Tuesday, July 26, 2016

BAB 10 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)






S

UDAH seminggu lebih Irish bekerja di Haiyan Holdings. Banyak perkara yang telah dipelajarinya di situ. Dari pegawai atasan sehinggalah pekerja bawahan, rata-rata mereka semua tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu mengenai syarikat dengannya. Malah adakalanya dengan office boy dan makcik-makcik yang membersihkan pejabat juga Irish tidak segan silu untuk bertanya sekiranya keadaan memerlukan dia untuk berbuat demikian. Orang cakap kalau segan bertanya, jadilah seperti katak di bawah tempurung.
            Tuk! Tuk! Tuk!
            Ketukan di muka pintu mengejutkan Irish yang ketika itu sedang khusyuk menghadap skrin komputer di biliknya.
“Masuk.”
“Cik Irish!” kelihatan Insyirah, pembantunya melangkah masuk dengan beberapa fail di tangan. “Ini dia annual report syarikat untuk lima tahun yang Cik Irish minta tadi.”
            “Oh! Terima kasih, Insyirah. Nampak gayanya saya kena hadap jugaklah annual report ni untuk fahamkan yang lain-lain ni semua.” Irish menunjukkan mejanya yang dipenuhi dengan fail-fail syarikat. Semuanya perlu diteliti. Minggu-minggu terawal begini memang inilah yang akan ditelaahnya memandangkan banyak lagi hal-hal syarikat yang dia perlu fahami dan ketahui. 
            “Tebal-tebal annual report ni, Cik Irish. Larat ke? Kalau sayalah, mahu pengsan macam ni!” Insyirah yang sudah duduk di kerusi berhadapan Irish menggeleng-gelengkan kepalanya. Gerun melihat fail-fail laporan tahunan itu yang setebal hampir lima inci setiap satunya.
“Saya dah biasa, In. Masa belajar dulu dah selalu kena analisis macam-macam annual report syarikat. Kalau tak, tak dapatlah nak analyze dan tahu financial dia macam mana.” 
“Hmm, sebab tulah saya takat jadi pembantu je boleh. Eh! Ni nanti lunch Cik Irish turun makan dengan kitorang macam biasa ke?” Insyirah bertanya. Memang semenjak hari pertama bekerja lagi gadis itu sudah keluar makan tengahari bersamanya dan rakan-rakan pejabat yang lain. Dia sendiri yang mempelawa memandangkan ketuanya itu tidak biasa lagi dengan tempat-tempat di sini. Tambahan pula Irish jenis yang tidak kisah untuk keluar makan dan bergaul dengan pekerja-pekerja bawahannya, walaupun dia boleh dikatakan seorang yang berpangkat juga di syarikat. Disebabkan itu dia dan rakan-rakannya yang lain amat menyenangi Irish.
            “Oh! Saya lupa nak bagitahu. Abang saya call tadi ajak temankan dia lunch hari ni. Tapi hari ni je. Esok saya keluar dengan awak dan yang lain-lain macam biasa. Tak apa, kan?” beritahu Irish. Memang Izzul menghubunginya tadi mengajak untuk makan tengah hari bersama memandangkan mereka belum berkesempatan berbuat demikian sejak dia mula bekerja di sini.
            “Tak ada hal lah, Cik Irish! Kitorang okay je. Kalau macam tu, saya keluar dululah.”
Okay. Pesan kat diorang saya minta maaf sebab tak dapat join hari ni, ya.”
 Insyirah menunjukkan isyarat ibu jari di muka pintu. “Enjoy your lunch!”

**********

TENGKU HAFIY melangkah keluar dari lif sebaik sahaja pintu terbuka. Niat di hati ingin pulang ke villa untuk makan tengah hari memandangkan petang ini dia tiada sebarang mesyuarat atau temujanji dengan klien syarikat. Sudah lama juga dia tidak mempunyai kesempatan begini disebabkan jadual kerja yang agak padat. Setibanya di ruang legar syarikat, Tengku Hafiy terpandangkan kelibat seorang gadis di sofa yang disediakan di ruangan itu. Sepertinya sedang menunggu seseorang.
‘Tunggu siapa pulak dia kat situ? Atau ada masalah?’ desisnya. Tengku Hafiy tidak jadi meneruskan langkah. Sebaliknya kaki dihayun menghampiri gadis tersebut.
            “Cik Irish. Assalamualaikum.”
            Irish yang sedang duduk membelakangi Tengku Hafiy, sedikit kaget. Lantas dia bangun dan berpaling ke belakang. Berderau darahnya melihat wajah itu yang tiba-tiba sahaja muncul. “Waalaikumussalam. Tengku!”
            “Cik Irish buat apa kat sini. Tak pergi lunch? Atau tunggu seseorang?”
            “Ha, ya! Saya tengah tunggu orang.”
            “Siapa?”
            “A...,”
            “Irish!” belum sempat Irish ingin membuka mulut, kedengaran satu suara memanggil namanya. Serentak dia dan Tengku Hafiy berpaling.
            “Izzul!”
            “Eh, Hafiy!”
            “Hey, Zul! Kau buat apa kat sini? Meeting ke?” tanya Tengku Hafiy sambil berjabat tangan dan berpelukan dengan rakannya itu.
            “Tak adalah. Aku nak jemput Irish. Nak pergi lunch.” 
            “What??! Kau dengan Irish? Lunch? Eh, kau biar betul Zul! Jangan nak buat hal. Tahu dek Fiya, nahas kau!”
            Sebaik mendengar kata-kata tersebut, spontan Izzul tergelak besar. Dia yakin lelaki itu masih tidak tahu-menahu tentang perkara yang sebenar. Irish yang sedari tadi hanya memerhati, mula berasa kasihan melihat majikannya terpinga-pinga ditertawakan sebegitu.
“Along, dah-dahlah ketawa tu!” tingkah Irish sambil memukul lembut lengan Izzul, berharap agar alongnya itu berhenti ketawa. 
            “Hah?! Along??” sekali lagi Tengku Hafiy terkejut. Matanya dialihkan pada Izzul dan kemudian Irish silih berganti meminta penjelasan.
            “Ha, betullah tu. Along.”
            “Means, kau dengan Irish...,”
“Irish ni adik akulah. Kan aku ada cakap nak tolong carikan kerja untuk dia hari tu. Then kau suruh bagi resume kat secretary kau, kan? Adik aku yang nilah!” terang Izzul bersama tawanya yang masih bersisa. Geli hati melihat tingkah rakannya itu.
            “Ya Allah!” Tengku Hafiy menepuk dahi. “Baru aku ingat! Aku tercari-cari jugaklah yang mana satu adik kau tu. Tak sangka pulak Irish ni rupanya! Serius, aku lupa lansung!”
            “Ha, tulah! Lain kali serkap jarang lagi. Nasib kau kawan aku. Kalau tak...,” Izzul memaut leher Tengku Hafiy sambil menunjukkan buku limanya, membuatkan tawa rakannya itu pula yang berderai.
            “Sorrylah, bro! Mana aku nak tahu. Patutlah masa interview Irish hari tu aku asyik teringatkan kau je. Rupanya memang ada kena-mengena!”
            “That’s we called sibling’s connection!” ujar Izzul. Ketawa mereka terhambur lagi.
So, kau nak bawa adik kau pergi lunchlah ni?”
“Yup! Saja ajak dia teman hari ni. Alang-alang dah jumpa kau ni, jomlah sekali!”
“Tak apa ke?” Tengku Hafiy memandang Izzul dan kemudiannya Irish meminta kepastian. Takut pula jika dia akan mengganggu privacy dua beradik itu. 
“Alaa... jom jelah! Lagipun aku dah lama tak lepak makan-makan dengan kau.” Izzul terus sahaja menarik bahu rakannya itu untuk beredar sambil memanggil Irish di belakang  sebelum mereka bertiga melangkah keluar dari bangunan itu menuju ke tempat letak kereta.

**********

SEBUAH restoran masakan Italy menjadi pilihan mereka untuk menu makan tengahari hari itu. Sambil makan mereka berbual-bual, bercerita dan berkongsi perkembangan terkini diri masing-masing. Suara Tengku Hafiy dan Izzullah yang lebih banyak kedengaran berbanding Irish. Gadis itu hanya sesekali mulutnya berbicara apabila diajukan pertanyaan. Dia lebih gemar mendengar sambil menikmati hidangan sendiri. Ada ketika bila dia kebosanan, matanya meliar melihat sekeliling restoran yang sudah dipenuhi dengan pelanggan-pelanggan ketika itu.
            “Irish.” Tiba-tiba Izzul menyiku adiknya. Pantas Irish menoleh.
“Hmm?”
            “Dengar tak Hafiy tanya tu?”
“Tanya apa, ya?”
“Macam mana kerja dengan syarikat dia setakat ni? Okay ke?” Izzul mengulangi soalan yang ditanya Tengku Hafiy sebentar tadi.
            “Oh! Setakat ni, okay. Alhamdulillah.”
            “Tu je?”
“Hmm.”
Izzul menghela nafasnya. “Macam nilah adik aku, Fiy. Susah betul mulutnya nak bercakap. Lagi-lagi orang yang dia tak biasa. Sepuluh patah ditanya, setengah patah je dijawab. Kadang-kadang tak jawab lansung. So, kau kena faham-fahamlah kalau kat office dia memang tak banyak cakap. Tapi kau pastikan dia buat kerja. Kalau tak, report je kat aku!”
            “Along ni....” Sekali lagi Irish memukul lembut lengan Izzul.
            “Tak betul ke apa along cakap ni? Betul, kan?”
            “Dahlah, Zul. Kesian adik kau tu. Merah dah muka dia. Kau ni dari time belajar sampai sekarang tak berubah, kan? Suka menyakat orang. Dulu si Fiya. Sampai menangis kau kerjakan!”
Izzul tergelak mendengarkan Tengku Hafiy menyebut nama isterinya. Sememangnya Tengku Hafiy mengenali Safiya ketika mereka belajar di Universiti Putra Malaysia dulu. Cuma kursus yang diambil oleh Safiya sahaja berbeza dengan mereka berdua. Safiya dalam jurusan perakaunan sementara mereka di bidang kejuruteraan. Dan selepas mereka menamatkan Ijazah Sarjana Muda di UPM, dia dan Safiya mengambil keputusan untuk bekerja manakala Tengku Hafiy menyambung pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Oxford, England.
“Eh, kau bila nak kawin dengan Helena ni? Dah nak setahun kan korang bertunang?” tiba-tiba soalan itu dibangkitkan oleh Izzul.
“Belum lagi kut buat masa sekarang. Aku nak fokus pada syarikat dulu. Bila semua dah okay, bolehlah lansung. Lagipun aku tunggu adik aku yang sorang tu balik sini dulu.”
“Adik kau yang kat UK tu?”
“Yup!”
“Hmm... lama jugak dia dah merantau. Selama tu jugaklah aku tak pernah jumpa dia. Amacam dia sekarang? Makin handsome macam kau, ada?”
            “Handsome macam aku tu tak adalah. Sebab dia memang dah handsome dari aku sejak dulu. Sebab tulah sampai macam ni perempuan beratur nakkan dia. Dia je yang tak nak. Pelik aku!” tutur Tengku Hafiy sambil menunjukkan isyarat dengan tangannya.
            “Eleh! Kau pun dulu sampai macam ni hah perempuan beratur nak, kan? Kau tu je yang jual mahal!” Izzul membidas kembali kata-kata Tengku Hafiy dengan menunjukkan isyarat tangan yang sama pada rakannya itu.
            “Aku lain!”
            “Lain apanya, bro? See? Tak nak kalah jugak, kan!” 
            Dan kedua-duan tertawa bila menyedari tingkah mereka sudah seakan-akan seperti waktu belajar dahulu. Sering bergurau dan bertelingkah.
            “Hai! Ni kalau kat rumah kau ni Fiy, gerenti Mak Engku dah bising tengok aku dengan kau dah start gaduh. Hmm... lama dah aku tak ke sana. Apa khabar orang tua kau?”
            “Sihat, Alhamdulillah. Ha! Sebut pasal rumah aku. Sabtu minggu depan lepas Isya’ datanglah bawa Fiya dengan anak-anak kau sekali. Orang tua aku ada buat majlis kesyukuran sempena anniversary diorang. Mama aku memang dah pesan awal-awal suruh jemput kau. Dah lama sangat tak jumpa katanya. Rindulah tu dengan anak dan cucu-cucu angkat dia!”
            Izzul tergelak kecil. “InshaaAllah, kalau tak ada apa-apa nanti aku datang.”
            “Bawalah Irish ni datang sekali, Zul. Kut mama aku berkenan nak jadikan dia anak angkat macam abang dia jugak. Irish nanti jemput datang sekali, ya?” pinta Tengku Hafiy. Gelaran ‘Cik’ yang biasa digunakan apabila memanggil gadis itu juga sudah tidak kedengaran lagi selepas mengetahui gadis itu adalah adik kepada Izzul.
Irish yang sedari tadi hanya menjadi pemerhati, hanya tersenyum kecil. Bila melihat telatah alongnya dan Tengku Hafiy, spontan dia teringatkan Athirah. Begitulah mereka bila berjumpa. Ada saja yang dibahaskan. Tiba-tiba dia jadi rindu pula pada teman baiknya itu.
            “Dah nak pukul 2.00 ni. Jomlah gerak.” Izzul mengerling jam di tangan. Baru tersedar masa rehat hampir habis. Dia kemudian memanggil pelayan restoran untuk membawakan bil.   “Tak apa, Zul. Aku bayar.” Tengku Hafiy menawarkan diri.
            “Eh! Janganlah macam tu, Fiy. Aku yang ajak kau tadi.”
            “Tak apa. Aku ihklas nak belanja kau dengan adik kau.”
Izzul sudah tidak dapat berkata apa-apa bila melihatkan rakannya lebih pantas mengeluarkan wang lalu diserahkan kepada pelayan yang setia menunggu di situ.




**********

KERETA milik Izzul berhenti di hadapan bangunan Haiyan Holdings. Setelah makan tengah hari bersama tadi, dia singgah di syarikat itu sebentar untuk menghantar Irish dan Tengku Hafiy sebelum memandu pulang ke pejabatnya.
“Balik nanti kirim salam pada umi dah ayah semua.” Izzul sempat berpesan pada adiknya setelah mereka bertiga keluar dari kereta. Irish hanya mengangguk. Baru sahaja Izzul ingin berpaling, gadis itu memanggilnya semula. Izzul kembali menghadap adiknya. “Kenapa?”
Tanpa menjawab soalan itu, Irish menghulurkan tangan untuk bersalam.
Sorry, along lupa!” tingkah Izzul. Lantas huluran itu disambut sebelum kepala gadis itu dikucup seperti selalu. Entah mengapa setiap kali berbuat begitu, hatinya pasti sayu. Dihantar langkah adiknya masuk ke dalam bangunan pejabat bersama satu pandangan.
“Manja Irish dengan kau.”
Tengku Hafiy yang sedari tadi memerhati gelagat dua beradik itu, menegur rakannya yang tidak lepas-lepas dari memandang langkah Irish sehingga tubuh gadis itu menghilang.
“Biasalah. Adik perempuan bongsu.“
“Tak tahu pulak aku kau ada adik cun macam tu. Kalaulah aku belum bertunang, silap hari bulan aku boleh jadi adik ipar kau kut!” selamba sahaja Tengku Hafiy berkata sambil berpeluk tubuh dan bersandar pada kereta Izzul.
“Mulalah tu!”
Tengku Hafiy sudah tergelak-gelak. “Aku gurau jelah, bro!”
“Tahu.” Balas Izzul selamba. “Sorrylah kalau adik aku tu menyusahkan kau bila dia kerja kat sini. Sekarang dan nanti-nanti.”
 “Eh, tak adalah! Dia tak pernah susahkan sesiapa pun. Biasalah budak baru nak bekerja, banyak benda kena belajar. Macam kita jugak dulu-dulu. Lama-lama esok pandailah. Jangan risaulah, Zul. Adik kau tu pandai bawa diri. Sejak dari interview hari tu aku dah suka dengan cara dia.  Budak-budak office pun ramai yang senang dengan dia.”
Sedikit sebanyak penjelasan Tengku Hafiy itu melegakan hati Izzul.
“Kau tolonglah tengok-tengokkan adik aku tu kat sini, Fiy.”
“InshaaAllah, aku akan tengok-tengokkan dia. Kau jangan risau, okay!” Tengku Hafiy lantas memaut bahu Izzul di sebelah, seakan berjanji untuk terus meyakinkan rakannya itu. 


BAB 9 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)






L

ANGKAHNYA diatur penuh kemas memasuki bangunan besar itu. Ini kali kedua dia menjejakkan kaki ke Haiyan Holdings. Kali pertama lebih kurang tiga minggu yang lalu sewaktu menghadiri temuduga. Namun hari ini kakinya melangkah dengan penuh semangat untuk memulakan satu fasa baru dalam hidup demi membina kerjaya serta cita-cita di syarikat itu. Sama seperti sebelum ini, hatinya tetap berdebar-debar ketika memasuki ruang legar bangunan tersebut. Cuma debarannya kali ini agak berlainan memandangkan hari ini adalah hari pertama dia berkhidmat di sini.
‘Mampukah kau melaksanakan segala tugas yang akan dipertanggungjawabkan pada diri kau, Irish? Bukan calang-calang syarikat tempat kau akan bekerja ini.’ Hatinya berbisik risau. 
“Tak apa, Irish. Belum cuba belum tahu. InshaaAllah, kau boleh!” Irish menasihati diri-sendiri. Segera kakinya dihala ke meja penyambut tetamu. Ruang legar ketika itu sudah dipenuhi pekerja-pekerja Haiyan Holdings yang mula memasuki pejabat masing-masing.
“Assalamualaikum. Selamat pagi,” sapa Irish pada gadis yang berada di meja penyambut tetamu itu dengan lembut.
 “Waalaikumussalam. Selamat pagi. Ya cik, boleh saya bantu?”
“Saya datang untuk lapor diri hari ni.”
            “Oh, cik nak lapor diri? Tunggu sebentar, ya.” Bicara gadis itu sambil tunduk memeriksa fail yang berada di hadapannya. Sesaat kemudian, dia mendongak semula memandang Irish. “Cik Irish Qiara binti Izzuddin?”
            “Ya, saya.”
“Cik Irish boleh ikut saya. Silakan.”
Gadis itu bangun dan meminta Irish mengikutinya sambil di tangan memegang erat sebuah fail. Hanya beberapa langkah mereka berjalan, Irish memanggil gadis tersebut.
            “Err, maaf cik...,”
            “Panggil je saya Zaryn, Cik Irish.” Gadis itu memperkenalkan diri. Tampak mesra dengan senyuman di bibir, membuatkan Irish berani untuk memulakan perbualan.
“Zaryn, tak ramai ke yang lapor diri hari ni?”
“Ada tiga orang je yang perlu lapor diri hari ni. Termasuk Cik Irish.”
“Patutlah senang je Zaryn dapat detect saya.”
“Sudah semestinya! Lagipun, Cik Irish sorang je perempuan. Yang lagi dua orang tu lelaki. So bila Cik Irish cakap nak lapor diri tadi, saya cuma periksa nama je.”
Irish mengangguk kepalanya. Terasa ada keserasian bila dia bersembang dengan gadis kecil molek ini, walhal ini baru pertama kali mereka berbual. Satu perkara yang amat jarang bagi dirinya apabila bertemu dengan orang yang baru dikenali. Tetapi hari ini, ditambah lagi dengan sikap Zaryn yang peramah membuatkan Irish mula berasa senang dengan gadis tersebut.
“Macam mana interview Cik Irish hari tu? Mesti seronok, kan?”
Okaylah, Zaryn. Alhamdulillah.”
“Mestilah okay, kan? Kalau tak, tak adalah saya dapat jumpa Cik Irish lagi hari ni!”
“Oh ya, lupa! Saya tak sempat nak ucap terima kasih kat awak lepas temuduga hari tu. Abang saya dah tunggu kat luar.”
“Tak apa, Cik Irish. Saya tak kisah pun. Ni dah jumpa, kan? Lepas ni lagi hari-hari Cik Irish jumpa muka saya. Sampai dah tak larat nanti nak tengok agaknya!”
Serentak itu ketawa mereka bergema di dalam lif. Mujur hanya mereka berdua di dalam itu. Dan ketawa mereka terhenti sebaik sahaja pintu lif terbuka di tingkat dua belas.
“Silakan, Cik Irish.” Zaryn melangkah keluar diikuti Irish. “Bangunan syarikat ni ada lima belas tingkat semuanya. Satu tingkat mewakili satu department. Pejabat Cik Irish kat tingkat dua belas ni yang mana tingkat ni adalah untuk department kewangan. Tapi tingkat ni dia istimewa sikit, tak sama dengan tingkat yang lain. Sebabnya tingkat ni sekali dengan bilik CEO, CFO, COO dan beberapa pegawai atasan Haiyan Holdings yang lain. Kalau Cik Irish perasan, tingkat dua belas ni agak besar sikit berbanding tingkat-tingkat yang lain. Memang bahagian kewangan syarikat ni dipantau rapi oleh Tengku sekeluarga. Jadi senang sikit kalau letak satu tempat. Cuma bilik Chairman je, iaitu bilik Tengku Haiyan kat tingkat atas, tingkat tiga belas. So, Cik Irish ni kira bertuah tau. Dapat kerja satu tingkat dengan our big bosses Haiyan Holdings!” seloroh Zaryn sambil mengangkat sebelah keningnya.
“Bertuah apanya, Zaryn. Kecut perut adalah kena menghadap mereka hari-hari!” Irish berbisik di telinga Zaryn, agak perlahan hingga membuatkan gadis itu tergelak kecil.
Relaxlah, Cik Irish. Big bosses kat sini semuanya baik-baik. Tak pernah beza-bezakan pangkat walaupun mereka bukan berketurunan biasa. Saya dah empat tahun kerja kat sini, dah rasa macam kerja dengan keluarga sendiri. Cik Irish dah lama kat sini nanti tahulah rasanya macam mana.”
Sampai sahaja di hadapan sebuah bilik, Zaryn menghentikan langkah. Kemudian dia berpaling menghadap Irish. “Sampai sini je saya boleh hantarkan Cik Irish. Lepas ni Kak Maisarah, setiausaha Tengku Hafiy pulak yang akan uruskan,” ujar gadis itu sambil memandang ke arah wanita yang dimaksudkan.
“Tadi bukan Zaryn cakap ada dua orang yang lain ke yang kena lapor diri hari ni. Mana diorang, ya?”
“Oh, yang tu! Memanglah ada lagi dua orang. Tapi diorang department lain. Cik Irish sorang je yang saya kena hantar kat bahagian kewangan ni. Lepas ni Cik Irish bolehlah masuk.”
“Hmm? Masuk? Masuk mana?”
“Masuk bilik Tengku Hafiy, our CEO. Memang dia dah pesan nak berjumpa dengan semua staff baru sebelum mereka mulakan tugas di sini.”
Zaryn lantas menyerahkan fail yang dipegangnya kepada wanita yang dipanggil Kak Maisarah tadi sambil berkata sesuatu.
Okay, Cik Irish. Saya turun dulu. Kalau ada apa-apa, saya ada kat bawah. Tapi kalau macam jauh sangat nak turun, Kak Maisarah yang dekat ni pun ada. Jangan risau. Staff kat sini semuanya sporting-sporting. Tak gitu, Kak Mai?” soal Zaryn pada Kak Maisarah. Wanita itu  hanya mengangkat kedua ibu jarinya sambil tersenyum.
Okay, Cik Irish. Saya gerak dulu. Enjoy your first day!” Zaryn mengenyitkan matanya sambil berlalu meninggalkan Irish.
           
**********

IRISH duduk di dalam ruangan pejabat itu sendirian. Baru sebentar tadi Kak Maisarah memaklumkan bahawa Tengku Hafiy menyuruh agar dia masuk ke sini terlebih dahulu kerana lelaki itu ada beberapa hal yang perlu diuruskan. Sementara menunggu tuan empunya bilik tiba, mata Irish melilau memandang setiap sudut ruang pejabat yang tersusun kemas dan rapi itu. Ringkas tetapi menarik. Mungkin sama seperti tuannya yang sederhana, tetapi berkarisma. Itu yang didengar daripada mulut Izzul tentang rakan baik alongnya itu.
Irish memandang jam di tangan. Jarum sudah melewati angka 9.30 pagi. Perasaannya mulai gelisah. ‘Ada ke tak, ya?’ desisnya. Hati Irish mula berbolak-balik. Namun hanya seketika bila tiba-tiba kedengaran pintu bilik pejabat itu terkuak dari luar.
“Assalamualaikum.”
            Suara seorang lelaki di belakang menyapa telinganya. Irish bingkas bangun dari kerusi yang diduduki. “Waalaikumussalam.”
            “It’s okay. Duduk je, Cik Irish. Maaf saya lambat sikit. Ada hal yang kena selesai dulu. Maklumlah, hari Isnin.” Tengku Hafiy memberitahu dengan ramah sambil tersenyum. “Dah lama tunggu?”
            “Tak adalah, Tengku.” Tenang Irish menjawab. Namun yang sebenarnya dia cuba menutup rasa gugup dalam diri kerana pertama kali berhadapan dengan majikannya ini.
            Tengku Hafiy memandang Irish sekilas sebelum matanya dialih pada fail yang diberikan oleh setiausahanya sebelum dia masuk ke sini tadi. Fail tersebut mengandungi semua maklumat dan dokumen berkenaan gadis yang sedang berada di hadapannya ini. Hanya sepintas lalu, dia menutup kembali fail tersebut.
            “Hmm... rasanya tak ada apa yang perlu ditanya lagi. Dengan adanya awak kat sini hari ini maka terjawab sudah yang awak merupakan salah seorang daripada tiga calon yang telah dipilih untuk berkhidmat dengan Haiyan Holdings. Dan mengikut penilaian kami, awak adalah calon yang layak untuk memegang jawatan sebagai Eksekutif Kewangan di sini. So Cik Irish, awak dah bersedia untuk menjadi sebahagian daripada kami?”
            “InshaaAllah, saya akan berikan yang terbaik dan termampu untuk syarikat.”         
            “Baiklah. Saya ucapkan selamat datang dan selamat menyertai keluarga Haiyan Holdings. Semoga tujuan kita untuk memajukan lagi syarikat ini akan diberkati dan diredhai oleh-Nya. InshaaAllah. Jadi sekarang mari, saya perkenalkan awak pada semua staff di sini dan apa yang ada kat tingkat ni. Kemudian saya akan tunjukkan bilik awak.”
Semua pekerja yang berada di tingkat dua belas diperkenalkan kepada Irish. Bukan itu sahaja, malah Tengku Hafiy juga turut menunjukkan setiap ruangan yang terdapat di tingkat itu bagi memudahkan pekerja baru memulakan tugas di syarikat berkenaan. Irish yang pada mulanya agak gementar, mula terasa yakin dan seronok sedikit demi sedikit tatkala diperkenalkan kepada semua pekerja di tingkat tersebut yang pada pengamatannya amat mesra dan peramah. Majoriti mereka adalah Melayu. Hanya beberapa orang sahaja yang berketurunan Cina dan India serta bumiputera Sarawak. Selesai sahaja urusan tersebut, Tengku Hafiy kemudiannya membawa Irish masuk ke sebuah bilik.
            “Alright, Cik Irish. This is your room. Kalau rasa tak selesa, terlalu kecil ke atau apa saja, bagitahu saya.
            “Eh, tak ada Tengku. Ini dah lebih dari selesa. Terima kasih.”
            “Kalau macam tu, tak apa. Tapi kalau ada apa-apa, just inform me. Okay?”
            “Baik, Tengku.”
            “Good. Saya keluar dulu. Sekejap lagi pembantu awak, Insyirah akan datang dan awak bolehlah belajar sikit-sikit dulu dengan dia berkenaan syarikat ni. Apa-apa masalah, awak rujuk dengan dia. This is you first day. So, just relax. Semuanya akan baik-baik saja.” Tengku Hafiy memberikan kata-kata akhirnya dengan sebuah senyuman sebelum meminta diri.
            Sebaik Tengku Hafiy keluar dari bilik itu, Irish menarik nafas sedalam-dalamnya. Setiap ruangan bilik itu diperhatikan. Bilik itu tidaklah kecil. Tidak juga terlalu besar seperti bilik Tengku Hafiy. Sederhana sahaja, namun cukup untuk membuat dia berasa sangat selesa. Perabot, hiasan dalaman, lukisan. Semuanya serba ringkas, tetapi menarik dan elegan.
            ‘Hmm... macam mimpi je aku ada kat sini. Inilah rezeki yang umi dan ayah pernah cakapkan. Rezeki yang Allah dah tentukan untuk hamba-Nya. Lagi banyak kita bersabar, lagi besar rezeki yang Allah akan berikan. Dan sekarang semuanya sudah jelas depan mata. Cuma tinggal usaha sahaja yang perlu ditingkatkan lagi untuk mencapai cita-cita dan impian hidup yang selama ini aku doa dan impikan. Tanpa menoleh ke belakang lagi.’ 
Nafas lega dihela untuk kesekian kalinya.      





BAB 8 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)






               
“A
ALANG dengan Irish mana, umi?” Izzul bertanyakan uminya yang sedang menuang minuman panas di atas meja sambil dibantu Iman. Malam minggu itu Encik Izzuddin sekeluarga hanya bersantai di rumah sambil menonton televisyen.
“Tak tahulah. Lepas makan malam tadi terus hilang budak berdua tu. Ada dalam bilik Irish agaknya,” duga Puan Qarina seraya melabuhkan duduk di sebelah suaminya. Beberapa minit kemudian barulah terpancul wajah Irish dan Irma di ruang tamu tersebut bersama gelak tawa mereka, sekaligus membuatkan tumpuan yang lain terganggu pada rancangan yang sedang ditayangkan di kaca TV.
            “Happy nampak!” spontan Irhan menyapa.
            “Ya ke? Biasa je. Tapi, kalau semua orang tahu pun mesti happy jugak!”
            “Apa dia? Irfan nak dapat anak buah baru ke, Kak Lang?” Irfan bagaikan teruja ingin mengetahui berita tersebut. Kebetulan dia balik bercuti hujung minggu itu, dapatlah dia berkumpul dengan ahli keluarganya yang lain.
            “Ishh, Irfan ni! Ke situ pulak fikir dia!”
            “Habis dah tengok Kak Lang happy semacam! Kalau bukan tu, apa dia?” tanya Irfan lagi sambil menggosok-gosok lengannya yang sedikit pedih akibat dipukul Kak Langnya.
            “Ada orang tu dah dapat kerja. Lepas ni bolehlah belanja kita semua!” seloroh Irma seraya melirik ke arah Irish dengan senyuman penuh makna.
            Semua mata yang ada di situ tertumpu pada Irma, dan kemudiannya jatuh pada wajah Irish. Pandangan mata menggantikan mulut sebagai isyarat menyoal pada gadis itu. Melihatkan semua ahli keluarganya bagaikan ternanti-nanti, akhirnya Irish menggangguk-anggukkan kepalanya tanda mengiakan berita yang baru disampaikan oleh Irma itu.
“Alhamdulillah! Tahniah!”
Kedengaran suara-suara gembira keluar dari mulut ahli keluarga Encik Izzuddin yang berada di ruangan keluarga tersebut.
            “Syarikat mana, Rish?” tiba-tiba Izzul bertanya.
            “Haiyan Holdings.”
Serentak itu mata Izzul terarah ke wajah adiknya. “Serius? Syarikat kawan along tu?”
            “Iyalah, long. Kenapa?”
            “Tak ada apa. Along ingatkan tak dapat. Yelah, dah lama jugak baru dapat jawapan sejak along hantar interview hari tu.”
            “Tulah. Irish ingat pun tak dapat. Tapi tengah hari semalam diorang baru call bagitahu,” jelas Irish. Memang pada mulanya dia juga menyangka temuduga itu tidak berjaya disebabkan sudah hampir tiga minggu lebih tiada apa-apa jawapan yang diterima.
            “So, bila kena lapor diri?” celah Iman pula.
            “Isnin depan.”
            “Stay sana? Ke berulang-alik?”
            “Ya kut, Kak Ngah. Semalam ada jugak diorang bagitahu yang syarikat ada sediakan apartmen untuk pekerja. Tapi Irish rasa baik berulang jelah. Lebih selesa tinggal kat rumah sendiri. Lagipun tak boleh nak tinggalkan umi, ayah dengan adik-adik lama. Nanti rindu. Lagi-lagi dengan Irfan ni.”
“Tahu tak apa!” Irfan membalas kembali gurauan kakaknya itu. Belum sempat Irish ingin memukulnya, kali ini Irfan sudah terlebih dahulu menjauhkan diri. Dan seisi ruangan itu dipenuhi dengan deraian tawa mereka yang lain.        

**********

MALAM sudah semakin larut kala Irish melangkah masuk ke dalam biliknya. Ahli keluarganya yang lain turut berbuat demikian setelah puas bersembang panjang tadi. Menjelang malam begini sudah tentulah masing-masing ingin merehatkan diri setelah penat melakukan aktiviti seharian.
            Irish merebahkan badannya di atas katil. Namun matanya tidak mahu pejam. Sudahnya dia hanya berbaring sambil merenung kipas yang sedang berputar di syiling. Sebagaimana kipas itu berputar, begitu jugalah dirasakan putaran hidupnya selama dua puluh empat tahun bernafas di muka bumi ini. Mindanya mula berlegar-legar mengingati sorotan kisahnya dari zaman kecil hinggalah menginjak ke alam remaja. Bagaimana dia mula menjejakkan kaki ke alam persekolahan, kemudian melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi, dan selepas ini dia akan mula memasuki alam pekerjaan pula. Begitu pantas masa berlalu. Baru dirasakan semalam dia belajar mengeja di sekolah tadika. Tetapi hari ini dia sudah menamatkan pengajiannya di menara gading dengan segulung ijazah. Dan lusa, dia akan memulakan khidmatnya di salah sebuah syarikat yang boleh dikatakan cukup gah di negara ini.
            “Dah ready ke kau nak kerja ni, Irish? Macam tak je tengok. Ishh!”
            Irish meraup wajahnya, cuba mengusir perasaan tersebut jauh dari hati. Dikumpulkan sedikit kekuatan untuk menghadapi hari-hari mendatang selepas ini. Usahanya berhasil apabila sedikit keyakinan mula datang bertamu dalam diri. Lantas mulut kecil itu tersenyum nipis.
            “Boleh. Kau boleh, Irish. InshaaAllah pasti boleh. Semangat!”
            Sesudah itu, mindanya kembali berputar mengingati satu-persatu peristiwa yang berlaku sepanjang hidupnya. Pelbagai suka dan duka telah ditempuh. Dari kisah-kisah yang menggembirakan hinggalah ke cerita yang menyedihkan itu. Terdetik sesuatu di dalam hati. Andai dirinya tidak kuat, mungkin dia tidak akan berada hinggap ke tahap sekarang ini. Melukakan hati banyak pihak. Dan yang lebih teruk lagi, menghancurkan masa depannya sendiri. Syukur Alhamdulillah, Allah masih sentiasa bersamanya. Dan akan tetap terus bersama seandainya dia sendiri tidak pernah lupa dan leka kepada Penciptanya itu.



           Irish melepaskan keluhan. Diraup wajahnya sekali lagi.
“Haishh! Kenapa mata ni tak nak pejam-pejam ni?”
Digosok-gosok matanya yang sedikit pedih. Kemudian dia beralih kedudukan dari menelentang hingga mengiring pula kini. Namun matanya masih tetap segar. Jam di sisi katil ditenung. Sudah pukul 2.00 pagi. Lantas dia bangun dari pembaringan.
            “Tak boleh jadi ni! Daripada dok guling-guling tapi tak mahu pejam jugak, baik aku ambil air sembahyang. Sembahyang sunat lepas tu mengaji. Lagi bagus!”  
            Serentak itu Irish turun dari katilnya perlahan-lahan dan kemudian menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk dengan mulut yang tidak henti-henti mengomel.
“Kau ni mata bila suruh pejam, tak nak pejam. Bila time nak buat kerja, masa tulah kau nak tertutup, kan? Saja betul!”



BAB 7 : BAYANGAN GURAUAN (UPDATED VERSION)






T

ENGKU Hafiy memarkirkan kereta sebaik memasuki perkarangan villa keluarganya. Kelihatan kereta papanya sudah terletak elok di garaj, menandakan lelaki itu sudah pulang ke rumah lebih awal. Keluar sahaja dari kereta, langkahnya terus diatur untuk memasuki villa.
“Hafiy!” kedengaran satu suara memanggil namanya dari taman mini. Apabila dijengah, terlihat mamanya sedang melambai-lambai tangan ke arahnya. “Mari duduk minum dulu. Teman papa dengan mama ni.”
Mendengarkan pelawaan itu, Tengku Hafiy tidak jadi untuk masuk ke dalam. Lantas kakinya dihalakan ke arah taman mini tersebut. Memang papanya itu gemar mengambil angin luar di waktu petang begini sambil minum petang ditemani mamanya, Tengku Dafina.
“Adik belum balik lagi ke, ma?” Tengku Hafiy bertanyakan tentang adik bongsunya, Tengku Hazreen Damya sebaik melabuhkan duduk di kerusi. Briefcase dan blazernya diletakkan di kerusi bersebelahan.
            “Belum lagi. Biasalah nak exam ni sibuklah dengan study group dia tu,” balas Tengku Dafina sambil menuang secawan teh panas untuk anak lelakinya. “Lewat kamu balik hari ni?”
           “Sibuk sikit, mama. Pagi tadi ada mesyuarat untuk finalised calon-calon temuduga tempoh hari. Petang pulak ada mesyuarat dengan client dari Sarawak. Tu yang lambat ni.”
            “Macam mana dengan interview hari tu, Fiy? Tak sempat papa nak turun menjenguk.”
            Tengku Haiyan yang sedari tadi menghadap bacaannya, bersuara mencelah. Buku yang berada di tangan ditutup dan diletakkan di atas meja. Kemudian dia mengambil cawan berisi teh panas yang dihidangkan oleh isterinya tadi lalu dihirup perlahan-lahan.
            “Alhamdullilah, semuanya berjalan lancar. Adalah dua tiga orang calon yang Hafiy rasa layak untuk isi jawatan-jawatan tu. Papa tak payahlah risau. Uncle Mikhail dengan Aunty Zarina pun ada. So, Hafiy rasa calon-calon yang kami pilih adalah yang terbaik dan memang layak.” 
            “Papa tak risau, Fiy. Papa yakin dengan anak papa ni. Dan jugak semua staff papa,” tutur lelaki itu sambil tersenyum. Memang tidak dapat dinafikan kejayaan Haiyan Holdings selama ini adalah hasil usaha dari seluruh pekerjanya yang berdedikasi, jujur serta ikhlas dalam mencurahkan bakti demi kemajuan syarikat itu. Dan sepanjang dia mengendalikan syarikat, belum pernah lagi berlaku kejadian buruk yang membabitkan pekerja-pekerjanya. Jadi, tiada sebab untuk dia mencurigai sesiapa di dalam syarikat.
            “Hmm... dah alang-alang ada kat sini ni, mama nak tanyalah. Kamu bila nak lansung? Dah nak dua tahun kamu bertunang dengan Helena tu. Bukan apa, takut nanti mak bapak Helena tu bising pulak. Yelah, tak elok sangat tunang lama-lama ni. Lagi-lagi anak mereka tu perempuan. Kamu pun bukannya makin muda. Tahun ni dah nak masuk tiga puluh dua dah. Dah patut ada anak pun.”
            Tengku Hafiy yang sedang melihat ikan-ikan di kolam yang terdapat di taman mini tersebut sedikit terkejut mendengarkan pertanyaan itu. Ditenung mamanya seketika sebelum menggaru kepala yang sememangnya tidak terasa gatal. “Err... nantilah mama. Hafiy nak fokus pada syarikat tu dulu. Bila semuanya dah okay dan stabil nanti bolehlah Hafiy fikirkan hal tu. Hafiy dah bincangkan perkara ni dengan Helena dan orang tuanya. Mereka tak kisah. Lagipun Hafiy tunggu adik Hafiy yang sorang tu balik. Tak bestlah kalau Hafiy kahwin, dia tak ada. Kan, pa?” bicara Tengku Hafiy panjang lebar sambil memandang papanya, mengharapkan sokongan dari lelaki itu. Namun Tengku Haiyan sekadar tersenyum padanya.
            “Nak tunggu budak bertuah tu balik? Hmm... berjanggutlah kamu jawabnya, Fiy! Entah sampai bila adik kamu tu nak kerja kat negara orang putih tu agaknya. Macam papanya sendiri tak ada syarikat nak diuruskan kat sini. Tu satu hal. Belum lagi mama sebut pasal hal kahwin kat dia. Kalau dah bertahun-tahun nak tunggu dia balik sini, alamat bertahun-tahun jugaklah agaknya nak tunggu hal kahwin keluar dari mulut dia. Bukan kamu tak kenal adik kamu tu. Nasib baiklah kakak kamu tu dah kahwin. Kalau tak, kempunanlah mama ni nak timang cucu tau!”
            Tengku Hafiy cuba menyembunyikan tawa di balik tangan sambil memandang ke arah papanya bila mendengar Tengku Dafina sudah mula membebel tentang adik lelakinya itu. Walaupun nada suaranya kedengaran lembut, namun terselit juga ketegasan di situ. Bukan dia tidak biasa, malah telinganya sudah lali mendengar leteran mamanya setiap kali nama lelaki itu mula disebut. Dia sendiri hairan melihat adiknya itu yang lebih suka mencari rezeki di negara orang semenjak menamatkan ijazah pertamanya di Universiti Cambridge, United Kingdom. Katanya ingin mencari pengalaman terlebih dahulu sebelum berkhidmat di syarikat mereka. Itu berkenaan kerja. Belum lagi disentuh hal peribadi. Dari dulu lagi adiknya itu memang susah kalau bercakap mengenai hal perempuan dengannya. Tidak tahu apa sebabnya sedangkan bukan dia tidak tahu ramai gadis yang tergila-gilakan adiknya yang seorang itu.
“Ada adik kamu tu bagitahu bila dia nak balik terus ke sini?”
            Soalan Tengku Dafina yang secara tiba-tiba itu mengejutkan Tengku Hafiy dari lamunan. “Hmm, ada jugak dia bagitahu masa balik sini hari tu. InshaaAllah dalam masa setahun. Lepas dia habiskan master kat sana.”
            “Dahlah tu, Fina. Tak payahlah awak risau sangat. Dah bosan duduk kat sana nanti, baliklah budak tu. Lagipun bukannya dia bekerja semata-mata. Sambil belajar jugak, kan. Manalah tahu pengalaman yang dia dapat kat tempat orang tu nanti boleh bantu majukan lagi syarikat kita bila dia balik ke mari.” Tengku Haiyan cuba memujuk isterinya.
            “Hmm, yelah. Tulah abang, kan? Suka sangat manjakan anak.”
“Hai! Anak awak jugak, kan? Saya bukan manjakan, tapi cuba memahami anak-anak. Budak-budak sekarang bukan macam zaman kita dulu-dulu. Zaman dah moden, jadi pemikiran mereka pun modenlah. Saya tak kisah berapa lama budak tu nak betapa kat negara orang tu. Asal jangan lupa asal-usul sebagai orang Islam dan Melayu, sudahlah.”
Tengku Dafina terdiam. Dalam hati dia turut mengiakan semua itu. Dia bukan apa. Cuma kalau boleh hendak anak-anak sentiasa berada dekat dengannya, walaupun mereka telah berkahwin dan tinggal berasingan  Hati ibu mana yang tidak risau bila anak-anak jauh dari mata.
Okaylah ma, pa. Hafiy nak naik dulu. Badan pun dah melekit ni. Anyway ma, betul kata papa tu. Mama janganlah risau sangat. Tak adanya adik Hafiy tu nak duduk lama-lama kat sana. Hafiy pun dah pesan kat dia. Daripada bekerja dengan orang lebih baik berkhidmat untuk keluarga sendiri. Penat dah papa bina syarikat tu untuk anak cucu dia.”
Tengku Hafiy mengenyitkan mata pada papanya. Lantas briefcase dan blazer dicapai sebelum berlalu meninggalkan kedua orang tuanya di taman mini. Lebih baik dia angkat kaki dahulu sebelum telinganya menjadi bahan leteran mamanya lagi seperti selalu. Bukan dia tidak suka. Tetapi sebaiknya kata-kata itu diucapkan sendiri pada yang empunya badan. Banyak mana pun wanita itu berleter padanya, keadaan tetap sama. Sudahnya, telinga dia sajalah yang sentiasa ditadah untuk mendengar luahan hati Tengku Dafina tentang anak bujangnya yang seorang itu.    

**********

LANGKAH Tengku Hafiy diatur dengan segera memasuki villa. Agak tergesa-gesa dia berjalan memandangkan solat Asar masih belum disempurnakan lagi.
Buk!
Tengku Hafiy terlanggar sesuatu, menyebabkan dia jatuh terduduk ke atas lantai. Bahunya disentuh, terasa sedikit sengal. Belum hilang sakit di bahunya, Tengku Hafiy mendengar satu suara lain yang turut sama menyeringai kesakitan.
“Aduhhh!”
“Eh, Dewi! Awak tak apa-apa ke?” pantas Tengku Hafiy menerpa ke arah pembantu rumah yang berasal dari Indonesia itu. 
“Enggak apa-apa, mas. Cuma pusing!” balas Dewi sambil menunding jari pada kepalanya yang sedikit berpinar akibat dilanggar oleh anak majikannya sebentar tadi. “Mas apaan sih? Sampai saya yang segede ini ditabrak! Apa dikejar sama hantu?”
Kata-kata Dewi sekaligus mengundang tawa Tengku Hafiy. Gelihati melihat telatah gadis muda berbadan gempal dari Medan itu. Sakit-sakit begini pun masih ada hati mahu berjenaka.
“Tak adalah hantu. Tapi lagi cantik dari tu.”
“Lorrr? Siapa??”
“Sshhh!” spontan Tengku Hafiy meletakkan jari telunjuk di mulutnya, menyuruh Dewi memperlahan sedikit suara yang separuh menjerit itu. “Pelan sikit! Dengar Mak Engku nanti!”
 “Ya. Iya! Iya! Dewi perlahan dikit ni. Mas lari dari siapa?” soal Dewi berbisik kali ini.
“Dari Mak Engkulah. Siapa lagi. Sebab adik saya, ni... telinga ni yang asyik kena tadah je dengar Mak Engku mengomel. Sebelum kena lagi teruk, baik saya cabut dulu!”
Dewi mengangguk-angguk tanda faham.
“Eh, dahlah. Saya nak naik dulu. Belum solat Asar lagi.” Tengku Hafiy mengambil semula briefcase dan blazer yang terlepas dari tangannya sewaktu berlanggar tadi. “Betul awak tak apa-apa ni?”
“Iya! Benar! Enggak apa-apa, mas. Swear!”
Good! Tapi kalau ada apa-apa bagitahu saya, okay?” pesan Tengku Hafiy lagi sebelum bangun dan berlalu dari situ.
“Iya, mas!”
Dewi hanya tersenyum sambil memandang Tengku Hafiy mendaki anak tangga ke tingkat atas. Sebaik sahaja kelibat lelaki itu menghilang, senyumannya mati serta-merta. Spontan kepala yang masih terasa sakit dipegang semula.
“Masih sakit dibilangin enggak sakit. Ya, tanggung sendiri kamu Dewi!” ngomel gadis itu seorang diri lalu bangun melangkah ke ruang dapur villa.  
“Kau dah kenapa membebel sorang-sorang ni, Dewi?”
Mak Ros, seorang lagi pembantu rumah Tengku Haiyan yang berusia dalam lingkungan enam puluhan menyapa Dewi yang dilihatnya bercakap sendirian. Ketika itu dia sedang menemani suaminya, Pak Man, yang juga merupakan pemandu kepada Tengku Haiyan minum petang di meja dapur. Berbanding Dewi yang baru sahaja bekerja, Mak Ros adalah merupakan pembantu rumah yang telah berkhidmat lebih dari tiga puluh tahun di villa tersebut. Memang di villa inilah tempat dia menumpang teduh bersama suaminya. Oleh kerana tidak dikurniakan cahaya mata sejak berkahwin, jadi pada anak-anak majikan tempat mereka mencurahkan sedikit kasih sayang sebagai ibu bapa. Dan kini mereka juga mempunyai Dewi yang sudah dianggap seperti anak sendiri.
“Ha’ah, Dewi. Kenapa kau ni bercakap sorang-sorang?” tegur Pak Man pula.
“Enggak apa-apa, sih. Cuma ditabrak sama hantu!”
“Hantu??!” serentak suami isteri tua itu membalas. Kopi yang dihirup oleh Pak Man juga habis tersembur dek terkejut dengan jawapan yang diberikan gadis itu.
“Eh bukan, bukan! Bukan hantu! Apa ya? Alaa... itu! Dewi ditabrakin samanya Mas Hafiy. Aduh!” spontan Dewi memegang kepalanya yang masih terasa berdenyut. Serasa selepas berlanggar tadi kepalanya juga sudah tidak boleh berfikir dengan betul ketika ini.
“Ishh, kau ni! Buat orang terkejutlah. Dah tu, okay tak ni? Tu kepala tu, kenapa pulak?!”
“Dewi baik-baik aja, mak. Cuma kepala lagi pusing ini!”
“Hmm. Dewi, Dewi. Macam-macam kau nilah! Dah, mari duduk minum. Sejuk air ni nanti,” arah Mak Ros sambil menuangkan minuman untuk Dewi. Walaupun adakalanya mulut gadis itu tidak henti-henti bercakap setiap masa, namun itulah kelebihan yang ada pada Dewi yang membuatkan hari-harinya di dapur sentiasa riuh dan ceria dengan jenaka gadis seberang itu.