan mengambil peperiksaan dalam keadaan dia telah mengetahui khabar tentang perkahwinan Reza hari ini. Bohonglah kalau dia tidak terkesan dengan berita tersebut. Tetapi fokusnya pada peperiksaan yang akan berlangsung sebentar lagi melebihi dari fikirannya tentang lelaki yang tidak punya pendirian itu.

            ‘Biarlah. Kalau itu yang kau nak. Cuma aku harap kau takkan menyesal dengan jalan hidup yang telah kau pilih ni, Reza.’

            Satu keluhan dilepaskan Irish. Cuba mengusir jauh segala gangguan yang berlegar-legar di ruang fikirannya saat ini. Dia harus kembali tenang sebelum peperiksaan bermula. 

            “Hey!” sergah seseorang dari belakang. “Termenung!”

“Astaghfirullahalazim! Kau, kalau tak kejutkan aku macam tu, tak boleh ya?” soal Irish sedikit geram. Buku-buku yang dipegangnya habis terlepas ke bawah. Perlahan dia menunduk lalu mengambil semula buku-buku itu.

“Boleh! Tapi sebab kau tengah termenung, kan. Syok sikit kalau aku sergah. Kan ke aku suka tengok muka kau yang kalut macam tu!”

“Kan? Suka?” tingkah Irish pada Athirah yang sudah tersengih-sengih.

Athirah, sahabat baik Irish sepanjang menuntut di UiTM. Memang itulah satu-satunya rakan yang selalu bersamanya semasa di universiti baik di dalam dalam kelas, dewan kuliah, perpustakaan, menyiapkan tugasan, mengulangkaji pelajaran mahupun aktiviti-aktiviti yang lain. Pendek kata, di mana ada Irish di situlah ada Athirah. Sememangnya tidak boleh dipisahkan lagi kedua-dua sahabat itu.

“Sukalah! Sebab comel muka kau kalau kalut macam tu!” semakin galak Athirah menyakat rakannya yang sudah pun menarik muka.

“Hmm, dahlah. Malas nak layan.”

 Irish sudah mahu melangkah meninggalkan Athirah. Kalau dilayan gadis itu memang sengaja cari nahaslah dia. Kakinya mula dihayun menuju ke dewan peperiksaan yang terletak tidak jauh di hadapan.

“Eh, cepatnya jalan! Marah ke?” soal Athirah yang sudah menyaingi rakannya itu.

“Tak.”

“Jawapan macam tak ikhlas je!”

“Ikhlas sangat.”

“Lain macam je ni. Kau termenungkan apa, Rish? Ada masalah? Nak share dengan aku?”

“Tak ada apalah,” jawab Irish acuh tak acuh.

“Alaa... sorrylah Irish! Marah pasal tadi ke? Aku gurau jelah. Nak bergurau manja pun tak boleh ke?” spontan Athirah memeluk tubuh Irish, cuba memujuk. Dan perbuatannya itu serta-merta membuatkan langkah mereka terhenti.

“Eh, lepaslah Ira! Tak nampak ke ramai orang ni? Tak malu orang semua tengok? Kang lain yang diorang ingat, macam mana?”

“Biarlah. Macam diorang tak tahu aku kawan baik kau!”

“Tu orang yang tahu. Kalau yang tak tahu? Ingat kau ni famous sangat sampai semua orang kat sini kenal kau? Monyet kat hutan pun belum tentu kenal kau, tahu tak? Jangan nak perasan!” tingkah Irish sambil menampar lembut pipi gadis di sebelah. Kemudian dia menyambung semula langkahnya menuju ke dewan peperiksaan.

“Amboi, sedap bahasa nampak! Monyet kat hutan kau cakap? Hishh, dia ni memanglah! Tak bagi chance aku nak merasa famous sikit!” Athirah mula mengomel sambil mengejar Irish
 yang sudah jauh meninggalkannya di hadapan. “Oi minah, tunggulah!”

Irish menoleh sekilas ke belakang. Dilihat rakannya itu sudah berlari-lari anak cuba mengejar langkahnya.

“Kau marah aku, kan?” Athirah bertanya.

“Tak.”

“Kalau tak marah tak adalah kau menonong je jalan tinggalkan aku kat belakang.”

“Pengawas dah panggil masuk tu. Nanti lambat masuk tak sempat pulak jawab exam sampai habis. Ke kau teringin nak repeat paper Real Estate ni?” ujar Irish selamba.

“Ishh, kau ni Rish! Janganlah disebut-sebut. Buatnya betul kang. Tak nak aku repeat-repeat paper ni!”

“Kalau tak nak, diam. Jalan je cepat.”

“Hmm. Yelah-yelah! Kau ni, Rish. Tak sportinglah hari ni. Lagipun diorang baru panggil masuk dewan je, kan. Belum start jawab exam lagi.”

Dalam menurut sempat lagi Athirah mengomel. Irish di sebelah hanya menggeleng dan tersenyum melihat kerenah rakannya. Kedua-dua mereka terus melangkah memasuki dewan bersama pelajar-pelajar yang lain untuk memulakan peperiksaan bagi sesi pagi itu.