Tuesday, June 9, 2020

CHAPTER 17 : RELAKU PUJUK







GADIS itu menapak keluar dari bilik air. Rasa segar tubuh usai bersihkan diri. Langkah terus diatur ke katil. Tiga minggu selepas kemalangan, kini dia dah boleh bergerak sendiri. Itupun dengan kedua tongkat. Dan sebelah kaki.

      Dengan penuh hati-hati, duduknya dilabuh di birai katil. Kaki yang masih berbalut gips hiperglass biru diangkat perlahan ke atas tilam. Botol ubat di meja sisi kemudian dicapai.

Luka-lukanya masih perlu dicuci. Rutin harian yang harus dibuat tiap kali selesai mandi. Seperti dipesan Aryan.

            Tangan yang ralit sapu ubat dengan tisu tiba-tiba terhenti.

          Aryan. Sebut nama itu buat hatinya panas kembali. Kenapa mereka perlu jumpa semula? Lepas apa yang jadi?

           Dahlah tempoh hari dia culik lelaki itu. Tiba-tiba lelaki itu datang bantu dan selamatkannya pula. Tak pasal-pasal sekarang dia tercampak ke rumah ini. Rumah besar milik lelaki yang sama.

            Sefhia perhati keliling. Dah dua minggu dia tinggal di sini. Konon nak lari jauh dari lelaki itu seboleh-bolehnya. Tapi nampaknya, makin dekat kini.

            Dapatkah dia bertahan? Walau tahu peluangnya sangat tipis bila dah terjebak semula dengan lelaki berkenaan.

            Satu keluhan dilepaskan. Keluhan yang cukup berat.

Ikut hati mahu saja dia tinggalkan banglo ini sekarang. Tapi mengingat ugutan Aryan, juga kad pengenalannya dalam pegangan, dia jadi tak keruan.

Macam mana kalau dirinya diserah pada polis? Dah tentu-tentu akan terima hukuman. Sia-sia sajalah dia susah-payah loloskan diri tempoh hari dari gudang.

Sejenak, gadis itu terkenang ahli kumpulannya.

Apa nasib mereka sekarang? Zen. Hunter. Geng Crazier yang lain-lain. Sedang dibicarakan? Atau dah dijatuhi hukuman?

“Sefhia.”

Lamunan Sefhia terhenti. Segera dia berpaling. Wajah Mak Minah terjengul di muka pintu bersama dulang.

“Maaflah Mak Minah masuk aje. Dari tadi Mak Minah ketuk pintu Sefhia tak sahut. Risau jugak kalau jadi apa-apa. Sefhia baik-baik aje ke, nak?”

Tak ada balas kata. Hanya satu anggukkan yang diterima.

Wanita tua itu lalu berjalan ke katil. Dulang di tangan disua depan Sefhia. Duduknya
 turut dilabuhkan.

“Mak Minah datang bawakan sarapan ni. Sefhia makanlah. Lepas tu makan ubat. Aryan dah pesan jangan tertinggal walau sekali pun. Pagi tadi dia tak sempat nak jenguk kamu. Dah lambat ke pejabat.”

Sefhia pandang sepintas lalu makanan dalam dulang.

“Sefhia macam mana hari ni? Rasa lebih sihat?”

Mata biru Sefhia kerling Mak Minah. Lambat-lambat dia angguk.

“Luka-luka kat badan tu dah sapu ubat?”

Gadis itu angguk lagi.

“Kaki masih rasa sakit?”

            Sekali lagi Sefhia mengangguk.

            Mak Minah tenung anak gadis di depan. Sepatah ditanya, sepatah pun tak jawab. Payah betul nak bersuara. Kepala saja yang bergerak.

Tak pandai bercakap ke? Takkan bisu?

            Memang sejak datang sini, mulut Sefhia lansung tak pernah keluar suara. Hanya anggukkan dan gelengan. Dah macam berbahasa isyarat pun ada.

Hai! Tak faham betul dengan budak-budak muda zaman sekarang!

“Err… tak apalah. Mak Minah ke dapur dulu, ya. Nak masak untuk tengah hari. Sefhia ada nak apa-apa lagi?” soal Mak Minah seraya bangkit.

            Sefhia geleng untuk kesekian kali.

         “Kalau macam tu Mak Minah keluar dululah. Kalau Sefhia nak apa-apa, panggil aje. Kalau Mak Minah tak dengar, guna telefon tu ya.”

       Tangan Mak Minah terarah ke meja sisi katil. Tunjuk alat komunikasi yang selalu diguna penghuni banglo ini. Rumah besar. Kadang tak tahu orang yang dicari ada kat mana. Jadi telefon itu jalan selesainya. 

          Sebaik Mak Minah keluar, Sefhia renung juadah sarapannya. Pandangan kemudian beralih pada ubat-ubatan atas meja.

Dia tak faham, kenapa Aryan begitu ambil berat. Sedangkan sebab dia, nyawa lelaki itu hampir melayang. Nak balas dendam?

            Jemari Sefhia erat menggenggam tisu dalam tangan.


**********
           
FAIL-FAIL laporan diteliti penuh khusyuk. Sebagai persedian mesyuarat esok. Kalau dulu baru beberapa helai baca dah rasa nak pengsan. Tapi sekarang cuma beberapa minit satu fail dah boleh dihabiskan.

            Asam garam sebagai orang baru. Adatlah. Bak kata orang, tak kenal maka tak cinta.

Dan sekarang rasanya dia memang benar-benar dah jatuh cinta dengan profesionnya. Dengan pengalaman yang dikutip selama merantau, cukuplah jadi bekalan untuk menapak dari dasar hingga ke puncak. Seperti babanya.

          Dalam tak sedar, ada baik juga dirinya ditinggalkan. Banyak benda dia belajar uruskan Armaya sendirian. Mungkin ini antara hikmah macam yang orang tuanya katakan.

            ‘Makasih, ba, ma!’ ucap hati kecilnya.

         Tak pasti sampai bila mereka akan di kampung. Yang pasti, hingga kakek sihat sepenuhnya. Alhamdulillah. Khabarnya keadaan kakek juga semakin pulih.

Ada kesempatan, pasti dia akan pulang nanti. Jenguk datuk dan nenek. Rindu pada keduanya sudah separuh mati.

Rindu?

Perkataan itu buat tangan yang sedang menulis, terhenti. Seraya wajah sesorang hadir menggamit tangkai hati.

Sefhia.

Dah dua minggu gadis itu ada di rumah. Dan sejak itu dia cuba faham perwatakan gadis tersebut. Pendiam, kasar, dingin. Bercakap tak nak. Pandang dia pun macam tak ingin. Itu belum lagi sembuh betul. Kalau dah sembuh, tak tahulah gaya macam mana.

Aryan bersandar. Minda terus berputar. Memikir tentang Sefhia.

Gadis secantik itu, macam mana boleh terjebak dalam kancah jenayah? Dengan pakej perawakannya, banyak lagi kerja halal boleh dia dapat. Tengok gaya pun macam orang pandai. Tapi kenapa rezeki macam itu yang jadi pilihan?

Di mana keluarganya? Tak fikir ke perasaan mereka bila tahu gadis itu adalah salah seorang ahli sindiket culik terkenal Malaysia? Ke dia tak maklumkan? Atau mungkin keluarganya dah buang?

Hmmhh!

Aryan mengeluh penasaran. Wajah diraup lalu menyeka rambut ke belakang. Tak tahu kenapa gadis bermata biru itu yang selalu difikirkan.

‘Sebab kau dah jatuh cinta dengan dia, Aryan.’

Suara hati seakan jawab pertanyaannya. Dan-dan itu, Aryan ketawa.

“Nggak. Mustahil!”

Jatuh cinta dengan Miss of Crazier? Itu menempah bala namanya!

Banyak kali dia pelu fikir. Dengan keadaannya yang macam itu. Asal usulnya dari mana pun tak tahu. Itu belum tingkahnya. Muka saja lawa. Tapi kalau dah buka langkah, nauzubillah! Dirinya sendiri boleh mengalah.

Cuma satu yang dia berminat. Dirinya nampak sesuatu dalam mata Sefhia. Mata biru itu. Yang jernih itu. Itu yang menariknya untuk lebih dekat.

Tiap kali mata biru itu merenungnya, bagai ada semua jawapan untuk segala persoalan-persoalan. Dan dia nakkan jawapan-jawapan itu. Kerana itu dia tak mahu lepaskan. Sementelah, ‘dendam’nya juga masih belum berbalas.

“Tuan Aryan.”

Lelaki itu tersentak.

Are you okay?”

“Err… yup!” pantas Aryan jawab. Cepat-cepat badannya ditegakkan.

Sure? Tengok tuan macam termenung panjang.”

“Ah, nggak. Cuman capek dikit. Ngapain kamu masuk ini?”

“Saya nak ingatkan tuan pasal flight ke Singapura petang ni. Kereta syarikat akan jemput tuan kat bawah pukul 5.30 untuk ke airport nanti.”

“Oh! Ya, ya. Makasih Intan ingatkan saya.”

“Sama-sama. Tuan ada nak apa-apa sebelum saya keluar?”

 “Ya, ada. Tolong kasikan laporan ini sama Naim. Minta dia perbetulkan segala yang udah saya tandain. Sebelum jam 4.00 serah kembali ke saya. Ini penting untuk mesyuarat di Singapura.”

Intan ambil fail dari tangan bosnya. “Ada apa-apa lagi, tuan?”

“Err, ya… kamu bisa buatkan kopi untuk saya? Haus, deh.”

My pleasure. Kejap lagi saya hantarkan.”

Aryan hantar langkah setiausahanya. Yang sebenar dia taklah haus sangat. Tapi kopi itu lebih kepada nak tenangkan diri yang sedikit gelisah.

Hilang saja kelibat Intan, Aryan capai telefon. Nombor rumah didail. Pada Mak Minah ingin diberitahu tentang keberangkatannya, walaupun pembantu itu dah sedia maklum.

Dan paling penting, untuk sampaikan niat utamanya. Pesanan untuk jaga Sefhia baik-baik sepanjang dia outstation.




Wednesday, June 3, 2020

CHAPTER 16 : RELAKU PUJUK







DERAP tapak kaki kedengaran menuruni anak tangga. Sampai di bawah, langkah terus dihala menuju ke ruang dapur. Dari jauh dah terdengar suara orang sedang menyanyi sayup-sayup.

“Aduh, Mak Minah. Senang hati ya lagi nyanyian di dapur.”

“Eh, Aryan! Dah turun?”

“Iya. Dari tadi lagi udah turun. Gara-gara dengar suara Mak Minah yang merdu itu.”

“Isk! Pandai aje Aryan ni! Mana ada merdu. Takat saja-saja nyanyi kat dapur ni bolehlah,” balas Mak Minah. Panggilan tuan tak lagi digunakan. Sejak diminta Aryan.

“Mak Minah nyanyian lagu apa tadi?”

“Alah. Lagu lama, Aryan. Lagu zaman Mak Minah muda-muda dulu.”

“Tapi enak juga didengar. Bisa dinyanyi lagi?” pinta Aryan. Makin hari, makin nampak kemesraan dia dengan pembantu-pembantu rumah.

“Dah, tak payah. Kang tak siap-siap kerja Mak Minah. Kamu pun bukannya nak dengar sangat Mak Minah menyanyi, kan? Nak menyakat aje, kan?”

“Nggak, ah. Aryan ngomong yang benar ini. Apa Mak Minah nggak percaya?”

“Separuh-separuh. Kamu ni bukannya boleh percaya sangat. Kuat menyakat!”

Spontan tawa Aryan berderai. Dia kemudian menapak ke peti sejuk. Sekotak jus oren diambil sebelum duduk menghadap Mak Minah.

“Aryan lagi muji, kok Mak Minah nggak suka. Tapi orang dulu-dulu bilang, kalau perempuan lagi nyanyian di dapur itu nanti dapat suaminya lagi tua. Apa benar?”

“Itu pepatah orang tua-tua aje, Aryan. Cuma nak takut-takutkan. Yang sebenarnya nak suruh orang perempuan ni siapkan kerja cepat-cepat aje kat dapur ni. Tak adalah masak tu berjam-jam. Jadi nak percaya sangat tu, taklah. Kalau betul pun cuma kebetulan,” jelas wanita separuh umur itu. Tangan tetap berjalan buat kerjanya.

“Emangnya kalau benar, Mak Minah nggak takut?”

“Nak takut kenapa?”

“Punya suami tua.”

“Aduh! Mak Minah ni pun memang dah tua, Aryan oi. Nak takut apanya? Itu pun belum tentu ada lelaki tua nakkan Mak Minah ni. Tok sah beranganlah, Aryan!”

“Yang benar nggak ada yang mau?”

“Buat apa Mak Minah nak tipu.”

“Terus, Pak Majid itu?”

“Kenapa dengan Pak Majid?”

“Apa Mak Minah nggak tau?”

“Tahu apa?”

“Ya ampun. Pak Majid itu lagi ada hati sama Mak Minah, tau. Masakan Mak Minah nggak perasan.”

“Ya ke?”

“Ya benar, deh. Dari tingkah-lakunya aja udah ketahuan.”

Mak Minah terdiam. Apa yang diberitahu Aryan sedikit tak masuk akal.

Takkanlah pemandu yang tua lima tahun darinya itu ada simpan perasaan. Dahlah mereka pantang jumpa. Pasti ada saja yang dibahaskan. Mustahil!

“Ah! Merepeklah kamu ni, Aryan.”

“Mak Minah nggak percaya lagi?”

“Tak.”

“Ya nggak apa-apa, kok. Kita tunggu dan lihat aja nanti.”

“Hmm. Dalam mimpi ajelah, Aryan. Itupun kalau mimpi tu benarkan.”

            Sekali lagi tawa Aryan bergema. Geli hati dengan telatah Mak Minah. Dan entah kenapa, hari ini hatinya rasa sangat senang. Macam ada sesuatu buat mindanya jadi lapang. 

            “Err… Mak Minah apa udah jenguk Sefhianya pagi ini?”

            “Sefhia?”

Mak Minah kerut kening. Seakan baru teringat. Serentak dia tepuk dahi.

“Ya ALLAH! Mak Minah tak teringat lansung pasal Sefhia, Ryan. Lepas Subuh tadi terus aje masuk dapur. Aduh! Macam mana boleh terlupa ni! Aryan nak Mak Minah jenguk dia ke? Mak Minah pergi sekarang!”

            “Nggak apa-apa, Mak Minah. Nggak apa-apa. Mak Minah tenang aja. Biar Aryan yang pergi lihatin dia.”

            “Aduh… mintak maaflah, Aryan! Mak Minah betul-betul lupa!”

            Wanita itu kalut. Wajah Aryan yang dah tegak berdiri dipandang takut.
          “Nggak apa-apa kok, Mak Minah. Mak Minah juga lagi sibuk di dapur, kan. Ya, udah. Aryan pergi lihat Sefhia duluan, ya. Mak Minah habisin kerjanya.”  


**********            

TUK! tuk! tuk!

         Tangan Aryan ketuk pintu bilik perlahan. Berapa detik berlalu, tak ada balasan dari dalam. Sekali lagi lelaki itu mengulang ketukan. Masih tak ada sebarang jawapan.

            “Ke mana dia ini? Dari tadi lagi diketuk nggak dibuka-buka pintunya.”

Aryan tak putus asa. Diketuk sekali lagi pintu bilik Sefhia. Untung-untung kali ini berhasil. Namun hampa. Pintunya tetap tak terbuka.

“Apa masih tidur? Atau di kamar mandi?”

            Lelaki itu sandar ke dinding. Berpeluk tubuh sambil berfikir. Mencari-cari sebab kenapa gadis di dalam berdiam diri? Mustahil tak dengar. Melainkan tidur mati. Ataupun… dah lari!

            Spontan berdirinya tegak semula. Tombol pintu kelam-kabut dipulas. Tak berkunci. Apalagi... daun pintu ditolak segera.

          Masuk saja ke dalam, mata Aryan terus cari kelibat Sefhia. Dalam bilik air. Setiap penjuru bilik. Atas katil.

            Huh!

Aryan tarik nafas lega. Sekujur tubuh itu masih berbaring di sana. Di atas katil. Sangkanya tadi dah tak ada.

          Sekali lagi Aryan tersandar. Pandangan dihala pada wajah yang masih beradu itu. Sungguh lena. Lansung tak terganggu dek ketukan pintu yang berapa kali darinya.

Mungkin kesan ubat yang diambil malam tadi. Mungkin juga nak lupakan rasa sakit yang sedang melanda.

            Entah berapa lama Aryan tercegat sambil tatap muka Sefhia. Dirinya hanya tersedar bila lihat tubuh gadis itu bergerak-gerak dalam cahaya lampu tidur yang samar.

            “Udah bangun?”

Sapaan pertama Aryan sebaik mata Sefhia terbuka. Nampak saja Aryan, gadis itu pantas palingkan tubuh semula.

“Lepas ini kamu bangun lansung mandi. Sebentar lagi Mak Minah akan hantarin sarapan buat kamu. Selesai sarapannya, jangan lupa makan obat. Juga sama lukanya. Dibersihin.”

Satu-persatu arahan Aryan masuk telinga Sefhia. Namun gadis itu sekadar membatu diri seperti biasa.

“Aku udah mau berangkat ke kantor. Kalau kamu butuh apa-apa, bilang aja sama Mak Minah. Tapi ingat… jangan coba-coba mau kabur dari rumah ini.”

Aryan akhiri bicara bersama sebuah amaran.   

            “Aku pamitan dulu. Assalamualaikum.”





Friday, May 29, 2020

CHAPTER 15 : RELAKU PUJUK






“JADI benar, dia udah boleh discharge?” Aryan soal Wafri. Ingin kepastian. Seminggu berulang-alik ke hospital, pagi ini dia datang disambut khabar gadis bernama Sefhia itu dah boleh pulang.

“Yup. Her condition was good. Result for last checkup pun okey semuanya. Cuma tinggal luka-luka dia. Sikit hari lagi keringlah.”

“Gimana sama kakinya?”

“Ha, yang tu memang makan masa nak sembuh. So, kau kena bawa dia datang sini buat checkup ikut tarikh yang aku bagi nanti,” jelas Wafri. Tangan masih terus periksa gadis di depan untuk kali yang terakhir.

“Terus, gipsnya lansung gimana? Udah bisa dibuka?”

“Kau agak-agaklah, Ryan. Baru seminggu kut. Kalau buka sekarang, tak bercantum betullah nanti tulang dia!”

“Maksud lo?”

Kerja Wafri terhenti. Perhatian beralih pada rakannya yang duduk di kerusi.

“Nak buka gips ni sekarang, boleh. Cuma takut nanti tulang kaki tu tak bercantum betul. Ya, sembuh memang boleh sembuh sendiri. Tapi pertumbuhan tulang tu mungkin tak sempurna. Silap-silap nanti makin teruk. Kau nak macam tu?”

Aryan diam. Penjelasan Wafri cuba dihadam. Dah nama pun pakar orthopedik. Sah-sahlah tahu segala hal.

“Alah. Senang cerita macam kau buat tiang. Satu guna mol, satu lagi tak. Mana lebih cantik? Of course yang guna mol, kan? Terbentuk, terletak, solid. Perfect! Do you get it?”

Tak ada reaksi dari Aryan. Kepalanya masih fikir sesuatu.

“Ada lagi ke yang kau tak faham, bro?” Wafri seakan faham bingung si rakan. Kerja yang tertangguh turut disambung semula.

“Apa nggak susah dia mau bergerak, Ri? Sama simen yang berat itu.”

“Siapa kata senang?”

“Jadi, lo nggak punya cara yang lain?”   
      
“Tu aje pilihan yang ada.”

“Lalu kalau dia terjatuh, gimana?”

“Apa susah. Kau kan ada. Dukunglah dia!”

Spontan Wafri jawab. Jawapan yang buat Aryan tersentap. Terus pandangan dihala ke Sefhia. Dan tanpa duga, gadis itu turut pandangnya. Cepat-cepat Sefhia larikan wajah.

“Lo ngomongnya usah yang macem-macem, Ri.”

“Itu kalau. Kau jugak yang tanya kalau dia terjatuh tadi. Tapi… kalau betul-betul jadi… kau kena tolong angkat jugak, kan. Kalau dah darurat.”

Aryan pandang Sefhia lagi. Gadis itu tak bereaksi. Namun jelas wajahnya merah. Malu? Atau marah? 

Okey, Sefhia. Done!” Wafri bersuara usai kerjanya selesai. “Hari ni awak dah boleh keluar. Tapi ingat. Ubat-ubat yang saya bagi nanti, makan. Luka-luka ni pun jangan lupa sapu ubat. One more, kaki tu. Tolong jaga elok-elok. Jangan banyak bergerak, jaga makan minum.

Kalau boleh banyakkan makanan yang tinggi kalsium, protein dan vitamin. Semua tu boleh bantu awak sembuh cepat. Dan yang paling penting, datang checkup ikut tarikh yang saya tetapkan. Faham?”

Sefhia angguk perlahan.

How do you feel now? Lagi-lagi nak keluar ni. Excited?”

Wafri cuba bergurau. Namun hanya senyum tipis yang terpamer dari gadis di depan. Senyuman yang selalu dia terima tiap kali lakukan rawatan.

Never mind. Lepas ni saya dah tak ada nak pantau awak. Nurse pun dah tak ada untuk jaga awak. So please, take care of yourself. Atau… mungkin saya tak perlu risau sebab lepas ni Aryan pulak yang akan jaga awak.”

“Ri!”

“Apa?” tingkah Wafri selamba. Laporan perubatan Sefhia disudahkan secepatnya. “Okey, Sefhia. Awak rehat dulu. Kejap lagi nurse datang bawa baju awak. And you Aryan… I need you. We need to talk.”

Sejurus itu Wafri menapak keluar. Dan sebaik kelibat Aryan terpancul, daun pintu terus ditutup.

“Dokter Wafri. Lo apa-apaan sih ngomong kayak tadi? Depan dia lagi!”

“Apa salah ke aku cakap? Betullah kan lepas ni kau pulak yang jaga dia. Atau kau nak hantar dia balik rumah? Kau tahu ke tempat tinggal dia kat mana? Kenal family dia? Atau kau nak letak dia kat rumah kebajikan terus!” 

“Ya nggak begitulah.”

See? Aku cakap benda yang betul, kan?”

“Okey, okey. Lo menang!”

Aryan beralah akhirnya. Sedar kata-kata Wafri ada benarnya.

Tell me, Aryan. Who is she?” Sekali lagi Wafri cuba cungkil tentang gadis yang dirawatnya.

“Udah aku bilang, bukan. Dia gadis yang aku tabrakin.”

“Itu aku tahu. Tapi aku dapat rasa kau kenal dia lebih dari tu!”

“Nggaklah. Perasaan lo doang.”

“Dengan orang lain bolehlah kau tipu. Tapi bukan aku. Cara kau pandang dia pun aku dah boleh tahu. Tu satu. Aku tengok dia tak macam orang normal lain. Bercakap payah. Senyum, lagilah!

Badan dia. Kat badan dia tu ada parut-parut luka. Parut tembakan pun ada. Means, dia bukan orang biasa-biasa. Siapa perempuan tu sebenarnya, Ryan? Kat mana kau jumpa dia? Dari mana latar belakang dia?”

“Lo apaan sih, Ri? Pakei nanya-nanya begini. Udah kayak polisi.”

“Mestilah! Dah kau tiba-tiba bawa dia ke sini. Mintak aku rawat dia pulak tu. Mestilah aku nak tahu. Buatnya orang jahat ke apa ke, tak pasal-pasal aku terlibat sama!”

Aryan lepas keluhan. Sedar rahsianya takkan bertahan. “Lo memang nggak akan pernah menyerah, kan.”

“Bagus kalau kau tahu!”

“Okey. Fine. Aku akan kasitahu. Tapi bukan sekarang.”

“Dah tu, bila?”

“Satu saat yang sesuai.”

Mata Wafri cerun tenung Aryan. Dirinya nakkan kepastian. Mana tahu helah rakannya nak lepaskan diri.

“Tenang dong, Ri. Usah dipikirin lagi. Punya waktu nanti aku akan ceritain semuanya sama lo.”

“Apa jaminannya?”

“Udah berapa lama kita kenal? Pernah aku mungkiri?”

“Selalunya tak. Tapi kali ni aku tak pasti.”

“Iya, iya. Aku janji. Kalau aku mungkir, lo tumbuk aja mukaku ini.”

“Okey! Aku pegang janji kau!”

Wafri tarik nafas. Cari ruang untuk bertenang. Tak pernah-pernah dia berkelakuan macam ini. Semua gara-gara sikap pelik Aryan yang tiba-tiba. Kerana seorang gadis pula. “Kau nak bawak dia ke mana lepas ni?”

“Nggak tau. Mungkin ke rumah aku buat sementara waktu. Lagian, Mak Minah sama Pak Majid juga ada. Bisa bantu jagain dia.”

Then bila orang tua kau balik, dia kau nak campak mana?”

“Aku belum mikiran lagi. Kayaknya aku harus cari rumah yang lain.”

“Baguslah kalau kau pikir macam tu. Jangan kau tinggalkan dia kat tepi jalan, sudah.

Dengan kaki yang patah. Tak pasal-pasal masuk paper jadi headline muka depan!”

Sindir Wafri kali ini. Pandangan tajam Aryan dah tak dihirau lagi. 

‘Ikut hati yang sakit ini, mau aja aku berbuat begitu, Ri. Biar terbalas segala yang udah dia lakuin ke aku!’ jerit suara hati Aryan pada temannya yang sudah berlalu. 


**********

PINTU utama banglo ditolak. Sebaik melangkah masuk, tangan terus sorong kerusi roda ke ruang istirehat. Sambil melilau cari kedua pembantunya yang entah di mana. Tengok kereta kat luar pun tak ada.

“Tuan Aryan!”

Langkah Aryan mati. Serentak dia berpaling.

“Pak Majid, Mak Minah. Aduh! Kaget, loh!”  
         
“Ma… maaf, tuan. Ka… kami tak sengaja.”

“Ya nggak apa-apa, kok. Pak Majid sama Mak Minah lagi dari mana?”

“Dari pasaraya, tuan. Pak Majid bawak Mak Minah ni pi beli barang dapuq sat.”

Aryan angguk faham. Patut senyap sunyi rumah.

“Err… tuan. Mak Minah nak tanya. Ini siapa?” laju saja wanita itu bertanya. Nak tahu gerangan yang dibawa balik majikannya tiba-tiba. Muka tak pernah nampak. Dalam keadaan tak ‘sempurna’ pula. Lebih menarik, perempuan.

“Oh, ya! Hampir terlupa! Ini Sefhia. Gadis yang Aryan tabrakin malam itu. Mak Minah sama Pak Majid apa masih ingat?”

Kedua-dua pembantu itu saling berpandangan. Memang Aryan ada ceritakan. Kemalangan yang sebabkan majikan mereka tak pulang semalaman.

“Sefhia lagi nggak ada tempat tinggal di sini. Mau hantarin ke rumahnya, lagi jauh. Jadi Aryan pikir mendingan dia di sini aja buat sementara waktu. Mak Minah sama Pak Majid nggak kenapa-napa, kan?”

“Eh! Nak kenapa apa pulak? Ini kan rumah Tuan Aryan. Tuan berhak buat apa aje.”

“Ha. Betui, betui. Pak Majid lagi tak kisah, tuan. Asal jangan berdua, sudah na!” seloroh Pak Majid dalam gurau. Menggamit tawa yang lain.

“Kerna itu Aryan berani bawa dia pulang ke mari. Asalkan Pak Majid sama Mak Minah bisa bantu jagain dia.”

“Eh! Boleh sungguih, tuan. Untuk tuan, apapun bisa!” Pak Majid berseloroh lagi.

“Makasih, Pak Majid. Err… Mak Minah.”

“Saya, tuan.”

“Di bawah ini masih ada kamar kosongnya?”

“Ada, ada. Bilik tetamu dekat dengan bilik Mak Minah tu.”

“Mak Minah bisa bawain Sefhia ke sana nggak? Kayaknya dia lagi butuh istirahat.”

“Boleh, tuan. Boleh! Mak Minah bawakan sekarang, ya.”

Seraya Mak Minah ambil alih kerusi roda dari tangan Aryan.

“Makasih ya, Mak Minah.”

“Tak payah nak berterima kasihlah, tuan. Ni kan dah memang kerja Mak Minah.”

“Iya. Tapi harus diucapin juga, kan. Err… Pak Majid lagi ke mana-mana?”

“Saya? Tak ada, tuan.”

“Bisa nggak hantarin Aryan ke Hotel Marriot di Putrajaya? Lagi ada event jam 8.00 malam di sana.”

“Boleh, tuan. Boleh, boleh! Pak Majid pi siapkan kereta sekarang, na.”

Kedua-dua pembatu itu seraya bergerak ikut arahan.

“Oh, ya… satu hal lagi.” Aryan kembali bersuara. Langkah Pak Majid dan Mak Minah turut terhenti semula. “Pak Majid sama Mak Minah udah lupa, ya? Berapa kali udah dipesan. Jangan manggilin tuan. Aryan nggak suka.”

“Tapi tuan…,”

“Aryan udah anggap Pak Majid sama Mak Minah kayak orang tua sendiri. Jadi sepertinya kalian berdua juga harus berbuat yang sama, sih. Cukup manggilin namanya aja. Selebihnya Aryan nggak mau dengar. Titik. Sekarang Pak Majid sama Mak Minah bisa nyambung kerjanya.”

 Aryan hempas tubuh ke sofa. Dalam masa sama, mata masih terarah ke Mak Minah.

Bukan pada wanita itu sebenarnya. Tapi pada orang yang dibawa. Sejak tadi lansung tak tunjuk reaksi apa-apa. 

Malah sejak mereka jumpa semula, gadis itu seakan ingin lari dari bicara dengannya. Marah barangkali. Suka jauh sekali. Atau segan? Segan dengan keadaan diri yang begitu?

Mungkin. Mula-mula, dia culik orang. Sekarang, orang yang diculik itu pula yang selamatkannya. Nonsense. Tak pernah dibuat orang!

Itu satu hal. Kalau cakap pada orang yang Sefhia itu penculik pun, dah tentu-tentu orang takkan percaya. Muka cantik, persis orang putih. Badan tinggi, dah serupa model. Tapi boleh terjebak dengan kegiatan jenayah macam itu. Unbelievable!    
  
Aryan raup wajah. Kepala kemudian disandar ke dada sofa.

“Emerline Sefhia. Ada apa dengan kamu sebenarnya?” bisik lelaki itu penuh tanda tanya.