Sunday, May 18, 2014

BAB 12 : BAYANGAN GURAUAN





“H
AFIY, papa kamu mana?” Tengku Dafina yang muncul dari dapur bertanyakan tentang keberadaan suami pada anak sulungnya. Mereka sekeluarga baru sahaja selesai makan malam. Selepas itu dia ke dapur untuk membancuh minuman panas bersama anak gadisnya manakala Tengku Haiyan dan Tengku Hafiy berlalu ke ruang istirehat.         

“Ada kat luar tu, ma. Pak Ngah telefon tadi,” balas Tengku Hafiy sambil menoleh sekilas pada Tengku Dafina yang sudah melabuhkan duduk di sebelah. Tumpuannya kemudian diarahkan semula pada perlawanan bola sepak pasukan kegemarannya, Manchester United bertemu dengan pasukan Chealsea yang diikuti sejak tadi.

Tengku Dafina memanjangkan leher melihat ke arah luar, mencari-cari kelibat suaminya. Dari kejauhan dia nampak lelaki itu sedang bercakap di telefon dengan seseorang. Beberapa minit berlalu, Tengku Haiyan masuk semula ke dalam. Langkahnya diatur menuju ke ruangan istirehat menyertai anak dan isterinya di situ.

“Pak Ngah kirim salam semua,” beritahu Tengku Haiyan. Salam daripada abangnya, Tengku Arham selamat disampaikan. Ketika itu juga Tengku Hazreen muncul dari dapur sambil menatang dulang berisi minuman panas bersama sedikit buah-buahan.

“Ada apa Abang Ngah telefon, bang?” Tengku Dafina menyoal suaminya.

“Tak ada apa. Saja tanya khabar. Dia minta maaf sebab tak dapat datang majlis kita minggu lepas. Dia dengan Kak Ngah ada urusan kat Amerika. Sambil tu pergi jenguk sekali anak mereka kat New York tu.”

Tengku Dafina mengangguk perlahan. Tengku Hafiy dan Tengku Hazreen pula hanya mendiamkan diri sambil mata tidak lepas dari perlawanan yang sedang berlansung di layar televisyen LED bersaiz enam puluh inci itu. Suasana menjadi sepi seketika.

“Err... Hafiy. Boleh mama tanya sikit?” Tengku Dafina kembali bersuara.

“Tanya apa, mama?”

“Pasal Irish.”

Serentak itu Tengku Hafiy menoleh. “Irish? Kenapa dengan Irish?”

“Hafiy selalu ke jumpa Irish kat pejabat?”

Soalan itu membuatkan Tengku Hafiy mengarahkan semula tumpuan pada perlawanan di hadapan. “Kalau dah pejabat satu level memang hari-harilah jumpa, ma”

“Sepanjang dia bekerja kat syarikat, Hafiy tengok Irish tu macam mana?”

            “She’s okay. Cuma agak pendiam sikit. Susah nak bercakap atau berbual dengan orang
 yang dia tak biasa ataupun baru kenal. Bercakap bila dia rasa perlu je.”      

            “Hmm. Kerja dia kat syarikat macam mana?” Tengku Haiyan mencelah.

        “Kerja dia okay. Papa tak payahlah risau. Walaupun mulut tak banyak cakap tapi kerja dia memuaskan. Cepat catch up, rajin belajar, rajin bertanya. Baguslah macam tu. Kurangkan bercakap, lebihkan kerja.”
          Tengku Haiyan menganggukkan kepala tanda berpuas hati dengan jawapan yang didengarinya. Sebagai pengerusi syarikat, serba sedikit kenalah juga dia mengambil tahu tentang pekerja-perkerjanya. Terutama yang masih baru seperti Irish.

          “Habis selalu bersendirilah Irish kat pejabat tu, ya? Kurang bergaul dengan yang lain-lain?” duga Tengku Dafina. 

           “Ishh, tak adalah mama! Dengan certain orang je dia kurang bercakap. Tapi dengan orang yang dah biasa, naklah dia bergaul. Hafiy tengok budak-budak kat office tu pun semua sukakan dia. Termasuklah makcik-makcik cleaner tu. Siapa yang pandai pancing, dapatlah berbual dengan dia.”

            “Dengan kamu, nak dia bercakap?”

         “Dengan Hafiy memang taklah! Segan kut dengan kawan abangnya ni. Eh! Yang mama ni asyik tanya pasal Irish ni, kenapa? Dah berkenan ke? Untuk siapa? Untuk Hafiy?”

            “Ishh, budak ni! Ke situ pulak! Tak ada apa-apalah. Saja je tanya. Tak sangka pulak selama ni Izzul ada adik perempuan macam tu. Baik nampaknya. Lemah lembut, sopan santun, hormat orang. Orangnya pun cantik. Sejuk mata mama tengok dia. Pandai Izzul sorok adik dia selama ni, ya.”

Seraya itu kedengaran suara Tengku Hazreen berdehem.

“Ha! Yang kamu ni dah kenapa, Reen? Sakit tekak ke?” tingkah Tengku Dafina seraya menghadiahkan satu jelingan pada anak bongsunya itu, membuatkan ketawa yang cuba ditahan oleh Tengku Hazreen sedari tadi terburai juga akhirnya.

            “Alaa... mama. Kalau mama dah berkenan sangat, apa tunggu lagi. Mama kan ada sorang lagi anak bujang. Tak payah risau-risaulah!”

            “Siapa? Abang kamu lagi sorang tu?”

       “Yelah, ma. Siapa lagi? Nak bagi kat yang ni, dah berpunya dah. Sorrylah ya, Mr. Hafiy. Melepas peluang!”

            Spontan tangan Tengku Hafiy mencapai sebiji bantal di sebelahnya lalu dilemparkan
 pada Tengku Hazreen yang berbaring di sofa. Namun adiknya itu lebih pantas menangkap. Sudahnya, dia hanya ditertawakan oleh gadis itu.

            “Kuat menyakat betul! Tak padan dengan kecik!”

“Ikut perangai siapa? Perangai abang dia jugak, kan? Tapi betullah. Reen pun suka jugak dengan Kak Irish tu. Tak banyak cakap. Masa mula-mula jumpa dia malam tu, dah rasa something special dengan akak ni. Kak Leen pun cakap benda yang sama.”

“Kenapa pulak?” tanya Tengku Hafiy hairan.

“Yelah. Kita yang banyak bercakap ni, kalau berjumpa dengan orang tak banyak cakap, kan rasa tercabar. Rasa macam... nak jugak cakap dengan dia, nak jugak borak dengan dia. Macam-macam cara nak grab attention dia. Sampailah dia dah buka mulut, nak bercakap, nak berbual dengan kita. Ha... masa tulah rasa puas!”

Dalam hati Tengku Hafiy mengiakan kata-kata adiknya. Terkadang dia ingin juga berbual-bual dan lebih mengenali Irish. Namun gadis itu terlalu pendiam. Hanya bersuara bila disoal. Itupun boleh dibilang dengan jari. Bak kata Izzul, sepuluh patah ditanya, setengah patah sahaja yang dijawab. Memang satu cabaran juga baginya.

          “Irish tinggal dengan Izzul ke, Fiy?”

          “Tak adalah, ma. Izzul cakap Irish tinggal dengan parents diorang. Kalau balik kerja lewat atau ada hal penting je Irish stay rumah Izzul.”

            “Hmm. Ada masa nanti Hafiy ajaklah Izzul dengan adiknya ke sini lagi. Bolehlah kita borak-borak panjang. Izzul pun lama dah tak bermalam kat sini, kan.”

            “Insyaallah, mama. Nanti-nanti Hafiy sampaikan pada Izzul.”

        Jawapan dari anak lelakinya itu membuatkan Tengku Dafina tersenyum lega. Memang dia teringin sekali mengenali adik Izzul itu dengan lebih dekat. Sejak pertama kali dia terpandangkan Irish pada malam majlis ulangtahun perkahwinannya minggu lalu, hatinya sudah jatuh sayang. Harapannya, moga akan ada pertemuan-pertemuan yang seterusnya selepas ini bersama gadis manis itu.      
         

BAB 11 : BAYANGAN GURAUAN




I
   RISH membelokkan keretanya memasuki perkarangan sebuah rumah Semi-D. Kelihatan kedua-dua kereta Izzul serta isterinya terparkir elok di dalam garaj. Malam ini nampaknya dia akan bermalam di sini memandangkan permintaan alongnya yang inginkan dia turut serta ke majlis ulangtahun perkahwinan ibu bapa Tengku Hafiy. Ikutkan hati memang dia keberatan untuk pergi. Maklumlah, kalau sudah majlis itu diadakan oleh orang yang berketurunan kerabat diraja, sudah tentulah tetamu-tetamu yang hadir nanti bukan calang-calang orang. Tetapi bila mengenangkan alongnya yang beria-ia mengajak, ditambah pula Tengku Hafiy yang sudah mengingatkannya berkali-kali untuk hadir, tidak sedap pula jika tidak diturutkan permintaan kedua-dua insan itu.


Irish keluar dari kereta lantas mengambil barang-barangnya di bahagian belakang. Setelah itu, dia memberi salam pada tuan rumah di dalam. Beberapa ketika, pintu rumah dibuka. Kelihatan seorang kanak-kanak menjengulkan kepalanya keluar.

Yeay! Acik Irish dah sampai!” jerit kanak-kanak berusia tujuh tahun itu dan terus meluru keluar mendapatkan Irish sebelum memeluk erat ibu saudaranya. Pelukan Alief Qusyairi turut dibalas Irish.

“Ermm... rindunya Acik Irish kat Airi ni. Lama tak jumpa. Adik Qis mana?” Irish bertanyakan tentang anak Izzul yang seorang lagi, Aliefa Qisrina.

“Adik ada kat dalam dengan papa dan mama. Jomlah masuk, Acik Irish. Meh, Airi tolong bawakan beg!” tutur Qusyairi. Diambilnya satu beg yang bersaiz kecil lalu digamit tangan ibu saudaranya untuk masuk ke dalam rumah sebelum Irish ditarik ke sofa untuk duduk di sebelahnya. “Papa! Mama! Acik Irish dah sampai dah!”

Selang beberapa minit kemudian, kelibat Izzul dan Safiya muncul dari arah dapur bersama Qisrina yang berada di dalam dukungan papanya. Irish bangun untuk bersalaman dengan along serta kakak iparnya dan kemudian mengambil Qisrina dari dukungan Izzul.

        “Irish duduklah dulu. Kak long buat air kejap ya,” ujar Safiya lalu masuk semula ke dapur meninggalkan suami, adik ipar serta anak-anaknya di ruang tamu.

     “Pukul berapa Irish gerak tadi?”  Izzul menyoal sebaik melabuhkan duduknya di sofa bertentangan dengan Irish. Qisrina yang sudah terlentok di pangkuan Irish dipandang sekilas. Memang anak-anaknya agak manja dengan adiknya itu.

            “Lepas Asar tadi terus gerak. Umi, ayah dengan Irhan kirim salam.”

            “Waalaikumussalam. Nanti esok Irish balik along ingat nak ikut sekali. Kesian kat budak-
budak ni asyik tanya bila nak balik rumah atuk dengan nenek dia.”

            “Eloklah, long. Umi dengan ayah pun dah rindu dengan cucu-cucu dia yang kat sini.” Kepala Qisrina yang terlentok di bahunya dicium. Ketika itu juga Safiya muncul dari dapur dengan menatang dulang berisi air dan sedikit kuih-muih. “Pukul berapa along nak pergi rumah Tengku malam ni?”

            “Lepas Isya’ dalam pukul 8.45 macam tu.”

            “Ada party ke?”

            “Ishh, tak adalah! Keluarga Tengku bukan jenis macam tu. Cuma buat majlis doa selamat and then kenduri arwah sekali. Lepas tu adalah jamuan sikit.”

            “Minumlah, Rish. Makan kuih tu. Kak Long tak ada buat apa. Ni pun along yang beli tadi kat cafe depan sana,” pelawa Safiya pada Irish.

            “Tak apa, Kak Long. Ini pun dah cukup.”

            “Lepas minum Irish pergilah naik atas berehat. Lepas Isya’ nanti turun, kita gerak. Along nak keluar pergi cuci kereta kejap.” Izzul berpesan pada adiknya sebelum bangkit dari sofa. “Airi nak ikut papa?”

            “Nak!” Cepat sahaja anak kecil itu bangun mendapatkan papanya yang sudah berada di muka pintu.


            “Nasiblah adiknya dah tertidur. Kalau tak, dengan budak-budak ni sekali nak ikut. Bukannya boleh tinggal diorang berdua ni!” ngomel Safiya, membuatkan Irish tertawa mendengarkannya. Qisrina yang sedang lena dipangkuan, ditepuk dengan lembut agar tidak terjaga dengan suara-suara mereka.
        

           
PERJALANAN yang memakan masa selama lebih kurang tiga puluh minit dari rumah Izzul itu berakhir di suatu kawasan kediaman golongan elit yang agak mewah. Kelihatan banglo-banglo yang berbagai reka bentuk dan gaya terdapat di sepanjang kiri dan kanan jalan menghala ke rumah keluarga Tengku Hafiy. ‘Berapa jutalah agaknya diorang buat rumah besar-besar macam ni, ya?’ Irish menyoal di dalam hati. Terkesima seketika dia melihat rumah-rumah di sekitar kawasan yang agak berbukit itu. Ralit benar memerhati hingga tidak sedar rumah yang ingin dituju oleh mereka sudah semakin hampir. Beberapa minit kemudian,  kereta berhenti di hadapan sebuah banglo besar yang dibina tinggi sedikit di atas sebuah bukit. Kawasan banglo itu kelihatan lebih luas berbanding banglo-banglo lain yang dilihatnya sebentar tadi. Terpampang sebuah papan tanda di hadapan pintu pagar dengan nama ‘Villa Haiyan’.

Okay, kita dah sampai. Jom!”

Izzul mendahului yang lain keluar dari kereta. Tangan isterinya digamit untuk masuk ke perkarangan villa sambil mendukung Qisrina. Irish yang memimpin tangan Qusyairi, mengekori mereka di belakang. Kelihatan sudah ramai tetamu yang telah sampai ke teratak mewah milik ibu bapa Tengku Hafiy itu. Masing-masing mengenakan baju Melayu serta baju kurung bagi menghormati majlis yang diadakan pada malam ini.

            “Assalamualaikum.” Izzul memberi salam sebaik terlihat kelibat Tengku Hafiy yang sedang sibuk menyambut kedatangan para jemputan yang hadir.

            “Waalaikumussalam. Eh, Zul! Laaa... aku ingatkan tak datang tadi!”

            “Sorry, lambat sikit. Budak-budak ni buat hal tadi.”

      “Alaa... biasalah budak-budak. Eh, jomlah masuk! Fiya, silakan. Ha, Irish pun ada! Alhamdulillah, sampai jugak. Jom, jom masuk!” pelawa Tengku Hafiy yang segak berbaju Melayu rona ungu gelap itu sebaik terpandangkan Safiya dan Irish.

            Melangkah masuk sahaja ke dalam villa tersebut, seluruh tetamu yang hadir sudah memenuhi ruang kediaman itu. Izzul mengambil tempat bersebelahan Tengku Hafiy dan Tengku Haiyan, menyertai para jemputan lelaki yang berada di ruang hadapan. Qusyari turut dibawanya bersama. Sementara Safiya pula membawa Qisrina dan Irish duduk menyertai jemaah perempuan di ruangan tengah, bersebelahan dengan kakak Tengku Hafiy, iaitu Tengku Hazleen Damyra yang sudah dikenalinya itu.

            Tepat jam 9.30 malam, majlis dimulakan dengan tahlil arwah dan bacaan yasin diikuti dengan bacaan doa selamat sempena meraikan hari ulangtahun perkahwinan Tengku Haiyan dan Tengku Dafina yang ke tiga puluh tiga tahun. Memang beginilah rutin kedua suami isteri itu menyambut ulangtahun perkahwinan mereka hampir setiap tahun. Biarpun sederhana sambutannya tetapi lebih afdal. Yang lebih penting, ia mendapat keberkatan dan keredhaan dari Allah swt. Satu jam berlalu, majlis kenduri arwah dan doa selamat selesai dijalankan. Di kesempatan itu juga Tengku Haiyan memberikan sedikit ucapan kepada para tetamu yang hadir bagi sama-sama menyempurnakan majlis malam ini sebelum mereka dipersilakan untuk menikmati jamuan yang telah disediakan di perkarangan villa.

“Helena tak datang ke, Fiy?” Izzul memulakan bicara tatkala mereka sedang menikmati juadah makanan bersama tetamu-tetamu yang lain.

“Tak. Dia balik kampung dengan family. Last minute. Emergency.”

            “Mak Engku dengan adik perempuan kau mana? Dari tadi tak nampak-nampak.”

Spontan Tengku Hafiy memanjangkan leher mencari. Namun kelibat tetamu yang ramai membataskan pandangannya. “Ada kut kat sini-sini. Busy betul dari siang tadi.”

        “Yelah. Tengok tetamu pun ramai malam ni. Silap hari bulan tak dapatlah aku jumpa Mak Engku dengan family kau yang lain.”

           “Eh! Apa pulak tak jumpanya. Jumpa nanti. Mama aku tengah sibuk melayan tetamu tu. Kau pun janganlah balik awal sangat. Dah lama tak datang sini, kan. Staylah lama sikit. Rumah kau bukannya jauh sangat pun!” Tengku Hafiy cuba memujuk rakannya. Dan seperti biasa, Izzul hanya menurut kata-kata itu memandangkan dia juga sememangnya ingin berjumpa dengan keluarga Tengku Haiyan yang sudah lama tidak ditemui.
            

          
WAKTU semakin membilang detiknya ketika para tetamu sudah beransur pulang meninggalkan villa tersebut. Hanya beberapa orang rakan-rakan dan saudara-mara Tengku Haiyan sahaja yang masih tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing.


            “Izzul.”

Izzul yang sedang rancak berbual dengan Tengku Hafiy, sedikit tersentak dengan panggilan tersebut. Spontan dia menoleh ke belakang. Sebuah senyumannya terukir kala melihat susuk tubuh itu. Lantas dia bangun untuk bersalaman. “Mak Engku. Apa khabar?”

“Sihat, Alhamdulillah. Izzul sihat? Lama dah kamu tak datang ke sini. Rindu betul Mak Engku!” Tengku Dafina meraih huluran salam Izzul lalu dikucup kepala lelaki itu. Satu kebiasaan yang dilakukan pada anak-anaknya, termasuk Izzul. Tidak dinafikan hubungannya dan Izzul memang rapat semenjak Tengku Hafiy sering membawa lelaki itu bermalam di villa sewaktu mereka menuntut sama dahulu. Sehingga lama-kelamaan dia mengambil Izzul menjadi anak angkatnya. Gelaran Mak Engku yang digunakan oleh Izzul itu juga atas saranannya sendiri. Nampak lebih mesra dan sedap didengar.

“Zul sihat, Mak Engku. Maaflah sibuk sikit. Tu yang jarang ada masa nak ke sini. Lagi-lagi Fiya tengah berbadan dua. Tak boleh nak tinggalkan sorang-sorang,” jelas Izzul sambil menoleh ke arah isterinya yang sedang memangku Qisrina yang sudah lena.

“Laaa... kesiannya cucu Nek Engku. Dah tertidur kat mama dia!” Tengku Dafina mendapatkan Safiya sebaik terpandangkan wanita itu. Pipi Qisrina diusapnya lembut. “Fiya sihat, nak? Baby dalam perut ni macam mana? Bila due?”

“Sihat, Mak Engku. Baby pun sihat, Alhamdulillah. Insyaallah lagi dua bulan macam tu,” Safiya membalas. Tangan Tengku Dafina diraih untuk bersalam. Sama seperti Izzul, kepala
 Safiya juga turut dicium oleh wanita itu.

“Yang heronya ni mana? Tak nampak pun.”

“Ada kat sana tu, dengan makcik dia. Sibuk nak tengok ikan dalam kolam katanya,” beritahu Izzul sambil menunjuk ke arah kolam ikan yang terletak di taman mini tidak jauh dari tempat mereka. “Airi! Mari sini salam dengan Nek Engku!”

Mendengarkan panggilan Izzul, Irish mengajak anak buahnya itu kembali ke meja mereka. Qusyairi akur walaupun dia belum puas melihat ikan-ikan tersebut. Kakinya diatur mengikuti langkah Irish. Sampai sahaja di situ terus dia menyalami Tengku Dafina.

“Cucu Nek Engku ni belum tidur lagi? Tak mengantuk ke Airi?”

“Belum, Nek Engku. Seronok tengok banyak ikan dalam kolam tu. Kan, Acik Irish?” celoteh Qusyairi lalu mendongak memandang Irish yang tidak jauh di belakangnya. 

Tengku Dafina menyoroti pandangan kanak-kanak tersebut. Dipandang wajah gadis yang dimaksudkan oleh Qusyairi. Melihat sahaja gadis itu membuatkan Tengku Dafina memandang ke arah Izzul, seakan bertanya. Izzul yang mengerti lansung menghampiri Irish dan memeluk bahu adiknya itu.

 “Mak Engku, kenalkan ini adik perempuan Izzul. Irish.”

Irish memandang alongnya. Dan bila melihat mata Izzul seakan memberi isyarat, kakinya terus bergerak menghampiri wanita separuh usia itu.

 “Assalamualaikum, Tengku. Apa khabar?” sapa Irish lalu menghulur salamnya. Sebaik Tengku Dafina menyambut huluran tersebut, tangan wanita itu dikucup hormat. Irish kembali menegakkan badannya sebelum ingin menarik tangan dari genggaman Tengku Dafina. Namun pegangan di tangan bagai enggan dilepaskan. Malah mata wanita itu juga lansung tidak berkalih dari terus merenungnya. ‘Alamak! Kenapa ni?’ bisik Irish resah.

Tengku Dafina terus-terusan merenung Irish. Hinggalah tiba-tiba dia menarik Irish dekat dengannya sebelum dikucup dahi gadis tersebut. Beberapa saat bibirnya menyentuh dahi Irish, barulah dilepaskan genggaman tangannya perlahan-lahan.

Irish tergamam. Sedikit terkejut dengan perlakuan wanita di hadapan. Dalam termangu, kakinya diatur menghampiri Izzul semula yang sudah pun kembali duduk bersama Qusyairi.

“Mak Engku dah takutkan Irish, ya. Maaflah. Di luar sedar Mak Engku.” Tengku Dafina seakan baru menyedari kertelanjurannya tadi. Dia sendiri tidak tahu bagaimana semua itu berlaku. Saat dari mula tadi dia melihat Irish, matanya ingin terus sahaja menatap wajah gadis tersebut. Seperti ada sesuatu yang menarik minatnya untuk terus menikmati wajah mulus itu.

“Tak apa, Tengku. Saya pun minta maaf  jugak.”

“Ishh! Tak payahlah panggil tengku-tengku. Panggil Mak Engku je, Irish. Sama macam abang kamu. Ni adik kamu yang dah kahwin tu ke, Izzul?”

“Eh, bukanlah Mak Engku. Ini adik perempuan Izzul yang bongsu. Belum kahwin lagi. Yang dah kahwin baru dua orang.”

“Oh, iya ke? Masih belajar?” tanya Tengku Dafina lagi. Hatinya bagai teruja ingin mengetahui tentang gadis bernama Irish itu.

“Ma, nilah adik Izzul yang baru kerja dekat syarikat papa tu.” Tengku Hafiy yang sedari tadi hanya menjadi pemerhati, mencelah perbualan tersebut. 

“Sebut-sebut nama papa ni, ada apa-apa yang papa boleh join ke? Hmm?”

Tiba-tiba suara Tengku Haiyan muncul di situ, membuatkan semua menoleh ke arahnya. Kedua-dua anak perempuannya serta suami Tengku Hazleen juga turut ada bersama. Oleh kerana kesemua tetamu telah pulang, mereka tidak ingin melepaskan peluang untuk menyertai kelompok yang masih tegar berada di situ walaupun malam semakin larut.

            “Tak ada apalah, papa. Ni Hafiy tengah kenalkan staff baru syarikat papa pada mama ni.”

            “Staff baru?”

            “Iya. Salah satu staff baru yang Hafiy cerita kat papa tempoh hari. Perkenalkan, Irish Qiara Izzuddin. Our new Financial Executive in Haiyan Holdings. Dan juga merupakan adik kepada kawan baik Hafiy, Izzul Qalief Izzuddin!”

            “Laa... iya ke? Kecik betul dunia ni. Pusing sana pusing sini, bertembung jugak akhirnya!” seloroh Tengku Haiyan lalu mengambil tempat duduk di sebelah Tengku Hafiy. Begitu juga Tengku Dafina dan yang lain.

            “Itulah. Masa finalised calon-calon hari tu, Hafiy tak tahu pun Irish ni adik Zul. Dah seminggu lebih dia kerja, baru dapat tahu. Itupun sebab bertembung dengan si Zul dan adiknya ni. Kalau tak, sampai sekarang pun Hafiy tak tahu kut.”

       Tengku Haiyan mengangguk-anggukkan kepalanya. “Pak Engku minta maaflah ya Irish tak dapat nak menjenguk staff yang baru masuk ke syarikat. Tak berkesempatan lansung. Ha... ni dah jumpa malam ni, dapatlah jugak kenal-kenal. Nak-nak pulak adiknya si Izzul ni, ya!”

            “Ada jodohlah tu!”

       “Siapa yang ada jodoh, Reen?” Tengku Dafina menyoal anak bongsunya yang tiba-tiba mencelah.

“Jodoh Kak Irishlah, ma!” balas Tengku Hazreen.

            “Jodoh dengan siapa pulak ni?”

            “Siapa lagi. Dengan anak mamalah!”

            “Siapa? Dengan abang awak ni? Tak payah! Yang dah diikat tu pun belum menjadi, ada hati nak cari lain!” bidas Tengku Hazleen dengan selamba, membuatkan semua yang ada memandang Tengku Hafiy dan tertawa.   

“Eh! Hafiy tak ada cakap apa-apa pun, ya. Adik tu yang memandai!”

“Ishh, bukan abanglah! Jangan perasan! Tengoklah dengan siapa-siapa nanti. Yang pasti, masih single and available!” ujar Tengku Hazreen lagi dengan lirikan senyum penuh makna.

Dan perbualan mereka berlanjutan hingga ke topik-topik yang seterusnya. Adakala mereka ketawa, ada masa tergelak besar bila ada cerita lucu yang terkeluar. Ibarat seperti sebuah keluarga besar yang sedang berkumpul.  Hinggalah jam menginjak ke angka 2.00 pagi, barulah Izzul sekeluarga meminta diri untuk pulang.


BAB 10 : BAYANGAN GURAUAN





S
UDAH seminggu lebih Irish bekerja di Haiyan Holdings. Banyak perkara yang telah dipelajarinya di situ. Dari pegawai atasan sehinggalah pekerja bawahan, rata-rata mereka semua tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu mengenai syarikat dengannya. Malah adakalanya dengan office boy dan makcik-makcik yang membersihkan pejabat juga Irish tidak segan silu untuk bertanya sekiranya keadaan memerlukan dia untuk berbuat demikian. Orang cakap kalau segan bertanya, jadilah seperti katak di bawah tempurung.

            Tuk! Tuk! Tuk!

         Ketukan di muka pintu mengejutkan Irish yang ketika itu sedang khusyuk menghadap skrin komputer di biliknya.

“Masuk.” Lembut sahaja suara gadis itu memberi arahan.

“Cik Irish!” kelihatan Insyirah, pembantunya melangkah masuk dengan beberapa fail di tangan. “Ini dia annual report syarikat untuk lima tahun yang Cik Irish minta tadi.”

         “Oh! Terima kasih, Insyirah. Nampak gayanya saya kena hadap jugaklah annual report ni untuk fahamkan yang lain-lain ni semua.” Irish menunjukkan mejanya yang dipenuhi dengan fail-fail syarikat. Semuanya perlu diteliti. Minggu-minggu terawal begini memang inilah yang akan ditelaahnya memandangkan banyak lagi hal-hal syarikat yang dia perlu fahami dan ketahui. 

          “Tebal-tebal annual report ni, Cik Irish. Larat ke? Kalau sayalah, mahu pengsan macam ni!” Insyirah yang sudah duduk di kerusi berhadapan Irish menggeleng-gelengkan kepalanya. Gerun melihat fail-fail yang setebal hampir sepuluh inci setiap satunya.

“Saya dah biasa, In. Masa belajar dulu dah selalu kena study macam-macam annual report syarikat. Kalau tak, tak dapatlah nak analyze dan tahu financial dia macam mana.” 

“Hmm, sebab tulah saya takat jadi pembantu je boleh. Eh! Ni nanti lunch Cik Irish turun makan dengan kitorang macam biasa ke?” Insyirah bertanya. Memang semenjak hari pertama bekerja lagi gadis itu sudah keluar makan tengahari bersamanya dan rakan-rakan pejabat yang lain. Dia sendiri yang mempelawa memandangkan ketuanya itu tidak biasa lagi dengan tempat-tempat di sini. Tambahan pula Irish jenis yang tidak kisah untuk keluar makan dan bergaul dengan pekerja-pekerja bawahannya, walaupun dia boleh dikatakan seorang yang berpangkat juga di syarikat. Disebabkan itu dia dan rakan-rakannya yang lain amat menyenangi Irish.

            “Oh! Saya lupa nak bagitahu. Abang saya call tadi ajak temankan dia lunch hari ni. Tapi hari ni je. Esok saya keluar dengan awak dan yang lain-lain macam biasa. Tak apa, kan?” beritahu Irish. Memang Izzul menghubunginya tadi mengajak untuk makan tengahari bersama
 memandangkan mereka belum berkesempatan berbuat demikian sejak dia mula bekerja di sini.

            “Tak ada hal lah, Cik Irish! Kitorang okay je. Kalau macam tu, saya keluar dululah.”

Okay. Pesan kat diorang saya minta maaf sebab tak dapat join hari ni, ya.”

 Insyirah menunjukkan isyarat okay di muka pintu. “Enjoy your lunch!”


TENGKU HAFIY melangkah keluar dari lif sebaik sahaja pintu terbuka. Niat di hati ingin pulang ke villa untuk makan tengahari memandangkan petang ini dia tiada sebarang mesyuarat atau temujanji dengan client syarikat. Sudah lama juga dia tidak mempunyai kesempatan begini disebabkan jadual kerja yang agak padat. Setibanya di ruang legar syarikat, Tengku Hafiy terpandangkan kelibat seorang gadis di sofa yang disediakan di ruangan itu. Sepertinya sedang menunggu seseorang.

‘Tunggu siapa pulak dia kat situ? Atau ada masalah?’ desisnya. Tengku Hafiy tidak jadi meneruskan langkah. Sebaliknya kaki dihayun menghampiri gadis tersebut.

            “Cik Irish. Assalamualaikum.”

            Irish yang sedang duduk membelakangi Tengku Hafiy, sedikit kaget. Lantas dia bangun dan berpaling ke belakang. Berderau darahnya melihat wajah itu yang tiba-tiba sahaja muncul. “Waalaikumussalam. Tengku!”

            “Cik Irish buat apa kat sini. Tak pergi lunch? Atau tunggu seseorang?”

            “Ha, ya! Saya tengah tunggu orang.”

            “Siapa?”

            “A...,” 

          “Irish!” belum sempat Irish ingin membuka mulut, kedengaran satu suara memanggil namanya. Serentak dia dan Tengku Hafiy berpaling.

            “Izzul!”

            “Eh, Hafiy!”

          “Hey, Zul! Kau buat apa kat sini? Meeting ke?” tanya Tengku Hafiy sambil berjabat tangan dan berpelukan dengan rakannya itu.

            “Tak adalah. Aku nak jemput Irish. Nak pergi lunch.” 

         “What??! Kau dengan Irish? Lunch? Eh, kau biar betul Zul! Jangan nak buat hal. Tahu dek Fiya, nahas kau!”

            Sebaik mendengar kata-kata tersebut, spontan Izzul tergelak besar. Dia yakin lelaki itu
 masih tidak tahu-menahu tentang perkara yang sebenar. Irish yang sedari tadi hanya memerhati,
 mula berasa kasihan melihat majikannya terpinga-pinga ditertawakan sebegitu.

“Along, dah-dahlah ketawa tu!” tingkah Irish sambil memukul lembut lengan Izzul, berharap agar alongnya itu berhenti ketawa. 

          “Hah?! Along?” sekali lagi Tengku Hafiy terkejut. Matanya dialihkan pada Izzul dan kemudian Irish silih berganti meminta penjelasan.

            “Ha, betullah tu. Along.”

            “Means, kau dengan Irish....”          
  
“Irish ni adik akulah. Kan aku ada cakap nak tolong carikan kerja untuk dia hari tu. Then kau suruh pass resume kat secretary kau, kan? Adik aku yang nilah!” terang Izzul bersama tawanya yang masih bersisa. Gelihati melihat tingkah rakannya itu.

            “Ya Allah!” Tengku Hafiy menepuk dahi. “Baru aku ingat! Aku tercari-cari jugaklah yang mana satu adik kau tu. Tak sangka pulak Irish ni rupanya! Serius, aku lupa lansung!”

            “Ha, tulah! Lain kali serkap jarang lagi. Nasib kau kawan aku. Kalau tak...,” Izzul memaut leher Tengku Hafiy sambil menunjukkan buku limanya, membuatkan tawa rakannya itu pula yang berderai.

            “Sorrylah, bro! Mana aku nak tahu. Patutlah masa interview Irish hari tu aku asyik teringatkan kau je. Rupanya memang ada kena-mengena!”

            “That’s we called sibling’s connection!” ujar Izzul. Ketawa mereka terhambur lagi.

So, kau nak bawa adik kau pergi lunchlah ni?”

“Yup! Saja ajak dia teman lunch hari ni. Alang-alang dah jumpa kau ni, jomlah sekali!”

“Tak apa ke?” Tengku Hafiy memandang Izzul dan kemudiannya Irish meminta kepastian. Takut pula jika dia akan mengganggu privacy dua beradik itu. 

“Alaa... jom jelah! Lagipun aku dah lama tak lepak makan-makan dengan kau.” Izzul terus sahaja menarik bahu rakannya itu untuk beredar sambil memanggil adiknya di belakang
 sebelum mereka bertiga melangkah keluar dari bangunan itu menuju ke kereta.


SEBUAH restoran masakan Italy menjadi pilihan mereka untuk menu makan tengahari hari itu. Sambil makan mereka berbual-bual, bercerita dan berkongsi perkembangan terkini diri masing-masing. Suara Tengku Hafiy dan Izzullah yang lebih banyak kedengaran berbanding Irish. Gadis itu hanya sesekali mulutnya berbicara apabila diajukan pertanyaan. Dia lebih gemar mendengar sambil menikmati hidangan sendiri. Lagipun tidak ada cerita menarik yang ingin dia kongsikan bersama. Ada ketika bila dia kebosanan, matanya meliar melihat sekeliling restoran yang sudah
 dipenuhi dengan pelanggan-pelanggan ketika itu.

            “Irish.”

            Tiba-tiba Izzul yang berada di sebelah menyikunya. “Hmm?”

            “Dengar tak Hafiy tanya tu?”

“Tanya apa, ya?”

“Macam mana kerja dengan syarikat dia so far? Okay ke?” Izzul mengulangi soalan yang ditanya Tengku Hafiy sebentar tadi.

            “Oh! So far, okay. Alhamdulillah,” jawab Irish ringkas sambil mengukir senyum.

            “Tu je?”

“Hmm.”

Izzul menghela nafasnya. “Macam nilah adik aku, Fiy. Susah betul mulutnya nak bercakap. Lagi-lagi orang yang dia tak biasa. Sepuluh patah ditanya, setengah patah je dijawab. Kadang-kadang tak jawab lansung. So, kau kena faham-fahamlah kalau kat office dia memang tak banyak cakap. Tapi kau make sure dia buat kerja. Kalau tak, report je kat aku!”

            “Along ni!” Sekali lagi Irish memukul lembut lengan Izzul.

            “Tak betul ke apa along cakap ni? Betul, kan?”

        “Dahlah, Zu l. Kesian adik kau tu. Merah dah muka dia. Kau ni dari time belajar sampai sekarang tak berubah, kan? Suka menyakat orang. Dulu si Fiya. Sampai menangis kau kerjakan!”

Izzul tergelak mendengarkan Tengku Hafiy menyebut nama isterinya. Sememangnya Tengku Hafiy mengenali Safiya ketika mereka belajar di Universiti Putra Malaysia dulu. Cuma kursus yang diambil oleh Safiya sahaja berbeza dengan mereka berdua. Safiya dalam jurusan perakaunan sementara mereka di bidang kejuruteraan. Dan selepas mereka menamatkan Ijazah Sarjana Muda di UPM, dia dan Safiya mengambil keputusan untuk bekerja manakala Tengku
Hafiy menyambung pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Oxford, England.

“Eh, kau bila nak kawin dengan Helena ni? Dah nak setahun kan korang bertunang?” tiba-tiba soalan itu dibangkitkan oleh Izzul.

“Belum lagi kut buat masa sekarang. Aku nak fokus pada syarikat dulu. Bila semua dah okay, bolehlah lansung. Lagipun aku tunggu adik aku yang sorang tu balik sini dulu.”

“Adik kau yang kat oversea tu?”

“Yup!”

“Hmm... lama jugak dia dah merantau. Selama tu jugaklah aku tak pernah jumpa dia.
 Amacam dia sekarang? Makin handsome macam kau, ada?”

            “Handsome macam aku tu tak adalah. Sebab dia memang dah handsome dari aku sejak dulu. That’s whylah sampai macam ni perempuan beratur nakkan dia. Dia je yang tak nak. Pelik aku!” ujar Tengku Hafiy sambil menunjukkan isyarat dengan tangannya.

            “Eleh! Kau pun dulu sampai macam ni hah perempuan beratur nak, kan? Kau tu je yang jual mahal!” Izzul membidas kembali kata-kata Tengku Hafiy dengan menunjukkan isyarat tangan yang sama pada rakannya itu.

            “Aku lain!”

            “Lain apanya, bro? See? Tak nak kalah jugak, kan!” 

         Dan kedua-duan tertawa bila menyedari tingkah mereka sudah seakan-akan seperti waktu belajar dahulu. Sering bergurau dan bertelingkah.

            “Hai! Ni kalau kat rumah kau ni Fiy, gerenti Mak Engku dah bising tengok aku dengan kau dah start gaduh. Hmm... lama dah aku tak ke sana jumpa parents kau. Apa khabar mereka sekarang?” tanya Izzul. Terimbau kembali zaman dahulu sewaktu belajar. Memang dia sering berkunjung ke villa keluarga Tengku Hafiy. Adakalanya hingga bermalam di villa tersebut.

            “Sihat, Alhamdulillah. Ha! Sebut pasal rumah aku. Sabtu minggu depan lepas Isya’ datanglah bawa Fiya dengan anak-anak kau sekali. Parents aku ada buat majlis kesyukuran sempena anniversary diorang. Mama aku memang dah pesan awal-awal suruh jemput kau. Dah lama sangat tak jumpa katanya. Rindulah tu dengan anak dan cucu-cucu angkat dia!”

            Izzul tergelak kecil. “Insyaallah, kalau tak ada apa-apa nanti aku datang.”

        “Bawalah Irish ni datang sekali, Zul. Kut mama aku berkenan nak jadikan dia anak angkat macam abang dia jugak. Irish nanti jemput datang sekali, ya?” pinta Tengku Hafiy. Gelaran ‘Cik’ yang biasa digunakan apabila memanggil gadis itu juga sudah tidak kedengaran lagi selepas mengetahui gadis itu adalah adik kepada Izzul.

Irish yang sedari tadi hanya menjadi pemerhati, hanya tersenyum. Bila melihat telatah alongnya dan Tengku Hafiy, spontan dia teringatkan Athirah. Begitulah mereka bila berjumpa. Ada saja yang dibahaskan. Tiba-tiba dia jadi rindu pula pada teman baiknya itu.

         “Dah nak pukul 2.00 ni. Jomlah gerak.” Izzul mengerling jam di tangan. Baru tersedar masa rehat hampir tamat. Dia kemudian memanggil pelayan restoran untuk membawakan bil. Seketika kemudian, datang seorang pelayan ke meja merek lalu meletakkan bil di hadapan Izzul.

            “Tak apa, Zul. Aku bayar.” Tengku Hafiy menawarkan diri untuk membayar

            “Eh! Janganlah macam tu, Fiy. Aku yang ajak kau tadi.”

            “Tak apa. Aku ihklas nak belanja kau dengan adik kau.”

Izzul sudah tidak dapat berkata apa-apa bila melihatkan rakannya lebih pantas mengeluarkan wang lalu diserahkan kepada pelayan yang setia menunggu di situ.


HYUNDAI Sonata putih milik Izzul berhenti di hadapan bangunan Haiyan Holdings. Setelah makan tengahari bersama tadi, dia singgah di syarikat itu sebentar untuk menghantar Irish dan Tengku Hafiy sebelum memandu pulang ke pejabatnya.

“Balik nanti kirim salam pada umi dah ayah semua.” Izzul sempat berpesan pada adiknya setelah mereka bertiga keluar dari kereta. Irish hanya mengangguk. Baru sahaja Izzul ingin berpaling, gadis itu memanggilnya semula. Izzul kembali menghadap adiknya. “Kenapa?”

Tanpa menjawab soalan itu, Irish menghulurkan tangan untuk bersalam.

Sorry, along lupa!” tingkah Izzul. Lantas huluran itu disambut sebelum kepala gadis itu dikucup seperti selalu. Entah mengapa setiap kali berbuat begitu, hatinya pasti sayu. Dihantar langkah adiknya masuk ke dalam bangunan pejabat bersama satu pandangan.

“Manja Irish dengan kau.”

Tengku Hafiy yang sedari tadi memerhati gelagat dua beradik itu, menegur rakannya yang tidak lepas-lepas dari memandang langkah Irish sehingga tubuh gadis itu menghilang.

“Biasalah. Adik perempuan bongsu.“

“Tak tahu pulak aku kau ada adik cun macam tu. Kalaulah aku belum bertunang, silap hari bulan aku boleh jadi adik ipar kau kut!” selamba sahaja Tengku Hafiy berkata sambil berpeluk tubuh dan bersandar pada kereta Izzul.

“Ha, mulalah tu!”

Tengku Hafiy sudah tergelak-gelak. “Aku gurau jelah, bro!”

“Tahu.” Balas Izzul selamba. “Sorrylah kalau adik aku tu menyusahkan kau bila dia kerja kat sini. Sekarang dan nanti-nanti.”

 “Eh, tak adalah! Dia tak pernah susahkan sesiapa pun. Biasalah budak baru nak bekerja, banyak benda yang kena belajar. Macam kita jugak dulu-dulu. Lama-lama esok pandailah. Jangan risaulah, Zul. Adik kau tu pandai bawa diri. Sejak dari interview hari tu aku dah suka dengan cara dia.  Budak-budak office pun ramai yang senang dengan dia.”

Sedikit sebanyak penjelasan Tengku Hafiy itu melegakan hati Izzul.

“Kau tolonglah tengok-tengokkan adik aku tu kat sini, Fiy.”

“Insyaallah, aku akan tengok-tengokkan dia. Kau jangan risau, okay!” Tengku Hafiy lantas memaut bahu Izzul di sebelah, seakan berjanji untuk terus meyakinkan rakannya itu.