Sunday, May 18, 2014

BAB 14 : BAYANGAN GURAUAN




               
“Z
UL! Dah lama ke sampai?” Tengku Hafiy menepuk lembut bahu rakannya yang sedang duduk menunggu. Petang itu dia mengajak Izzul berjumpa di sebuah restoran western kegemaran mereka. Dulu sewaktu belajar dan sebelum Izzul berkahwin, tempat inilah yang kerap dikunjungi mereka kerana begitu menyukai menu-menu yang disajikan.

         “Adalah dalam sepuluh minit macam tu,” jawab Izzul sambil melihat jam di tangan. Pada Safiya sudah dimaklumkan tentang kelewatan mereka pulang ke rumah orang tuanya hari ini.

        “Oh, ya ke? Sorrylah lambat. Jalan jammed. Biasalah, malam ni malam minggu. Dah order belum?” soal Tengku Hafiy sambil menanggalkan kacamata hitamnya.

            “Dah. Kau punya pun aku dah orderkan sekali. Our favourite foods here!”

Yeah! That’s why you were my best friend, bro!” Tengku Hafiy menyuakan buku limanya sebelum ia bertemu dengan buku lima Izzul.

            “Apahal kau nak jumpa aku ni, bro? Tiba-tiba je.” Izzul memulakan bicara mereka.

          “Saja. Lagipun dah lama kita tak lepak-lepak minum macam ni. Yelah, orang tu dah kahwin kan. Anak dah tiga pun!”

         “Ha, tulah! Aku suruh kahwin cepat-cepat, tak nak. Nak ke mana-mana ada teman. Hujung minggu pun ada orang nak dipandang, dilayan. Tak adalah sunyi macam ni. Tengok... aku jugak yang kena layan sunyi kau tu, kan!”

            “Bukan tak nak, bro. Cuma masa belum sampai lagi. Tapi since kau dah cakap macam ni, aku rasa dah sampai masanya kut.”

            “Hah! Bila?”

            “Tengoklah. Kalau tak ada aral melintang dalam tahun ni kut. Insyaallah.”

         “Serius?? Alhamdulillah. Cepat dari sangkaan aku!” ucap Izzul yang begitu gembira mendengar perkhabaran dari Tengku Hafiy itu. Maklumlah, siapa yang tidak gembira bila rakan baik akan berkahwin dan mempunyai teman hidup untuk menjaganya sehingga ke hari tua nanti. Waktu dia menyampaikan hasrat ini dulu, Tengku Hafiylah orang yang paling gembira sebaik mengetahui. Tapi sayang, rakannya itu tiada di sini sewaktu dia melangsungkan hari bahagianya lantaran peperiksaan tahun akhir yang sedang dihadapi di England ketika itu. “Baguslah kalau kau dah terfikir ke arah tu. Kau pun dah lama ikat si Helena tu. By the way, aku nak tahu jugak. Apa yang buat kau tiba-tiba terbuka hati fikir pasal kahwin ni? Selalunya bila aku tanya ada je
 alasan kau bagi, kan.”

              “Dah sampai seru kut! Lagipun, adik aku yang sorang tu dah balik.”

          “Adik kau dah balik? Bila dia balik sini?” soal Izzul. Namun tidak sempat dijawab oleh Tengku Hafiy dek kedatangan pelayan restoran yang membawa hidangan mereka. Selepas pelayan itu beredar pergi, barulah Tengku Hafiy berpeluang untuk menjawab.

            “Hmm, dia dah balik. Balik terus. Dah seminggu dia kat sini. Cuma dia minta nak rest dulu sebelum masuk kerja. Nak biasakan diri dengan keadaan kat sini katanya. Dua minggu lagi mungkin masuklah office tu. So, since dia dah ada kat sini legalah sikit  aku bila dah ada orang nak tolong uruskan syarikat tu. Tak adalah beban terpikul kat bahu aku sorang. Dan, fokus aku pun dah boleh lari sikit dari syarikat. Tapi yang sebetulnya memang niat aku nak tunggu adik aku tu balik pun. Then baru aku nak fikir pasal kahwin ni.”

Izzul tergangguk-angguk mendengarkan cerita Tengku Hafiy. Dalam pada itu, hidangan fish and chip serta orange juice di depan mata turut dijamah oleh mereka.

            “Eh! Sebelum lupa. Aku nak jumpa kau ni pun sebab nak sampaikan pesan mama aku.”

            “Pesan apa?”

          “Hujung minggu depan parents aku buat makan-makan sikit. Nak sambut adik aku yang dah balik tu. Tak adalah besar-besaran. Untuk saudara-mara dan kenalan terdekat je. Sambil tu, sambut sekali hari jadi anak buah aku yang kecik tu,” jelas Tengku Hafiy merujuk pada anak kakaknya, Tengku Hazleen.

            “Insyaallah. Kalau tak ada apa-apa sampailah aku nanti.”

            “Ha, lagi satu. Yang ni pun mama aku asyik pesan. Jangan lupa bawa Irish sekali. Takut betul dia kalau aku lupa sampaikan!”

            Izzul mengangguk-anggukkan kepalanya sekali lagi. “Insyaallah.”

            “Jangan cakap je, Zul. Make sure kau datang. Kalau tak, mati aku nanti!” 

            Izzul sudah tergelak kecil. “Ya. Aku datang!”

            Mereka kembali menikmati makanan tanpa bicara. Namun hanya seketika bila Tengku Hafiy kembali bersuara.

             “Zul, boleh aku tanya sikit?”

            “Tanya jelah. Sejak bila pulak kau pandai minta permission nak tanya aku ni?”

            “Sebab benda yang aku nak tanya ni tentang adik kau.”

            Serentak itu Izzul memandang tepat ke wajah rakannya. “Kenapa dengan Irish? Dia buat hal kat office ke?”

            “Eh, tak adalah! Bukan macam tu.”

            “Habis tu, kenapa?”

         Tengku Hafiy menarik nafas sebelum memulakan ayat. “Irish tu tak ada teman ke? Err... maksud aku teman lelaki. Sepanjang kerja kat situ aku tak pernah nampak lansung dia keluar dengan mana-mana lelaki. Selalunya dia cuma keluar dengan budak-budak office perempuan. Itu yang aku perhatikanlah. Yelah, adik kau tu kan cantik. Mustahillah tak ada lelaki yang berkenan. Aku bukan apa. Kan kau suruh aku tengok-tengokkan Irish. So, aku nak jugaklah tahu serba sedikit tentang diri dia. Manalah tahu kalau-kalau ada certain orang yang tak boleh dekat dengan dia ke. Kalau apa-apa jadi, senanglah sikit aku nak get ready.”

Penuh berhati-hati tutur kata yang diucapkan Tengku Hafiy. Izzul yang mendengar hanya terdiam, memikirkan jawapan yang sesuai untuk diberikan. Untuk menceritakan keadaan sebenar, mustahil dia akan berbuat demikian. Inilah perkara yang paling tidak suka untuk dijawab. Kalaulah diberi pilihan, dia lebih memilih untuk berdiam daripada menjawab soalan berkenaan adik perempuannya itu. Entah mengapa setiap kali hal berkaitan Irish disebut atau dibangkitkan, hatinya pasti akan terusik.

Melihat Izzul hanya membisu, Tengku Hafiy dipagut rasa bersalah. “Hey Zul! Kau okay ke? Atau aku salah cakap? Kalau kau tak nak jawab tak apa. Aku tak paksa pun.”

“Tak adalah. Irish tu memang macam tu dari dulu. Susah sikit dengan lelaki. Dengan kau pun dia berani sebab kau kawan baik aku. Tapi tentang teman lelaki tu, aku tak pasti. Kalau ada pun memang dia takkan bagitahu. Nak cakap adik aku tu ada certain orang yang tak boleh dekat dengan dia, tak adalah jugak. Cuma kalau kau nampak dia dengan sesiapa yang mencurigakan, kau get readylah awal-awal. Aku pun bukan ada dengan dia setiap masa. Jadi aku bagi sepenuh kepercayaan pada kau untuk jaga dia bila aku tak ada. Boleh kau janji?” pinta Izzul. Buku limanya diangkat lalu disuakan pada Tengku Hafiy. Lelaki itu tersenyum lalu menyambutnya. 

As you wish. Kau jangan risaulah pasal tu, Zul. Tahulah aku nak jaga Irish nanti.”  



“IRISH buat apa sorang-sorang kat luar?” Izzul menegur adiknya yang kelihatan duduk termenung di atas buaian di sudut halaman rumah seorang diri. Semua ahli keluarga mereka sedang asyik melayan rancangan TV di dalam rumah. Hanya kelibat Irish seorang yang tidak
 kelihatan. Rupa-rupanya di sini adiknya itu membawa diri.

         “Eh, along. Tak ada apalah. Saja ambil angin kat luar,” sapaan Izzul mengejutkan Irish dari lamunan. Sengaja dia ingin mengambil angin di luar malam ini sambil menenangkan fikiran.

            “Boleh along join?” Izzul meminta izin.

            “Duduk jelah, long.”

            Irish menepuk-nepuk ruang di sebelah, sebagai isyarat menyuruh alongnya duduk di situ.

           “Mak Engku jemput kita datang rumah Sabtu depan,” beritahu Izzul sebaik melabuhkan duduk di atas buaian.

           “Ada apa?”

           “Anak lelakinya yang duduk luar negara tu dah balik. Jadi dia buat jamuan sikit. Sekali sambut hari jadi cucunya.”

           “Insyaallah. Kalau along nak bawa, Irish ikut je.”

         Izzul menganggukkan kepalanya. Setelah itu, keadaan menjadi senyap seketika. Masing-masing mencari idea untuk menyambung perbualan.

            “Irish fikir apa? Dari tadi along tengok termenung panjang.”

         “Eh, mana ada termenung. Along ni pandai jelah. Saja duduk sini tenang-tenangkan fikiran. Seminggu kepala dok asyik fikir pasal kerja je.”

            “Kerja kat pejabat okay?”

         “Okay. Semuanya okay. Alhamdulillah,” balas gadis itu. Sejenak dia teringatkan kerjanya di pejabat. Masuk setahun bekerja di Haiyan Holdings, dia semakin dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di situ. Memang agak sibuk. Lebih-lebih lagi menjelang pertengahan dan akhir tahun kerana dia perlu membantu pegawai-pegawainya untuk menyiapkan laporan kewangan yang akan dihantar dan disemak oleh orang atasan sebelum diserahkan kepada ahli lembaga pengarah syarikat.

            “Along nak tanya sikit, boleh?” pinta Izzul.

“Boleh. Tanyalah. Apa dia?”

            “Irish... Irish...,”

       Irish menoleh ke sisi, hairan melihat alongnya seperti teragak-agak ingin membuka mulut. “Kenapa ni, long? Tanya jelah apa along nak tanya.”

Izzul menghela nafasnya, cuba menyusun ayat dengan penuh berhati-hati. Bimbang jika tersilap kata akan membuatkan adiknya terasa. “Irish tak terbuka hati nak bercinta lagi?”

            Sekali lagi Irish mengerling sekilas ke sisinya. Kemudian dia menguntum senyum.

            “Tak.”

       Hanya itu jawapan yang keluar dari mulut Irish, membuatkan Izzul serta-merta menoleh memandang adiknya. Bagai tidak percaya gadis itu hanya boleh tersenyum mendengarkan soalan tersebut. Jangkanya, Irish akan memarahinya. Paling tidak pun, adiknya itu akan angkat kaki meninggalkannya seorang diri di sini. Namun apa yang berlaku sekarang jelas sebaliknya.

            “Irish tak marah ke along tanya macam ni?”

“Tak. Nak marah buat apa. Along bukan buat salah apa pun.”

            “Betul, Irish tak teringin nak bercinta lagi?”

            “Tak. Irish lebih suka macam ni.”

            “Tak terfikir untuk cuba buka hati tu pada lelaki lain?”

            Pantas Irish menggeleng kepalanya yang hanya ditundukkan sedari tadi. “Tak.”

            “Sampai bila?”

            “Entah.”

            “Tak salah kalau mencuba. Beri peluang pada diri Irish, pada lelaki lain.”

            “Irish tak layak untuk bercinta lagi, long.” Rintih Irish. Suaranya sudah tersekat-sekat.  
    
“Jangan menghukum diri sendiri. Kita manusia tak layak untuk menghukum. Yang layak menghukum hanya Allah seorang saja. Setiap orang berhak untuk bahagia. Termasuk adik along ni,” bicara Izzul lembut, lalu tangan kirinya memaut mesra bahu adiknya itu.

            “Dengan siapa?”

            “Dengan lelaki yang lebih baik, yang boleh menerima Irish seadanya.”

            “Wujud lagi ke lelaki macam tu kat dunia ni?”

“Ada. Pasti ada!” bicara Izzul, seakan memujuk.

            Irish menghela nafas yang memberat dada. “Entahlah, long. Irish takut nak fikirkan tentang tu lagi. Biarlah masa yang tentukan. Kalau pun suatu hari nanti pintu hati ni terbuka balik untuk terima lelaki, biarlah semua tu dengan izin Dia. Irish redha,” ucap Irish perlahan. Air mata yang sudah berada di tubir sedaya upaya ditahan agar tidak keluar. Dia tidak ingin menangis lagi.

           Mendengarkan rintihan hati adiknya itu, Izzul mengeratkan lagi pelukan. Kepala Irish dikucup, bagai menenangkan jiwa yang sedang kesedihan itu. Matanya juga dipejam, cuba menahan sebak di dada. Dia pasti Irish juga berperasaan berat sama sepertinya saat ini.

            “Ingat. Walau apapun yang terjadi, walau beribu orang pun yang datang dan pergi tinggalkan Irish, along tak akan pernah sesekali tinggalkan adik along ni. Itu janji along!”

            Dan air mata yang sedari tadi ditahan, merembes juga akhirnya ke bumi. Angin malam yang bertiup lembut dan nyaman, bulan bintang yang indah bersinar di awanan, pungguk yang terbang hinggap di dahanan, turut menyaksikan dua beradik itu berdakapan melayani emosi yang hanya mereka berdua sahaja yang mengerti.



BAB 13 : BAYANGAN GURAUAN





   M
ASA terasa begitu pantas berlalu. Pejam celik tidak sedar sudah setahun Irish berkhidmat bersama Haiyan Holdings. Bermakna sudah banyak juga keringat yang dicurahkannya pada syarikat tersebut. Namun, hanya satu yang masih tidak berubah mengenai dirinya. Sikap pendiam dan tidak banyak bercakap dengan orang yang tidak begitu dibiasainya masih sukar untuk dikikis sehingga ke hari ini.

            “Irish!”

           Irish yang ketika itu sedang menghala ke bilik, terhenti melangkah apabila namanya dipanggil. Segera dia berpaling. “Ya, Tengku.”

          “Ermm... petang nanti saya ada meeting berkenaan budget untuk projek dengan goverment di Putrajaya tu. Since our Finance Manager, Encik Naufal on leave today, dan Puan Faridah pun ada tugas lain di luar, so saya nak awak ikut ke meeting tu. Are you okay with that?” soal Tengku Hafiy. Sebetulnya dia tidak gemar Irish memanggilnya dengan gelaran Tengku itu. Lebih mesra jika ia digantikan dengan panggilan ‘abang’ memandangkan gadis itu adik kepada Izzul. Tetapi bila diusulkan hal tersebut, Irish tidak mahu memandangkan semua staff memanggilnya begitu di pejabat. Namun gadis itu berjanji sekiranya berada di luar, dia tidak kisah untuk berbuat demikian.

            “Boleh.” 

       Senyuman Tengku Hafiy terukir mendengarkan jawapan dari Irish. ’Hai, Izzul! Masih tak berubah adik kau ni. Even dua puluh patah pun yang aku tanya, sepatah juga yang keluar dari mulut dia.’ 

         “Okay, Irish. I’ll see you around 2.00p.m. Saya tunggu awak kat bawah nanti,” ujar Tengku Hafiy dan kemudian terus beredar ke biliknya. 

Irish meneruskan langkah. Kebetulan memang dia tidak begitu sibuk hari ini. Sambil menemani Tengku Hafiy, dapatlah juga dia belajar sesuatu yang baru sewaktu mesyuarat belanjawan itu berlansung nanti. Dan secara tidak lansung ia membantu meningkatkan kredibiliti dan kerjayanya sebagai seorang eksekutif kewangan.  



KELIHATAN enam sahabat itu berjalan beriringan menuju ke sebuah kedai makan yang terletak tidak jauh dari Haiyan Holdings. Memang kebiasaannya mereka akan makan tengahari di situ kerana masakannya yang enak dan menepati citarasa. Harganya juga agak berpatutan. Hanya sesekali apabila tekak teringin untuk merasa menu yang berbeza, barulah mereka bertukar
angin ke tempat yang lain.

           “Mak Ani, nasi separuh macam biasa untuk kitorang berenam ya!” pinta Zaryn mendahului rakan-rakan yang lain pada tuan punya kedai makan itu, Hajah Nuraini.

            “Okay!” Hajah Nuraini yang sudah biasa dengan mereka yang merupakan pelanggan tetap di kedai makannya itu segera menyenduk nasi ke dalam pinggan dan kemudian diberikan kepada mereka setiap satu. “Air dah order belum?”

           “Belum. Nanti kitorang order kat Abang Khairy. Hah, tu pun dia datang!” beritahu Insyirah sebaik ternampak Khairy yang merupakan anak kepada Hajah Nuraini. Setelah memesan air dan memilih juadah lauk masing-masing, mereka berenam memilih untuk duduk di meja makan bahagian luar kedai tersebut.

            “Fuh! Cuaca hari ni manyak panas lor!” Elaine mengeluh sebaik melabuhkan duduk.

           “Nasib kau tak pakai tudung macam kitorang ni, amoi. Merasa jugak natural air-cond luar ni, hah!” ujar Farisya yang berada di sebelah.

            “Ya, mey! Betul, betul! Sorry ha, Farisya!”

Elaine tersengih pada rakannya itu. Dia dan Farisya merupakan kerani di jabatan kewangan Haiyan Holdings. Disebabkan tidak ramai kaum Cina yang bekerja di jabatan mereka, dia lebih selesa berkawan dengan rakan-rakan Melayunya sekarang ini. 

            Mereka mula menikmati hidangan makan tengahari dengan penuh berselera. Maklumlah, dari pagi mereka bekerja ditambah dengan penat menyiapkan tugas, sudah tentu perut masing-masing bekeroncong lapar minta diisi. Selang beberapa minit kemudian, Abang Khairy tiba dengan minuman yang telah dipesan oleh mereka.

          “Terima kasih Abang Khairy,” ucap Zaryn sebelum lelaki itu berlalu pergi. “Ha, amoi! Tadi kata panas, kan? Ni air dah sampai. Minum ni kasi sejuk sikit badan tu!”

“Haiya! Thank you, thank you! Manyak thank you, Zaryn. Sayang lebih sama you!”

            “Hmm... yelah tu, amoi!”

        “Eh korang, ada dengar cerita tak?” tiba-tiba sahaja Kak Maisarah bersuara. Diperlahankan sedikit suaranya agar tidak didengari oleh orang sekeliling.

          “Ha, cerita apa Kak Mai? Gossip ke?” Zaryn mendekatkan dirinya pada Kak Maisarah yang berada di sebelah. Dan tidak semena-mena bahunya dipukul wanita itu.

            “Ishh! Kau ni kan, Ryn. Tak habis-habis dengan gossip!”

            “Laaa... bukan ke? Tapi cara Kak Mai cakap ni macam nak bergossip je!”

“Ingat muka akak ni muka gossip ke, dik oi!”

          “Habis apa? Sampai akak cakap berbisik-bisik ni. Biasa orang cakap macam ni nak cakap cerita panas je. Kan?”

            “Ishh! Bukanlah, Zaryn. Ni... korang ada dengar-dengar tak anak lelaki boss yang sorang lagi tu dah balik sini?”

          “Yang mana, Kak Mai? Yang duduk kat oversea tu ke? Yang handsome sikit tu?” Farisya bertanya meminta kepastian.

          “Eh! Bukan handsome sikit tau. Handsome banyak! Betul ke, Kak Mai? Mana akak dengar ni?” soal Zaryn pula begitu teruja dengan khabar baru yang disampaikan.

            “Hmm, betullah tu. Anak boss yang duduk dekat oversea dah berapa tahun tu. Dia dah balik sini. Tapi kali ni dia balik terus. Dan akan kerja kat Haiyan Holdings. Tolong abangnya uruskan syarikat pulak. Dah bertahun asyik tolong syarikat orang je kan, nilah masanya nak uruskan syarikat keluarga sendiri. Akak tahu pun sebab semalam kebetulan ada kat bilik Tengku Hafiy. Masa tu Tengku Haiyan masuk then minta Tengku Hafiy jemput adiknya kat airport malam tadi sebab dia ada hal.”

          “OMG! Prince charming is coming back!” Zaryn sedikit berteriak sebaik mendengar cerita Kak Maisarah. Tidak keruan jadinya gadis itu.

             “Hey! Tak payah nak prince charming sangatlah! Tak habis-habis nak berangan!”

           “Hishh kau ni, In. Kacaulah! Aku baru nak berangan sikit. Bagilah chance! Kan, Cik Irish?” tutur Zaryn sambil menyenggol bahu Irish yang berada di sebelah kirinya. Irish yang tidak tahu-menahu lansung tentang apa dan siapa yang mereka bualkan itu, hanya mengangguk sambil tersenyum.

          “Yes! That guy anak boss tu, dia pernah datang masa annual dinner syarikat dua tahun lepas, kan? Kalau tak silap I lah. Kalau yang itu memang he’s so good looking! I tengok pun boleh cair, maa!”

            “Kau pun nak jugak, Elaine? Hai, boleh tahan jugak taste amoi ni!”

            “Hey, Farisya. I cakap saja, maa! Tapi kalau dapat pun, apa salahnya. He’s got a Chinese look on his face. Manyak handsome! Haiya, rugi kalau I tolak tau!” seloroh Elaine, membuat tawa yang lain terhambur lagi di situ.

            “Hmm... tak kisahlah korang nak dia ke, apa ke. Tapi setahu akaklah, anak boss yang sorang tu susah sikit kalau bab-bab perempuan ni. Dari dulu lagi.”

         “Eh! Kenapa pulak macam tu, Kak Mai?” Zaryn semakin berminat untuk mendengar. Serasanya, baru pertama kali cerita sebegini singgah ditelinganya sejak dia bekerja dengan Haiyan Holdings. Semua pekerja syarikat sedia tahu yang Tengku Haiyan mempunyai seorang lagi anak lelaki yang tidak dapat dinafikan rupa parasnya. Tetapi tidak pernah pula dia dimaklumkan tentang hal yang satu ini.

            “Yelah, akak kan secretary abang dia. Kadang-kadang adalah jugak Tengku Hafiy tu luahkan masalah pada akak. Termasuklah pasal adik lelaki dia tu. Dia sendiri pun tak faham. Bukan tak ada perempuan yang nak. Beratur, hah! Tapi adik dia tu je yang tak layan! Sampai sekarang. Even dah bertahun duduk kat UK tu.”

           “Tak apa, tak apa. Manalah tahu dia balik kali ni dah berubah. Kat Haiyan Holdings tu ramai je staff perempuan. Termasuklah kita-kita ni. Kut ada salah seorang yang berjaya buka mata adik Tengku Hafiy tu, tahulah dia nanti!” ucap Zaryn dengan penuh yakin.

            “Eh! Korang je, ya. Akak tak! Prince charming akak dah ada kat rumah tu!”

            “Laaa... Kak Mai ni. Maksud Zaryn staff perempuan yang masih singlelah! Yang dah kahwin, dah terkeluar dah dari list!”  

            “Amboi! Sedapnya mulut dia bercakap! Tahulah orang dah kahwin ni dah tak glamour, saham dah turun sikit!” tingkah Kak Maisarah sambil bercekak pinggang pada Zaryn. “Tapi kan... kalau pun anak boss tu nak pandang perempuan macam kita-kita ni pun, akak rasa Cik Irish ni yang paling up sikit dalam list!” Kak Mai menyambung kata-katanya sambil menepuk bahu Irish yang berada berhampiran. Irish pula yang ketika itu sedang menyedut minuman, sedikit tersedak diperlakukan begitu.

            “Hmm? Saya?”

            “Yelah. Antara kita ni, semuanya staff biasa je. Lainlah kalau Cik Irish ni. Salah seorang yang berpangkat kat syarikat.” Insyirah mencelah.

            “Betul, betu, betul! Setuju seratus peratus!” sokong Zaryn.

“Tak adalah. Cinta tu kan buta. Kalau dah suka, dan ikhlas, benda-benda tu semua bukan masalah. Yang penting, hati. So, semua orang tak perlu risau,” jawab Irish bersahaja.


“Oh, Cik Irish! Kalau itu anak boss akan suka you, tapi you tak nak, tak payah susah-susahlah. Kasi tolak sama I saja, maa!” pantas Elaine mengusulkan cadangannya. Dan tawa mereka sekali lagi terburai meliha gelagat gadis berbangsa Tionghua yang lucu itu.     



TERGESA-GESA Irish keluar dari lif. Hampir dia terlupa mesyuarat belanjawan di Putrajaya itu. Walhal baru sahaja pagi tadi dia dimaklumkan tentangnya. Nasib baiklah Tengku Hafiy menelefon sebentar tadi mengingatkan. Langkahnya pantas diatur menuju ke luar bangunan syarikat. Dia keburuan masa kerana Tengku Hafiy sudah menunggu di kereta. Matanya lansung tidak dihala ke arah lain.

            “Oppss!”

Langkah Irish terhenti. Dalam sibuk memikirkan tentang majikannya itu, dia hampir terlupa di mana dirinya sekarang. Gadis itu memejamkan mata. ‘Aduh! Lagi sekali ke?’

Irish kalut. Berkira-kira untuk menemui orang itu terlebih dahulu atau terus sahaja melangkah. Memikirkan yang Tengku Hafiy sudah menanti lama, spontan kakinya dihayun kembali. Namun hanya beberapa langkah sahaja sebelum dia berhenti dan memalingkan tubuhnya. 

            “Err... maaf, ya.”

            Irish meneruskan langkahnya semula tanpa menoleh ke belakang lagi. Walaupun di hati terasa bersalah namun dalam kepalanya ketika itu hanya memikirkan Tengku Hafiy.

‘Bahu nipun time-time macam nilah dia nak langgar orang. Berapa kali dah? Hmmh! Tak apalah. Sekurang-kurangnya aku sempat minta maaf. Harap-harap dia tak kisah. Aku betul-betul nak cepat!’ Irish cuba menyedapkan hati sendiri. Kaki terus dihayun tanpa menyedari dirinya sedang diperhatikan oleh sepasang mata yang tajam merenung setiap gerak langkahnya.

‘Memang dia tak sudi nak pandang aku agaknya,’ bisik lelaki itu sambil memerhati tubuh gadis tinggi lampai tadi yang semakin menjauh. Nafas ditarik sedalamnya sebelum dihembus perlahan. Sesaat, satu senyuman nakal terlihat di bibirnya. 

It’s okay, girl. We’ll see!”