Friday, October 21, 2016

BAB 34 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)







“ M
AMA, ada apa-apa yang Reen boleh tolong ke?” Tengku Hazreen yang baru muncul di dapur, menyapa Tengku Dafina yang sedang sibuk menyiapkan hidangan makan tengah hari bersama menantu serta pembantu-pembantunya. Walaupun sudah ada dua pembantu, namun wanita itu lebih gemar memasak dengan air tangannya sendiri bila ada masa terluang. Bak kata orang, itulah pengikat kasih sayang di dalam sesebuah keluarga.   
            “Hai, baru turun anak dara mama sorang ni?”
            “Sorrylah, mama. Tengah siapkan assignment, boleh terlelap pulak!”
            “Hmm... kamu yang siapkan assignment ke assignment yang siapkan kamu?”         
“Ishh, mama ni. Ada ke situ pulak!”
“Penat sangatlah tu, Tengku. Sampai tertidur-tidur buat kerja ya, Reen?”
“Ha’ah, Mak Ros. Menghadap kerja tu sampai bila pun macam tak siap-siap! Ada ke tak yang Reen boleh tolong mama ni? Cepat, ma. Reen tengah rajin ni!”
“Kerja mama dah nak siap pun, Reen. Kak El dengan Mak Ros ada ni tolong mama. Tu... cuba pergi tengok Kak Dewi kalau ada apa-apa kerja untuk ditolong,” beritahu wanita itu. Terasa ramai pula yang membantunya di dapur sekarang sejak Helena masuk ke dalam keluarga ini. Menantunya itu pula memang ringan tulang. Hendak memberhentikan salah seorang pembantunya pula, terasa sayang.
Tengku Hazreen menghampiri Dewi yang ketika itu sedang memotong buah-buahan untuk dihidangkan sebagai pencuci mulut. “Kak Dewi, ada yang bisa gue bantuin?”     
“Enggak apa-apa, Neng Reen. Kak Dewi bisa habisin semuanya sendirian.”
            “Alaa... tak apa. Mari, Reen tolong.” Tengku Hazreen terus mencapai pisau di dalam bekas dan duduk di sebelah Dewi. Dicapai sebiji epal dan dikupas kulitnya sebelum memotong buah itu kepada beberapa bahagian kecil.
            “Aduh, Ibu Tengku! Kalau kaya gini sih Dewi enggak bisa kerja lama di sini deh!”
            “Eh, kenapa pulak Dewi? Kamu nak ke mana?”
            “Dewi enggak ke mana-mana, Ibu Tengku. Tapi ya ini... anak gadis Ibu Tengku ini udah pandai bikin kerja rumah. Itu, menantu Ibu Tengku juga. Rajin sekali! Makanya Dewi harus pulang. Iya, kan?”
“Hmm... yelah tu, Dewi. El ni memang dah rajin. Tapi budak sorang tu, ikut mood dia. Kalau ada kat rumah, adalah muka dia kat dapur ni. Kalau tidak, memanjanglah keluar dia. Sampai muka mamanya ni lama-lama nanti pun dia dah tak kenal agaknya!”  
Spontan Tengku Hazreen tergelak besar. “Ishh! Mama ni. Sampai ke situ pulak fikirnya. Biasalah, ma. Student’s life always like this. Nanti Reen dah kerja, hari-hari Reen ada kat rumah. Sampai nanti mama pun naik bosan agaknya menghadap muka Reen ni setiap hari!”
“Pulang paku buah keras nampak anak mama ni? Dah, pergi naik atas solat zohor. Lepas tu panggil Abang Harrys sekali turun makan.”
            “Alright, maam! pantas Tengku Hazreen turun dari kerusi dan beredar ke atas.
            “El, kamu pun pergilah naik solat dulu. Nanti panggil Hafiy turun makan sekali, ya.”
            Helena akur dengan arahan ibu mertuanya. Dia menyudahkan basuhan pinggan yang terakhir sebelum berlalu. Dan sejurus itu, Tengku Dafina turut beredar. Tinggal pembantu-pembantunya sahaja di situ untuk menyudahkan kerja-kerja mereka.
“Waduh! Enak bangat baunya, mak!”
Dewi yang sedari tadi keluar masuk dari dapur ke meja makan, muncul tiba-tiba di sebelah Mak Ros yang sedang menyeduk lauk ketam masak lemak cili api ke dalam mangkuk.
“Astaghfirullahalazim. Dewi! Terkejut maklah! Bukan tadi kau tengah siapkan meja makan ke? Ni apahal tiba-tiba tercegat kat sini?”
“Iya, mak. Tapi enggak tahan bau makanannya. Enak bangat sih! Bisa rasa enggak?”
Laju saja tangan Dewi ingin mengambil ketam di dalam mangkuk itu. Namun belum pun sempat tangannya mencapai, Mak Ros lebih dulu memukul.
“Aduh, mak! Sakit loh!”
            “Ha, sakit kan? Kalau ya pun nak makan, pergilah ambil pinggan. Ni main ambil je macam tu. Kau tahu kan lauk ni nak dihidang untuk Tengku.”
            “Iya, iya. Dewi minta maaf, mak!” Dewi sudah menarik muka masam dan ingin berlalu. Namun hanya beberapa langkah. “Dikit aja. Bisa, kan?”
            “Enggak bisa! Pergi siapkan meja dulu. Lepas tu baru kita makan. Nanti diorang semua dah turun nak makan, kau baru terhegeh-hegeh nak buat!”
            “Okay, okay! Dewi bikin ini! Tapi lauknya tinggalin lebih dikit buat Dewi ya, mak!”
            “Iya, nak. Dah cepat pergi siapkan kerja tu!”
            Pantas Dewi bergerak melakukan tugasnya yang terhenti sebentar tadi.

**********

“DAH siap semuanya?” pertanyaan pertama Tengku Dafina sebaik dia dan suaminya tiba di meja makan sebelum diikuti seorang demi seorang anak-anaknya turun ke ruangan itu.
            “Sudah, Tengku.”
            “Mari duduk makan sekali Kak Ros, Dewi.”
            Mendengar pelawaan dari Tengku Haiyan membuatkan Dewi tersenyum lebar. Pantas kakinya ingin melangkah untuk menarik salah sebuah kerusi di meja makan itu. Namun tangan Mak Ros lebih pantas menahannya.
            “Ha’ah, Kak Ros, Dewi. Duduklah sini makan sekali,” pelawa Tengku Dafina pula.
            “Tak apalah, Tengku. Nanti kami boleh makan kat dapur. Silalah makan semua. Kami ke dalam dulu,” pamit Mak Ros seraya menarik lengan Dewi masuk ke dapur.
            “Mak. Enggak dengar tadi itu kan Bapak Tengku bilang disuruhnya kita duduk makan sekali sama mereka, kan?” 
            “Dengar. Kau pun pantang dipelawa, kan? Terus nak duduk!”
            “Ya, iyalah! Kan mak itu selalu pesan. Rejeki jangan ditolak. Gitu, kan?”
            “Memanglah. Tapi takkan semuanya kau nak belasah! Kata orang sini, tak manis tahu? Mereka tuan rumah, kita ni cuma pembantu. Walaupun Tengku yang pelawa tadi tapi kita kena hormat dengan mereka. Tempat kita kat sini, Dewi. Jangan sesekali melangkaui batas tu walaupun layanan mereka memang baik pada kita. Faham cakap mak ni?”
            “Iya, mak. Dewi ngerti. Maafin Dewi, ya.”
            “Tak apa. Dah, pergi ambil pinggan cepat. Kata nak makan lauk mak masak tadi.”
            “Oh, iya! Sebentar. Dewi pergi ambil pinggannya!” ujar gadis itu seakan terpujuk. Mukanya yang sedikit muram tadi sudah kembali ceria apabila teringatkan lauk ketam masak cili api yang begitu membuka seleranya. 
            Sementara di meja makan, Tengku Haiyan sekeluarga menikmati hidangan tengah hari dalam keadaan yang tenang. Masing-masing tidak berbicara, membuatkan suasana sedikit hening. Yang kedengaran hanyalah bunyi sudu dan garfu berlaga dengan pinggan.
            “Abang.” Suara Tengku Dafina memecah kesunyian tiba-tiba.
            “Ya.”
            “Hari ni genap seminggu dah, kan?”
            Serta-merta pergerakan mereka terhenti. Masing-masing berpandangan sesama sendiri. Seakan faham dengan butir bicara yang dimaksudkan oleh wanita itu. Kemudian mereka menoleh pada Tengku Harrys. Lelaki itu hanya berlagak tenang sebelum menyambung kembali suapannya tanpa menghiraukan ahli keluarganya yang lain.
            “Hmm. Kalau nak diikutkan memang macam tulah.”
“Tak ada apa-apa berita dari diorang ke, bang?”
“Belum lagi nampaknya.”
            “Abang rasa-rasa mereka terima atau tidak, ya?”
            “Terima atau tidak, abang pun tak tahu. Yang penting kita dah cuba, Fina. Selebihnya kita berserah pada Allah. Kalau ada jodoh diorang berdua, Insya-ALLAH tak ke mana.” Kata-kata Tengku Haiyan membuatkan semua yang ada di situ terdiam. Tidak berani bertanya lagi. Makanan yang terbiar seketika tadi lansung dijamah semula.           
Tengku Harrys meneruskan suapannya. Sejak dari awal perbualan tadi dia tidak begitu mengambil pusing. Hanya telinganya sahaja yang menangkap butir bicara yang berlaku di meja makan tersebut. Entah mengapa hatinya tidak bersedia untuk mengetahui keputusan itu walaupun dia dapat merasakan jawapan yang akan diterima nanti mungkin mengecewakan. Makanan terus disuap ke dalam mulutnya. Lagi cepat dia makan, lagi cepat dia boleh naik ke bilik. Tidak perlu dia berlama-lama di sini.
Suasana kembali sepi. Tiada lagi perbualan di antara mereka. Hinggalah kedengaran telefon bimbit Tengku Hafiy berbunyi. Lelaki itu segera bangun dari kerusi dan mendapatkan telefonnya di atas meja ruang istirehat.
“Assalamualaikum.”
Tengku Hafiy memberi salam kepada pemanggil di talian. Beberapa saat kemudian dia menoleh ke arah keluarganya di meja makan sebelum melangkah keluar ke beranda villa. Agak lama juga dia bercakap di telefon. Seperti membincangkan satu hal yang penting. Sepuluh minit berlalu, baru kelibatnya kelihatan masuk ke dalam semula.
“Siapa yang call tadi, Fiy? Lama benar bercakap. Sampai kena keluar pulak. Klien?” belum sempat Tengku Hafiy melabuhkan duduk, soalan Tengku Dafina lebih dahulu menyapanya. Dia membiarkan soalan itu berlalu tanpa jawapan. Dipandang muka setiap ahli keluarganya satu persatu sebelum pandangannya berakhir pada Tengku Harrys.
“Hafiy, kamu kenapa ni?” Tengku Dafina bertanya lagi bila anaknya itu hanya mendiamkan diri.
Tengku Hafiy menarik nafas. “Izzul call just now.”
Spontan semua mata teralih pada lelaki itu. Tiada suara yang keluar. Hanya pandangan menggantikan bicara bahawa semua yang ada di situ memang menantikan jawapan dari mulutnya. Cuma Tengku Harrys sahaja yang tidak senang duduk. Tidak berkalih matanya dari menatap pinggan di hadapan. Jantungnya dirasakan berdegup laju saat ini. 
“Izzul sekeluarga kirim salam. Dia cakap keluarganya terima pinangan tu.”
Semua yang ada di situ bagaikan terkaku. Seakan tidak mempercayai berita yang baru disampaikan oleh Tengku Hafiy.
“Betul ke ni, Hafiy? Kamu jangan bergurau!”
“Betul, ma. Itu yang Izzul bagitahu Hafiy tadi.”
Serta-merta ucapan syukur terlahir dari mulut setiap ahli keluarga Tengku Haiyan.
“Alhamdulillah, bang. Termakbul jugak hajat saya!” ucap Tengku Dafina sambil mengenggam erat tangan Tengku Haiyan bersama airmata kegembiraan.
“Berkat usaha dan kesabaran kita. Allah dengar doa kita, Fina.”
“Nampaknya tak lama lagi Reen dapat kakak ipar barulah ya, ma. Tak adalah nak dengar lagi mama membebel risau dengan anak bujang mama yang sorang tu!” seloroh Tengku Hazreen lantas mengundang tawa mereka.
Di kala seluruh ahli keluarga itu menerima berita tersebut dengan rasa teruja, Tengku Harrys hanya kaku tidak bersuara. Masih tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Melihat reaksi keluarganya ketika ini masih belum cukup untuk meyakinkannya.
‘Dia terima? Atau aku salah dengar?’




Tengku Harrys termangu. Lantas dia mencari wajah Tengku Hafiy. Ditenung muka abangnya itu menagih penjelasan sekali lagi. Bagaikan mengerti, Tengku Hafiy turut menoleh. Lama pandangan mereka bertemu. Sehinggalah akhirnya lelaki itu menganggukkan kepala sebagai memberitahu bahawa lamaran keluarga mereka menyunting Irish untuk dirinya telah pun diterima. Dan ketika itu satu perasaan aneh menyelinap masuk ke dalam jiwanya perlahan-lahan.  

**********

SEKELIP mata kediaman Encik Izzuddin kembali sunyi setelah dua hari riuh suasananya. Baru sekejap anak menantu serta cucu-cucunya beredar pulang ke rumah masing-masing. Walaupun siang tadi keadaan dalam rumah sedikit tegang lantaran perbincangan tentang hal peminangan tersebut, namun malam ini semuanya sudah kembali seperti sedia kala. Masing-masing juga sudah mampu tersenyum dan bergelak ketawa.
Irish melabuhkan duduk di meja kerjanya. Ahli keluarganya yang lain juga sudah berlalu ke bilik tidur waktu dia berbuat perkara yang sama. Ikutkan hati mahu saja dia merebahkan tubuh letihnya ke katil memandangkan hari sudah semakin larut. Namun niat itu lansung terbatal bila teringatkan kerja pejabat yang harus disiapkan memandangkan esok ia perlu diserahkan pada Encik Naufal. Suis komputer riba dihidupkan sebelum dia mula melakukan kerja bertemankan lagu-lagu yang dimainkan oleh komputer ribanya. Sedang gadis itu asyik menulis sesuatu di atas kertas, tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi dari tetingkap messenger.

Nazmi Jauhari :  Assalamualaikum.. Hai, girl! What are you doing?
           
Irish tersenyum sebaik membaca mesej itu. ‘Dia ni tahu-tahu je kan aku tengah mood sedih sekarang.’ Jari-jemari Irish terus menekan papan kekunci untuk membalas.
  
Irish Izz :  Waalaikumussalam.. Hai Nazmi. Tengah siapkan kerja sikit.. How are you?
Nazmi Jauhari :   I’m fine.. How about you there?
Irish Izz :  Baik, Alhamdulillah.. Apa cerita muncul tiba-tiba ni? Sejak balik Brunei lupa lansung kat saya, ya.. Mentang-mentang dapat jumpa dengan kekasih hati dia..
Nazmi Jauhari :  Sorry la, Irish.. Saya inda pernah lupa awak.. Cuma sibuk sedikit di sini.. Lepas seminggu balik Brunei, terus start kerja..
Irish Izz :  Hmm?? Awak dah kerja? Kat mana? Bukan cakap nak rehat dulu ke?              
Nazmi Jauhari :  Sepatutnya macam tulah. Tapi papa saya dah suruh masuk awal..
Irish Izz :   Papa awak suruh? Are you working with him?
Nazmi Jauhari :   Yes! With his company..
Irish Izz :   Really? Awak tak pernah cerita dengan saya pun!
Nazmi Jauhari :  Sorry.. Bukan saya tak nak cerita.. Tapi tak berkesempatan nak cerita..
Irish Izz :  So, saya berkawan dengan anak big boss la ni?? Tak sangka, ya!
Nazmi Jauhari :   Inda la.. Yang boss tu papa saya.. Saya satu apa pun inda ada..
Irish Izz :  What type of business?
Nazmi Jauhari :   Construction..
Irish Izz :  Hah?? Awak belajar shipping engineering tapi sekarang kerja dalam construction industry? Biar betul awak ni!
Nazmi Jauhari :  Nak buat macam mana, Irish.. No choice.. Saya belajar apa yang saya minat.. Tapi kehendak keluarga juga saya tak boleh nak ketepikan..

Seketika, ingatan Irish melayang. ‘Itu juga yang terpaksa aku lakukan, Nazmi. Berkorban
untuk orang-orang yang aku sayang. Dan demi melihat senyuman di bibir insan-insan yang selama ini terlalu baik padaku. Biarpun pedih hati sendiri.’      

Nazmi Jauhari :   Irish, are you still there?
Irish Izz :  Ya.. Macam tu boleh la saya minta kerja dengan awak kalau satu hari nanti saya nak beralih angin ke sana..  
Nazmi Jauhari :  No problem, dear! Anytime I’m here for you.. Kedatanganmu ke sini sangat dialu-alukan.. Can’t wait to see you in live!
Irish Izz :   Insya-ALLAH, Nazmi.. Jika diizinkan.. So, how’s your life now? Bila nak kahwin?
Nazmi Jauhari :  Daring betul soalan awak! But yes! I am getting marry on next month..
Irish Izz :   Hey, saya bergurau jelah.. Jangan la ambil hati sangat..
Nazmi Jauhari : No.. I’m serious, Irish.. Memang saya akan kahwin bulan depan..
Irish Izz :  Whaattttt??!
Nazmi Jauhari :  Yes! You have to believe it! Tak ada merisik, tak ada tunang, terus nikah.. Everything keluarga saya dah aturkan dengan baik.. Lagipun bukan dengan orang lain.. Buah hati saya juga..
Irish Izz :  Alhamdulillah.. Sekurang-kurangnya awak tetap kahwin dengan wanita yang awak cinta.. Apapun, saya ucapkan tahniah walaupun saya masih terkejut sebenarnya..
Nazmi Jauhari :   Thanks, Rish.. How about you? Dah jumpa?
             
Irish terdiam. Pertanyaan itu membuatkan dia resah. Perlukah aku beritahu Nazmi? Lama dia memikirkan sama ada ingin berterus-terang tentang perkara itu ataupun tidak. Akhirnya jari Irish kembali menaip dengan perlahan.
            .
Irish Izz :   Belum lagi, Nazmi.. Belum jumpa sesiapa..
Nazmi Jauhari :  Saya ingat awak pun akan bagi saya kejutan malam ni.. Tapi, tak apa.. Insya-ALLAH jodoh awak pasti akan datang satu hari nanti.. You know what, Irish? Kalau la saya masih single sekarang, dah tentu saya suruh parents saya datang sana pinang awak..
Irish Izz :   Ishh! Jangan merepek la!
Nazmi Jauhari :  Inda la.. Siapa yang tak nak kahwin dengan orang cantik macam awak.. Orang
 gila pun belum tentu nak tolak!

Kata-kata Nazmi membuatkan Irish tergelak. Ada sahaja modal lelaki itu untuk membuatnya ketawa. Hingga dia terlupa kesedihan yang bersarang di hatinya. Dan perbualan mereka malam itu menjadi semakin rancak. Walaupun malam sudah merangkak ke pagi, namun Nazmi tetap setia menemani Irish menghabiskan kerja-kerjanya. Hanya pada pukul 1.00 pagi Irish selesai menyiapkan tugas. Meja yang agak berselerak dengan fail-fail kerja dikemaskan sebelum dia melangkah ke katil. Suis lampu ditutup lalu Irish merebahkan diri di atas tilam. Matanya yang sudah sedikit kuyu turut dipejamkan.
            Ding...
            Bunyi itu membuatkan mata Irish celik kembali. Bunyi dari telefon bimbit yang menandakan ada mesej masuk. Segera dicapai telefon yang berada di atas meja sisi katil. Bimbang sekiranya ada hal penting atau kecemasan sedang berlaku. Mesej tersebut dibuka.

Thanks.
           
Hanya itu ayat yang tertera di skrin telefon. Irish melihat nombor si pengirim. Bukan dari nombor yang berada dalam senarai simpanannya. Dahi gadis itu berkerut memikirkan siapa gerangan yang menghantar mesej tersebut waktu-waktu begini. Tangan Irish menari-nari di atas skrin sesentuh telefonnya menaip sesuatu sebelum menekan punat send.
           
Siapa ya?
           
Beberapa ketika mesejnya berbalas. Pantas dia membuka mesej tersebut.
           
Have a nice dream. Assalamualaikum.

            Dahi Irish berkerut sekali lagi membaca mesej yang baru diterimanya. ‘Ishh! Siapa ni?’ gadis itu seakan tidak berpuas hati. Terus jarinya ingin membalas kembali mesej tersebut. Namun pergerakannya tiba-tiba terhenti.
            “Kalau aku layan nanti makin menjadi-jadi pulak. Nak balas ke tak nak, ya?” Irish berkira-kira di dalam hati. Lama dia termenung memandang syiling. 
“Hmm, biar jelah.”
Telefon akhirnya diletakkan semula sebelum dia menarik selimut menutupi seluruh tubuh. Matanya dipejamkan kembali, cuba untuk melupakan siapa pengirim yang menghantar mesej-mesej itu lewat malam begini.

BAB 33 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)







J
AM melewati angka 11.00 pagi sewaktu Irish tiba di halaman rumah Athirah. Suasana di rumah itu kelihatan agak sibuk hari ini. Dengan langkah yang perlahan Irish masuk ke dalam sebelum mencari kelibat seseorang yang dikenalinya.
“Assalamualaikum, makcik.”
“Waalaikumussalam. Eh, Irish! Laaa... tak perasan makcik. Bila sampai?” soal Puan Nafhah, ibu kepada Athirah.
“Baru je tadi.”
“Oh, ya ke? Maaflah, Rish. Makcik sibuk sangat sampai tak perasan Irish datang.”
“Tak apa, makcik. Irish faham. Ira dalam bilik ke?”
“Ha’ah, ada dalam bilik tu. Tengah bersiap. Pergilah masuk jumpa dia, ya. Nanti dah siap semua boleh kita makan sama-sama.”
“Iyalah, makcik. Saya jumpa Ira dulu,” pamit Irish seraya menuju ke kamar rakannya. Beberapa kali juga Athirah pernah membawanya ke sini. Jadi tidaklah dia berasa kekok dengan keluarga serta persekitaran rumah ini. Melangkah masuk ke bilik Athirah, dia melihat gadis itu sedang sibuk didandan oleh seorang jurumekap wanita. Irish membiarkan Athirah untuk bersiap terlebih dahulu sementara dia duduk bersimpuh di satu sudut bilik tersebut sambil melihat hantaran-hantaran yang sudah siap elok terletak di atas dulang.
Hampir satu jam, akhirnya Athirah telah sempurna dirias. Gadis itu membelek-belek dirinya di hadapan cermin tanpa menyedari Irish di belakang sedang memerhatikannya. Hinggalah dia ternampak bayangan Irish di dalam cermin. Serentak itu dia berpaling.
“Irish!” sedikit menjerit gadis itu sebaik terpandangkan Irish. Pantas dia mendapatkan rakannya itu lalu dipeluk erat. “Hey! Sejak bila kau duduk kat sini, hah? Aku tak nampak pun kau masuk!”
“Adalah dalam satu jam.”
“Hah! Satu jam? Kau biar betul? Kenapa tak cakap dengan aku?!”
“Sshhh! Perlahanlah sikit suara kau tu. Satu rumah dengar nanti. Saja. Tak nak kacau kau tengah bersiap. It’s okaylah. Seronok tengok kau kena touch up tadi,” balas Irish sambil melihat Athirah dari atas ke bawah. Ternyata penampilan gadis itu sedikit berlainan dari yang biasa dia lihat. Keayuannya jelas terserlah dengan busana pertunangan berwarna merah jambu serta solekan yang menaikkan lagi seri wajahnya.
“Yang kau tengok aku atas bawah ni kenapa?”
“Cantik sangat kau hari ni!”
“Ya ke?”
“Iya. Sungguh!”
“Nak bodeklah tu!” balas Athirah. Namum dia tahu pujian dari rakannya itu memang benar-benar ikhlas. “Tapi kan, kalau kau yang bertunang hari ni mesti lagi cantik!”
“Hmm. Dah mulalah tu!”
“Apa? Aku cuma cakap jelah!” Athirah kemudian menarik tangan Irish untuk duduk di katil bersamanya. “Pukul berapa kau bertolak ke sini tadi?”
“Pukul 9.00 tadi aku dah gerak dari rumah.”
Drive sorang?”
“Yelah. Kau ingat aku bawa siapa?”
“Kenapa tak ajak keluarga kau datang sekali? Kan aku dah pesan hari tu.”
“Ada kenduri kahwin saudara aku kat sana. So, diorang tak dapat nak ikut. Cuma sampaikan salam pada kau dan ucap tahniah.”
Athirah menjawab kiriman salam tersebut. “Tulah kau!” tiba-tiba saja dia memukul bahu Irish, membuatkan rakannya itu menggosok-gosok bahunya yang terasa sedikit perit.
“Aduh! Kau ni kenapa, Ira?”
“Kaulah! Kan ke dari dulu aku dah suruh cari boyfriend. Ha, tak adalah kau pergi mana-mana sorang macam ni!”
Irish merenung Athirah. Tajam renungannya hinggakan Athirah sedikit cuak.
“Eh, Irish! Kau okay ke tak ni? Asal tenung aku macam tu? Aku salah cakap ke?”
Serta-merta Irish mengalihkan pandangannya. Satu keluhan berat dilepaskan. Kemelut yang sedang dihadapi tika ini kembali menerjah. ‘Perlu ke aku beritahu Athirah?’ detik hatinya.
“Hey! Dah termenung pulak dia. Kau ni kenapa, Rish?” tegur Athirah lagi melihatkan Irish hanya berdiam diri tanpa jawapan. Hatinya mula risau. “Irish. Cakaplah...,”
“Ada orang masuk meminang aku.”
“Hah??!”
“Ishh, kau ni. Slowlah sikit!” Irish memarahi Athirah sambil menekup mulut gadis itu. Mujur tiada sesiapa di dalam bilik ini. Jurumekap tadi juga sudah lama beredar keluar.
“Siapa yang masuk meminang kau? Bila? So, macam mana? Kau terima tak?”
“Banyak betul soalan kau. Mana satu aku nak jawab?”
Opss, sorry!“ Athirah lansung menampar-nampar bibirnya. “Okay, bagitahu aku. Siapa yang pinang kau ni? Tak ada boyfriend, tak ada skandal. Tiba-tiba je. Apa cerita?!”
“Bukan pilihan aku.”
“Irish! Kau biar betul?!”
“Kan? Betullah tu.”
“Kalau bukan pilihan kau, pilihan siapa? Takkan orang tua kau?”
“Aku dengan keluarga aku tak tahu-menahu lansung. Keluarga pihak lelaki yang tiba-tiba hantar rombongan tu,” jelas Irish, menjadikan Athirah semakin hairan.
“Siapa lelaki tu?”
Irish tidak terus menjawab. Dia memandang sekilas rakannya dan kemudian tertunduk. Berat dirasakan mulutnya untuk menyebut nama itu.
“Irish! Siapa?” Athirah menunjal bahu Irish dengan jari telujuknya.
“Tengku Harrys.”
What??!” sekali lagi Athirah menjerit. Namun kali ini Irish hanya membiarkannya. Malas dia mahu menghalang lagi.
“Tak payahlah nak terkejut sangat, Ira.”
“Gila aku tak terkejut! Kau main-main je kan, Rish?”
“Muka aku ada nampak main-main ke?”
Athirah terkedu. “Bila?”
Last weekend.”
“Kau tak pernah cakap pun kau bercinta dengan dia?”
“Aku tak pernah bercinta dengan dia punlah!”
“Habis tu, takkan tiba-tiba je dia datang meminang kau? Mustahillah!”
“Bukan dia yang hantarlah. Kan aku dah cakap tadi. Keluarga dia yang hantar.”
“Maknanya, dia pun tak tahu yang keluarga dia datang meminang kau?”
Irish menjungkitkan bahunya. “Entah. Aku pun tak tahu.”
“Ishh, ada main tak tahu pulak korang ni!” Athirah termangu. Tidak menyangka dengan berita yang dibawa Irish ini. “Habis, macam mana? Keluarga kau terima tak?”
“Ayah aku minta tempoh seminggu untuk bincang.”
“Maknanya sampai esoklah?”
Irish mengangguk perlahan     .
“Hmm... baguslah tu. Kau dengan boss kau pun tak pernah bercinta. Mestilah ayah kau tak terus setuju. So, apa keputusan kau?”
“Aku belum decide apa-apa lagi. Entahlah. Aku tak boleh nak fikir.”
Seketika suasana menjadi sepi. Irish melayani perasaannya sendiri. Begitu juga dengan Athirah yang nyata masih terkejut dengan berita tersebut.
“Kalau kau jadi aku, kau terima tak?” tiba-tiba sahaja soalan itu terlontar dari mulut Irish.
“Aku? Dah tentulah terima! Siapa yang tak nak lelaki handsome, tinggi, kaya macam tu. Tapi kan...,” kata-kata Athirah terhenti. Keningnya berkerut-kerut seperti memikirkan sesuatu. “... kalau ada semua tu pun tak boleh jugak kalau tak kenal Tengku Harrys tu macam mana. Buatnya ramai perempuan keliling pinggang dia, naya jugak tu! Lagi-lagi dia dah duduk kat tempat orang putih tu bertahun-tahun!”
Irish terdiam. Tiba-tiba dia teringatkan Tengku Melissa. Terbayang-bayang diingatannya bagaimana perlakuan manja gadis itu terhadap Tengku Harrys. Itu di depan matanya. Di belakang? Hati Irish semakin berbelah-bahagi untuk membuat keputusan. Esok pagi pasti ayahnya akan meminta jawapan untuk diberikan pada keluarga lelaki itu.
“Irish...,” Athirah menyentuh lembut bahu gadis itu. “Sabarlah. Aku tahu cakap guna mulut takkan sama dengan bahu yang memikul. Apa yang aku boleh kata sekarang, kau fikirlah baik-baik dan berdoa agar diberi petunjuk-Nya. Ini tentang masa depan kau. Apa saja keputusan yang kau buat, aku akan sokong sepenuhnya. Sebagai kawan baik, aku gembira sangat dengar berita yang kau dah dipinang orang. Tapi dalam masa yang sama aku tak nak kau dikecewakan lelaki yang kau sendiri tak pernah cinta. Kalau betul ini memang jodoh kau, Insya-ALLAH, semuanya akan berjalan lancar. Buat keputusan ikut kata hati kau. No need to worry, okay?
Irish tersenyum mendengar bait-bait bicara Athirah. Tangan gadis itu diambil lalu digenggamnya erat. “Thanks, Ira. Thanks sebab kau sentiasa ada waktu aku perlukan. Insya-ALLAH, aku akan fikir baik-baik nasihat kau. Sayang jugak kau kat aku, ya?”
“Mahunya tak! Kau ingat aku boleh duduk diam jelah kalau sesuatu tak baik jadi kat kau? Selama ni kau tak tertarik lansung pun dengan mana-mana lelaki. Tub-tub, orang datang meminang kau. Orang yang kau tak pernah bercinta pulak tu. Tak sangka betul!”
‘Bukan kau je yang tak sangka, Ira. Aku seribu kali tak sangka lelaki yang selama ni aku nak elak, makin hampir pulak dengan aku. Hmmh!’
“Eh, dahlah! Tak payah pening-pening kepala sangat fikir benda tu. Ikut je apa kata hati kau. Tak nak muram-muram macam ni. Hari ni majlis aku tau. Happy sikit!” seloroh Athirah seraya memegang bibir Irish agar gadis itu mempamerkan senyum di wajah. Dan serentak ketawa mereka berderai di dalam kamar yang sudah terhias indah nan rapi itu.

**********

LANGIT malam ini kelihatan kelam sahaja di matanya. Tidak tahu ke mana perginya bintang-bintang yang selalu bercahaya menyinari. Menyorokkah kalian? Yang kelihatan hanyalah sinaran bulan yang setia memancarkan dirinya di dalam kegelapan malam.
‘Kalaulah aku pun boleh menyorok macam bintang-bintang tu, dah tentu-tentu aku akan buat sekarang. Tak payah lagi aku nak menghadap semua orang untuk bagitahu keputusan tu.’
Irish melepas keluhan. Sudah agak lama dia duduk di atas buaian di halaman rumahnya ini. Sengaja dia mengambil angin malam di sini untuk menenangkan fikiran yang sedikit serabut. Ahli keluarganya yang lain mungkin sedang beristirehat di dalam setelah menikmati makan malam usai solat Isyak tadi. Jam di telefon bimbitnya dikerling. Hampir ke pukul 11.00 malam. Matanya sudah sedikit memberat. Badannya juga agak keletihan sesudah seharian memandu ke Melaka dan berpatah balik semula ke sini siang tadi bagi menghadiri majlis pertunangan Athirah. Dan sekarang adalah waktu untuk dia berehat dari segala aktiviti. Termasuk memikirkan hal yang satu itu. Namun baru saja dia ingin bangun, satu suara tiba-tiba menyapanya dari belakang.
“Irish. Kat sini rupanya dia.”
“Umi.”
 Kelihatan Puan Qarina sedang berjalan ke arahnya, diikuti Encik Izzuddin di belakang. Kedua orang tuanya itu kemudian sama-sama melabuhkan duduk mereka di buaian tersebut.
“Termenung jauh nampak. Fikir apa?”
“Tak ada apalah, umi. Saja ambil angin kat luar ni.”
“Ambil angin ke atau fikirkan sesuatu?” duga Puan Qarina.
Irish terdiam. Tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan. Serentak itu dadanya berdebar-debar. Seakan dapat mengagak tujuan orang tuanya mencari dia di sini.
“Irish dah habis fikir?” kali ini Encik Izzuddin pula bersuara.
Irish membisu lagi. Hatinya bagai dipalu dengan pertanyaan itu. Niat untuk merehatkan diri dari terus memikirkan hal itu juga serta-merta mati. Kepalanya ditundukkan sambil melihat jari-jemari bermain di atas skrin telefon.
“Irish tahu kan esok kita kena bagi jawapan pada keluarga Tengku?” Encik Izzuddin sekali lagi bertanya. Kali ini nadanya sedikit tegas.
“Tahu, ayah.”
“Jadi, apa keputusan Irish?”
“Irish tak tahu.”
Suara Irish sudah tersekat-sekat. Dadanya dirasakan berat. Sungguh, dia tidak tahu apa keputusan yang harus dipilih. Dirinya benar-benar tersepit di antara kisah semalam dan juga masa depannya. Sesaat, terlihat titisan-titisan air jernih mula turun di pipi gadis itu. Dan keadaan itu membuatkan Puan Qarina mendapatkan anaknya. Tubuh itu didakap erat. Dia mengerti apa yang sedang dirasai oleh Irish. Bahkan, perkara itulah yang amat dirisaukannya selama ini.
“Irish jangan menangis, sayang. Kalau Irish tak nak terima, cakap je. Kami semua tak paksa. Pandailah kami bagitahu Tengku sekeluarga nanti.” Puan Qarina cuba memujuk Irish. Namun tangisan gadis itu tidak juga reda. Dia memandang suaminya yang sedang memerhati dengan harapan agar lelaki itu berkata sesuatu.
“Betul cakap umi tu. Kalau Irish berat nak terima pinangan tu, terus-terang jelah. Tak payah nak jaga hati orang lain sedangkan hati Irish sendiri terseksa. Lagipun, kita tak berjanji apa-apa dengan mereka,” kali ini suara Encik Izzuddin sudah kedengaran lembut.
“Ha, dengar tu. Tak ada sesiapa yang paksa Irish. Jadi tak payah takut nak beritahu, ya.”
Mendengarkan kata-kata kedua orang tuanya, barulah kali ini Irish mengangkat muka dari dada Puan Qarina. Airmatanya dikesat perlahan. Kemudia dia memandang wajah ayah serta uminya satu persatu. “Maafkan Irish, ayah, umi. Irish belum buat keputusan lagi. Irish tak boleh nak fikir dengan baik tentang ni. Irish tahu Irish dah banyak susahkan ayah, umi dan semua orang selama ni. Tapi Irish buntu. Dan dalam masa yang sama Irish takut nak fikirkan...,” bicara Irish terhenti di situ dek sebak yang bertamu semula.
“Dahlah tu. Jangan menangis lagi,” pinta Puan Qarina sambil mengusap bahu gadis itu.
“Lepas ni sebelum tidur, Irish buat solat Istikharah. Mohon pada Dia. Mudah-mudahan esok pagi bila bangun tidur, Irish dapat petunjuk dari-Nya. Dah, jangan menangis lagi. Cukuplah air mata yang Irish dah bazirkan dulu. Sekarang bukan masanya untuk semua tu lagi. Fikir masa depan Irish baik-baik. Pahit mana sekalipun, semuanya kena ditelan. Irish pun manusia biasa. Berhak untuk hidup bahagia. Jangan kerana hal lalu, Irish nak menghukum diri sendiri. Ingat, Allah swt sentiasa ada bersama kita. Dan Irish juga kena ingat. Irish masih ada ayah, umi dan keluarga yang masih sayangkan Irish. Apa yang akan jadi pada Irish sekalipun, kami masih ada lagi untuk jaga Irish sampai bila-bila.”
Entah mengapa Irish merasakan sedikit kekuatan sebaik mendengar bait-bait ayat dari  mulut ayahnya. Dia patut bersyukur kerana masih punya keluarga yang begitu memahami di saat dia rapuh ketika ini. Malah semenjak dari dulu lagi mereka tidak pernah pergi walau sedetik pun dari sisinya. Mengenangkan itu, airmatanya jatuh lagi.
“Dah... tak payah menangis lagi. Nak menangis kenapa. Macam nak kena paksa kahwin pulak budak ni!” seloroh Encik Izzudddin cuba menceriakan sedikit suasana. Dan usahanya berhasil apabila terlihat tawa kecil terbit dari bibir anak isterinya. Cukuplah walau sekadar dapat menutupi sedikit kepedihan yang ditanggung.    
“Malam dah ni. Jom, masuk. Esok pagi bagitahu ayah apa keputusan Irish,” pesan Encik Izzuddin sebelum mereka tiga beranak berjalan masuk meninggalkan halaman rumah.

**********

SIRAMAN air wuduk diangkat sebaik-baiknya. Selesai itu, dia mengenakan telekung lalu dihamparkan helaian sejadah di atas permaidani. Lantas diri diabdikan pada yang Maha Esa, memohon agar diberikan sesuatu petunjuk yang baik untuk dilema yang sedang dihadapinya ketika ini. Selesai menunaikan solat Istikharah, gadis itu berwirid dan berzikir seketika di atas tikar sembahyang sebelum menadah tangan memohon doa.
“Ya Allah ya Tuhanku. Sesungguhnya hamba-Mu yang hina ini memohon petunjuk dari-Mu. Daku memohon petunjuk-Mu untuk membuat pilihan yang baik menurut Pengetahuan-Mu, aku memohon kepastian dengan Kudrat-Mu dan aku memohon dengan Kurniaan-Mu yang amat banyak kerana sesungguhnya Dikau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak tahu. Dan Engkaulah jua yang maha mengetahui segala sesuatu yang tersembunyi. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa ini adalah jodoh yang baik bagiku, agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku, buat masa kini dan masa akan datang, maka takdirkanlah ia kepadaku, permudahkannya untukku dan berkatkan aku padanya. Namun jika dalam Pengetahuan-Mu jodoh ini bukan yang baik untukku, buat masa kini dan masa akan datang, maka hindarkanlah ia daripadaku, elakkanlah aku daripadanya, tentukanlah kebaikan untukku di mana saja aku berada dan redhakanlah aku dengannya. Sesungguhnya Engkau berkuasa di atas segala sesuatu. Amin Ya Rabbal Alamin.”




            Irish mengaminkan doanya. Terasa sedikit tenang jiwanya kala ini. Habis itu dia termenung seketika. Menghayati ketenangan yang begitu mendamaikan perasaan. Kemudian gadis itu menoleh ke sisi katil. Memandang ke arah Kitab Suci Al-Quran yang terletak di atas meja di situ. Irish bangun mengambil naskhah tersebut dan duduk semula di atas sejadah. Diselak helaian yang ditandanya sebelum suaranya mula mengalunkan ayat-ayat suci itu.

            Usai mengaji, Irish merebahkan dirinya di atas tikar sejadah. Niatnya ingin melelapkan mata seketika di atas hamparan itu. Sehingga lama-kelamaan, dia terus terlena bersama telekung yang masih tersarung di tubuh.